Friday, December 31, 2010

Hari Terakhir Dalam Tahun 2010

Hari ini langit cerah. Semalam hujan turun mencurah-curah, sudah dua hari hujan turun di Islamabad. Lembaplah bumi yang sudah lama kering dilanda kedinginan musim sejuk ini. Lalu hanya kesejukan yang menyelimut kami. Hari ini tiada ternampak lagi kabus debu atau jerebu di kaki Bukit Margalla, malah semuanya terang dan indah. Barangkali telah lenyap semua debu habuk dan kotoran dimakan hujan. Dan salji pun turut gugur di Murree dan Nathiagali, menggembirakan banyak orang di sana kalau pun tidak semua.

Pagi Jumaat ini seusai solat Fajar saya membaca sms kiriman seorang sahabat Malaysia kami dari Karachi. "Suami saya telah kembali ke rahmatullah jam 6.15 pagi waktu Pakistan kerana Hepatitis A. Alfatihah." Padahal baru lima hari lepas kami bersama-sama mereka, arwah dan isterinya dan keluarga saya bermusafir bersama-sama ke Lahore dari Islamabad. Banyak gambar kenangan yang kami rakam di kota yang menyimpan banyak bangunan bersejarah yang cantik-cantik. Arwah kelihatan seperti biasa saja pada masa itu, cuma dia ada mengadu tidak sedap badan sewaktu dalam perjalanan pulang. Rupa-rupanya itulah pertemuan terakhir kami dan saya menyesal tidak memeluknya erat-erat dan lama-lama sewaktu perpisahan di hadapan Masjid Badshahi. Kalaulah hanya kita tahu bila kita akan pergi. Saya tidak akan dapat bercakap dengannya lagi, cuma mampu sedekahkan alfatihah dan do'a untuk sahabat saya itu. Difahamkan jenazahnya hanya akan tiba di Malaysia pada tengah hari 2 Januari ini, iaitu tepat pada hari ulang tahun kelahirannya.

Dan ini adalah kematian kedua sahabat saya saya di Pakistan, cuma berbeza 9 hari. 22 Disember lalu sahabat baik saya di Islamabad meninggal dunia. Dia baru saja datang ke Islamabad dari Malaysia dan setelah genap dua bulan dia hidup di sini, dia pun kembali semula ke Malaysia tetapi hanya jasadnya. Cuma sekejap saya berkenalan dengannya tetapi ia suatu sekejap yang menyenangkan. Saya tidak akan lupa kenangan kami menghirup sup ayam dan jagung di Rawalpindi, arwah sangat menggemarinya dan sayalah yang bertanggungjawab memperkenalkan sup itu kepadanya. Dan kami pernah berkelah bersama-sama di Taman Lake View, berjalan-jalan di Pasar Itwar Bazaar sambil membeli baju sejuk terpakai dan semua itu cuma tinggal kenangan sekarang. Saya sebak melihat reaksi dua anak perempuannya kecilnya (4 dan 7 tahun) yang belum cukup mengerti tentang peristiwa sedih itu, walaupun saya percaya balu arwah akan mengumpulkan kembali segala semangat dan kekuatannya untuk meneruskan hidup bersama-sama dua anaknya di bumi Islamabad ini.

Puteri sulung saya Embun sibuk memaksa saya untuk naik ke tingkat atas kerana dia ingin memeriksa bilik-bilik di tingkat atas yang baru ditinggalkan kosong oleh ibu ayah dan adik lelaki saya. Tiga minggu mereka berhabis masa dengan kami di sini dan sudah pulang ke Malaysia pada 27 Disember lepas. Saya rasa Embun mengalami suatu rasa kehilangan, dia menjenguk-jenguk ke bilik kosong itu dan seolah-olah mencari mereka di setiap sudut. Terpaksa berkali-kali saya terangkan lagi kepada Embun bahawa mereka semua telah tiada di rumah kami, walau pun sebenarnya Embun sendiri telah menghantar mereka ke Lapangan Terbang Benazir Bhutto dan mengucapkan selamat jalan kepada mereka empat hari lepas.

Saya belum lagi berjaya mendapatkan sijil lahir untuk Kekwa, walaupun sudah 7 kali kami ke pejabat mereka. Orang Pakistan terlalu mudah membuat janji sehinggakan mereka sendiri pun lupa mereka pernah membuat janji tersebut. Tiada istilah piagam pelanggan di pejabat kerajaan mereka. Walaupun akhirnya tadi saya mendapat sijil lahir Kekwa, tetapi terdapat kesalahan di sijil tersebut kerana nombor pasport saya dan Mawar tidak dicatatkan dengan betul, selain kesalahan tatabahasa Inggeris yang terlalu banyak. Ianya sehelai kertas putih bodoh yang tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan apa pun, tidak seperti sijil lahir yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia. Tetapi saya perlu menunggu 22 hari untuk mendapatkan, 8 kali pergi ke pejabat mereka dan entah berapa kali panggilan telefon. Dan sekarang saya tidak tahu perlu tunggu berapa lama lagi untuk membuat pembetulan pada kesalahan tersebut.

Inilah hari yang terakhir di tahun 2010. Hari terakhir untuk dekad pertama pada milenium ini.

7 comments:

KNizam said...

kedua-dua mmg meninggalkan kesan yg mendalam pada aku walaupun baru mengenal keduanya setahun yang lalu. aku nak corectkan kisah sedih ini di pagi tahun semalam. namun hati masih berbalam2, terlalu kelam. mmg sedih. mmg pedih menerima hakikat pemergian 2 orang sahabat warga malaysia di bumi asing pakistan. tak sangka aku tak sempat nak bermain salji sekali lagi dengan mereka. yang tinggal hanya kenangan gambar2 perkelahan di tasik rawal di akhir musim luruh dan perjalanan menjejak salji di awal musim dingin dahulu. al-fatihah.

kelisa_samudera said...

selaamt tahun baru untuk kamu sekeluarga, dan seluruh rakan2 yg membaca coretanmu ini.

mommy otai said...

kasihan embun ya...merindui nenek,atok n pakciknya..

Unknown said...

Aku pun hanya mampu mendoakan untuk mu sahabat,hanya Al-Fatihah yg dapat aku sedekahkan, 70hari setelah kembalinya teman mu mengadap Ilahi. Akhirnya kau pun menyusul, Allah lebih menyayangi MU, semoga Rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan Muqorrabin.

Buat nur sekeluarga moga tabah dan sabar dalam menghadapi ujian Allah yg paling getir ini, dan diberikan kekuatan untuk terus mengharungi hidup yg lebih jauh bersama anak2 yang masih kecil. Moga ada hikmah disebalik suratan ini.

AMIEROZIANA said...

sedihnya...mesti lepas ni nadaa akan tercari2 ayahnya...

Kay Neesa said...

penulis bagai tahu tahun 2010 adlaha tahun terakhir utk dia kerana 2011 dia akan meninggal dunia. Subhanallah

Muhammad Tayyab J. said...

Very informative post. I am just waiting for your next post.
Also, Please check out my game Traffic Racer .
Thanks