Thursday, October 28, 2010

Perkahwinan Ala Pakistan

Sungguh teruja rasanya apabila seorang kenalan mengundang untuk ke majlis mehendi (berinai) sempena perkahwinan adik perempuannya yang diadakan di rumahnya di Sektor G-7 Islamabad. Majlis tersebut diadakan pada sebelah malam dan kami tiba seawal 8 malam seperti yang diberitahu oleh tuan rumah. Dan jenuhlah kami menunggu sehingga ke 10 malam, apabila acara sebenar baru bermula.


Sebelum keluarga pengantin lelaki tiba, sebelah perempuan telah bersiap sedia dengan bakul-bakul berisi kelopak mawar. Mereka beratur membentuk lorong untuk dilalui oleh ibu pengantin perempuan dan diikuti oleh semua tetamu perempuan dari keluarga pengantin lelaki. Tatkala mereka melalui lorong itu kelopak mawar akan ditabur sambil disambut dengan senyuman dan gelak tawa yang sangat meriah. Seterusnya pengantin perempuan akan diarak ke pentas dari dalam rumah dengan berbumbungkan sehelai kain yang dipegang di segenap penjuru oleh beberapa perempuan lain. Dan terakhir, diikuti dengan pengantin lelaki yang juga diarak masuk dari luar.



Sewaktu saya bersungguh-sungguh mengucapkan tahniah kepada bapa pengantin perempuan, dia kelihatan terkejut. Seraya menegur saya, "anak saya seorang perempuan, jangan mengucapkan tahniah kepada saya. Orang Pakistan tidak mengucapkan tahniah kepada ibu bapa pengantin perempuan. Tapi tidak mengapa, saya tahu anda bukan orang Pakistan". Barulah saya faham, pada mereka perkahwinan seorang anak perempuan dianggap memberi beban kepada keluarganya dan sekadar merayakan pemergian seorang anak perempuan dari keluarganya.

Keeseokan harinya kami juga dijemput untuk memeriahkan acara "bharat" anjuran keluarga pengantin perempuan di sebuah dewan perkahwinan di Sektor G9 Islamabad. Apa yang saya perhatikan setiap majlis di sini biasanya memerlukan tetamu untuk bersabar dan menunggu dengan lama sebelum dihidangkan makanan. Mujurlah saya telah makan terlebih dahulu sebelum ke majlis tersebut. Semasa ketibaan pengantin lelaki ke dewan tersebut mereka juga menabur bunga ke atasnya dan juga duit kertas! Tetamu lelaki dan perempuan diasingkan tempat duduk mereka. Mawar memberitahu, sewaktu dia berjumpa dengan pengantin perempuan dia kelihatan sangat sedih dan meminta agar didoakan segala yang baik untuk masa depannya.



Pihak keluarga pengantin perempuan juga menjemput kami untuk ke majlis '"walimat" yang dianjurkan oleh keluarga pengantin lelaki. Tetapi peliknya ibu dan bapa pengantin perempuan tidak hadir ke majlis itu, dan saya pun tidak berani bertanyakan tentang hal itu. Majlis itu bertempat di sebuah kampung di kawasan bukit bukau, iaitu Kampung Talhar. Jalan ke kampung itu amat mencabar kerana ianya sangat curam dan berbukit. Kadang-kadang jalan sangat sempit dan terpaksa melalui jalan yang rosak akibat tanah runtuh. Sesekali terserempak juga dengan kerbau yang besar dan kambing-kambing di tepian jalan. Sewaktu di rumah pengantin lelaki, saya sempat menjenguk ke bilik pengantin perempuan yang dihias indah dan segala barang perkakas rumah dipamerkan di dalam bilik tersebut.



