Thursday, February 11, 2010

Peminum Yang Bersyukur Menjadi Muslim

Di tangan kanannya adalah Embun, anak saya. Dia mendukungnya dengan penuh kasih sayang. Tetapi di tangan kirinya adalah tin minuman keras. Sambil mencium Embun dia meneguk arak itu. Saya meminta untuk mendukung Embun daripadanya supaya dia dapat minum dengan selesa. Tetapi dia enggan membenarkan saya mendukung Embun malah menyuruh saya mengambil makanan saya dan makan terlebih dahulu kerana kami adalah tetamu yang sangat dimuliakannya. Lalu saya tidak dapat berbuat apa-apa, hanya melihat sahaja dia mendukung anak saya sambil meminum arak dan bergelak ketawa dengan tetamu-tetamunya yang lain (kebanyakan orang kulit putih dari Eropah) kesemuanya meminum arak. Agaknya hanya saya dan Mawar sahaja yang tidak 'minum' pada perkelahan di Ladang Mirjal itu.


Dalam perbualan kami, dengan tidak sengaja saya telah berkata bahawa saya merasakan orang India dan Pakistan adalah hampir sama serta sukar dibezakan. Dan dia dengan tegasnya menafikannya. Pada masa itu saya hampir terlupa bahawa orang Pakistan amat anti pada India dan kenyataan saya itu amat tidak digemarinya, tetapi saya telah terlepas cakap. Dengan penuh semangatnya dia menerangkan kepada saya bahawa terdapat banyak perbezaan antara orang India dan Pakistan.

"Yang paling utama adalah kerana kami Muslim, alhamdulillah, kami tidak Hindu", katanya dengan bangga sambil tangannya masih lagi memegang kemas tin jenama Murree Beer.

Seorang tetamu dari negara Scandinavia yang pernah tinggal di India menyampuk perbualan kami dalam nada berlawak, "dan orang Pakistan lebih banyak minum arak berbanding orang India". Kami pun gelak beramai-ramai. Kemudian, lelaki Pakistan itu memberitahu saya, "saya tahu orang Islam dari Malaysia tidak meminum arak, bukan?" Saya mengangguk dan senyum kepadanya. "Ada juga Muslim yang terlalu liberal di negara saya".

Di Pakistan, minuman keras secara umumnya tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam negara kecuali bagi yang mendapat permit daripada pihak berkuasa dan biasanya hanya diberikan kepada orang bukan Islam. Tetapi terdapat ramai orang kaya yang beragama Islam di sini yang meminum arak di dalam rumah mereka atau di tempat-tempat persendirian dan jika mereka minum, bagaikan orang yang sangat dahaga!

3 comments:

atbk said...

hmm
ntah lahh

Aku... said...

Salam...Sesuatu yang mungkin tidak dapat dilarikan daripada kenyataan hidup hari ini walau di mana pun..... Mungkin Embun tidak bersetuju dengan saya kerana terpaksa menghidu bau masam mulut kawan saudara...

kelisa_samudera said...

saya teringat satu cerita di INTAN tentang pegawai dari Tajikistan. apabila mereka nampak lauk daging yg disediakan di intan, mereka akan bertanya, 'halal?' kerana mereka risau daging babi.
tetapi apabila mereka mendapat berita kelahiran bayi di negara mereka, mereka meraikannya dengan minum arak.