Jika anda ke Lahore janganlah sekali-kali melepaskan peluang untuk melihat upacara pertukaran bendera di sempadan Wahga, iaitu sempadan antara Pakistan (Lahore) dan India (Amritsar). Ia adalah sebuah upacara yang penuh emosi dan semangat patriotik. Sukar untuk menggambarkan melalui tulisan bagaimana meriahnya suasana itu sehingga saya yang tidak berdarah Pakistan pun tiba-tiba menjadi naik bersemangat apabila menyaksikan upacara itu dan berada dalam suasananya. Mulanya saya berasa seakan-akan terharu dan seperti ingin menangis melihat mereka.
Mereka menjerit "Pakistan Zindabad" dengan penuh bersemangat dan pada masa yang sama melawan jeritan "Jhai Hind" di sebelah sana. Dan apabila satu suara dari pembesar suara menjerit "Pakistan ka matlab kya?" mereka semua menyahut "lailahaa illallah!". Begitulah antara laungan-laungan yang tidak henti-henti dan kadang-kadang mereka bertakbir "Allahu akbar, Allahu akbar!" Di tengah-tengah jalan yang menjadi tumpuan mata semua pengunjung terdapat tiga orang berbaju hijau dan seluar putih yang bertindak mengkoordinasikan jeritan dan menaikkan semangat semua pengunjung. Dan askar-askar Pakistan yang semuanya tinggi-tinggi berkawad dengan menaikkan kaki 90 darjah ke hadapan.
Ia sebenarnya hanyalah satu upacara penukaran bendera sebagai simbolik pertukaran pengawal yang sangat ringkas. Tetapi mungkin cara bagaimana mereka melakukannya itu dan ditambah pula dengan konflik berpanjangan India-Pakistan, telah menarik beribu-ribu pengunjung setiap hari, malah ada yang tidak sempat masuk ke arena kerana pintu telah ditutup lebih awal. Kami sendiri pun terpaksa mencuba dua kali, kerana pada hari pertama kami ke situ pintunya telah ditutup sebelum kami tiba. Tetapi setelah menyaksikannya baru saya sedar bahawa memang berbaloi bersusah-payah bersesak di jalan yang kotor dan berdebu untuk ke situ. Selesai upacara tersebut, tiba-tiba ada seorang pemuda menegur kami dalam bahasa Malaysia. Dia datang ke Pakistan kerana menziarahi keluarga di sebelah ayahnya yang berasal dari Pakistan. Ayahnya kemudian memperkenalkan dirinya sebagai KSU di sebuah kementerian.
4 comments:
tuan tidak menyatakan apakah rasional pertukaran bendera itu? adakah kerana prosedur diplomatik atau sebagainya? atau adakah ia hanya simbolik pertukaran bendera biasa seperti pertukaran pengawal di istana negara?
jika ia hanya prosedur diplomatik, mengapa penduduk mereka begitu bersemangat?
mohon untuk jelaskan dengan terperinci.
Salam....terima kasih kerana mengizinkan saya terus membaca di blog ini....
aku baru je tgk upacara ini dalam documentary michael palin 3 hari lepas. it's indeed very funny the way they march and slamming the border gate.
KelisaS, Saya rasa ia tidak ada kaitan langsung dengan hubungan diplomatik, sekadar simbol kepada pertukaran pengawal (telah saya edit sedikit entri saya ini). Semangat penduduk mereka sangat berkobar2 kerana mereka memang secara dinginnya berperang dengan India, jadi upacara ini juga agaknya simbolik kepada perang dingin tersebut.
Aku, terima kasih juga atas sokongan anda.
Aiman, yep, it's funny too!
Post a Comment