Kakak pengantin perempuan memberitahu dengan bangganya kepada saya, bahawa barang-barang tersebut dibeli oleh keluarganya. Ianya sesuatu yang teramat penting dalam budaya perkahwinan orang Pakistan walaupun mereka beragama Islam, dan jika keluarga pengantin tidak dapat menyediakannya pengantin perempuan akan menerima risiko dihalau oleh keluarga mertua dan tidak diterima sebagai menantu! Konsep ini hampir menyamai konsep "dowry" dalam masyarakat hindu di India, mereka tidak menafikan perkara ini. Tetapi dengan pasrah kakak pengantin memberitahu, mereka masih terpaksa melakukannya. Dan tiba-tiba saya teringat akan kata-kata bapa pengantin perempuan sewaktu dia melarang saya dari mengucapkan tahniah kepadanya di malam berinai.

Sunday, October 10, 2010

I'tikaf & Mehfil-e-Shabina

Sepuluh malam terakhir adalah antara malam yang terpenting dalam Ramadhan kerana di Pakistan mereka akan mengadakan perhimpunan i'tikaf besar-besaran selama 10 hari itu. I'tikaf ini bukanlah i'tikaf yang seperti biasa; mereka sebenarnya berkampung dalam masjid itu, tidur dan makan juga dalam masjid. Dan mereka percaya mereka tidak boleh keluar dari masjid selama tempoh i'tikaf itu dan mereka percaya itu adalah sunnah nabi yang sangat-sangat dituntut. Mereka tidak akan balik ke rumah atau pergi kerja selama 10 hari itu. Saya lihat sendiri semua itu berlaku di dalam Masjid Faisal, di belakang rumah saya itu. Malah saya berbual-bual dan menemuramah mereka mengenai hal tersebut.


Tiga malam terakhir pula diadakan Mehfil-e-Shabina di semua masjid utama termasuk Masjid Faisal. Masjid dihias cantik dengan lampu yang berwarna-warni dan kelihatan sungguh meriah dan sekali. Apa yang saya faham pada malam-malam Mehfil-e-Shabina mereka akan bertarawih dengan 10 juzu' bacaan al-Quran pada setiap malam dan akan menghabiskan 30 juzu' untuk tiga malam tersebut. Pada malam kedua Shabina saya telah berkunjung ke Masjid Faisal untuk melihat dan mengalami sendiri suasana malam Shabina di Islamabad. Saya cuma rasa 10 juzu' adalah terlalu lama dan saya cuma bertarawih 4 rakaat, itu pun cuma siap pada pukul 11 malam. Menurut mereka tarawih pada malam Shabina biasanya akan siap pada pukul 3 pagi.

Saya berjumpa Imran, seorang pelajar di sebuah universiti yang menjadi pekerja sukarela untuk program i'tikaf itu dan turut menyertai i'tikaf. Selama 10 hari itu dia cuma duduk dalam masjid sambil menyelia dan menyelaraskan program tersebut. Menurutnya, peserta yang ingin menyertai i'tikaf di masjid Faisal terpaksa mengisi borang permohonan  sebulan sebelum Ramadhan kerana tempatnya adalah sangat terhad. Peserta-peserta adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan ada yang datang sejauh dari Peshawar dan Kashmir untuk beri'tikaf di masjid kebanggaan Pakistan itu. Imran membawa saya berjalan-jalan dalam masjid, tempat mereka tidur, makan dan hampir setiap sudut masjid tersebut. Dia juga menjemput saya untuk menyertai sehri dan aftari bersama-sama pada keesokannya, tetapi saya terpaksa menolak kerana komitmen lain.

Ramadhan kali ini saya tidak bertarawih bersama penduduk tempatan kerana rumah Malaysia mengadakan program tarawih pada setiap malam untuk semua orang Malaysia di Islamabad. Kadang-kadang terasa seperti bagaikan di Malaysia apabila kami berselawat seperti di Malaysia selepas setiap dua rakaat tarawih dan apabila selesai terawih kami menjamu selera dengan pelbagai kuih ala Malaysia yang dibawa oleh jemaah, sesuatu yang tidak dilakukan oleh orang Pakistan di masjid mereka. Dan di tempat yang sama kami bersolat sunat eidulfitri pada 1 Shawal dan menikmati segala hidangan kebiasaan pada pagi raya, lalu lepaslah sedikit kerinduan pada Malaysia tanah air tercinta.