Setiap hari sambil melakukan latihan saya berbual-bual dengannya. Dia selalu bercerita tentang Afghanistan negara asalnya dan Pakistan tempat tinggal dia sekarang. Jurulatih saya di gymnasium itu masih berwarganegara Afghanistan walaupun dia telah tinggal di sini (Pakistan) sejak tahun 1992 lagi, setelah ibu saudaranya mati terkena roket semasa perang Soviet di akhir 1991 di Kabul. Sejak dari itu seluruh keluarganya yang berketurunan Tajik itu pun berhijrah sebagai pelarian di Pakistan dan menetap di Islamabad. Pada masa itu dia baru berumur 15 tahun dan dia tidak pernah ke sekolah lagi selepas itu. Sekarang dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dan tinggal bersama ibu bapanya yang sudah tua.
Pada malam itu saya mengajaknya makan malam di restoran Nando's. Saya memandu sendiri kereta saya dan menjemputnya di depan gymnasium tempat kerjanya itu. Setelah dia memasuki kereta saya mencadangkan supaya dia memakai tali pinggang keledar kerana kereta itu akan berbunyi secara automatik sekiranya tali pinggang tidak dipakai. Saya lihat dia terkial-kial dan terbelit-belit hendak memakainya dan akhirnya baru saya perasan dia memang tidak tahu bagaimana cara hendak memakainya. Saya memberitahu satu persatu tentang bagaimana cara hendak memakainya dan akhirnya terpaksa memberhentikan kereta untuk membantunya memakai tali pinggang. Dia memberitahu saya seumur hidupnya dia tidak pernah memakai tali pinggang keledar. Lalu saya tidak rasa ianya lucu lagi, malah saya berasa sedih. Tetapi saya cuma berpura-pura tidak mendengarnya dan meneruskan pemanduan.
Sesampainya di restoran dia memberitahu saya sudah dua tahun dia tidak ke Supermarket Markaz F6 yang cuma berjarak 3km dari gymnasium kerana dia terlalu sibuk bekerja dan mencari duit. Dan sudah tentu saya tahu dia tidak pernah memasuki restoran itu juga dan tidak tahu hendak memesan makanan apa. Saya memesan makanan untuk dia, sama seperti makanan saya. Sengaja saya makan menggunakan tangan kerana saya lihat dia kekok untuk makan dengan garfu serta pisau dan selepas itu memang dia ikut makan dengan tangan dengan selesa sekali. Dan apabila saya sudah habis saya lihat dia bagaikan tidak kecukupan dan saya terus memesan makanan lagi untuknya. Pada mulanya dia menolak keseganan tetapi saya berkeras untuk memesannya. Dan keputusan saya adalah betul kerana dia menghabiskannya dengan cepat sekali. Padanlah dengan badannya yang berketul-ketul penuh dengan otot-otot sasa itu.
Buat seketika saya menjadi tidak kisah dengan yuran yang agak mahal yang dikenakan kepada saya iaitu Rs5000 sebulan, sedangkan dia cuma mengenakan Rs3000 kepada kawan baik saya orang Pakistan yang memperkenalkannya kepada saya, mungkin semata-mata kerana saya orang asing yang dianggap kaya. Apabila saya meminta pengurangan akhirnya dia mengatakan Rs4500. Dia belum pulangkan Rs500 baki kepada saya dan saya juga serba salah untuk memintanya selepas peristiwa di malam itu. Tetapi tadi dia bersetuju bahawa yuran saya akan menjadi Rs4000 untuk bulan seterusnya kerana saya mengugut untuk bertukar ke gym dan jurulatih lain. Dia menyebut satu pepatah Urdu kepada saya yang bermaksud, "makanan saya adalah dari kamu", jadi sekarang dia tidak harus menolak permintaan saya.
Betapa kesukaran hidup mampu membuat manusia menjadi tamak dan malah jahat, walaupun pada asalnya dia tidaklah berniat untuk menjadi orang yang tidak jujur. Saya tahu dia sangat baik dan dia selalu berbicara tentang Islam kepada saya (bagaikan saya ini bukan Muslim) dan cita-citanya untuk diterima sebagai pelarian di sebuah negara yang lebih baik seperti Amerika atau England. Dan siapalah kita hendak menafikan rezeki dan haknya untuk terus hidup. Tetapi di negara seperti ini kita juga perlu berani dan bijak untuk tidak diambil kesempatan oleh orang-orang dalam kesempitan yang sememangnya licik.
4 comments:
Salam, saya Hafizah, juga asal dari Terengganu tetapi kini berada di Brisbane, Australia. Saya ingin bertanya saudara tentang keadaan di Pakistan amnya dan di Islamabad khususnya. Adakah selamat sekiranya saya dan beberapa rakan ingin ke sana untuk beberapa hari? Wassalam, terima kasih.
memang sedih membaca entry pada kali ini. aku pun ada beberapa kali berbual dengan pelarian afghan ni. mereka mmg banyak especially kalau hang selalu pergi ke shabzi mandi I10. sebelah tuh mmg besar camp pelarian afghan.
puan hafizah - islamabad secara amnya mmg selamat. cuma perlu lebih berhati2 dan kena ada sedikit keberanian. ianya sgt berbeza dgn negara lain. di sini kami byk mengikut gerak hati ya. boleh baca di sini http://bit.ly/bZh2H6
eh, aku baru register gym malam tadi... haha
Post a Comment