Sunday, January 03, 2010

Masjid Badshahi & Gurdawara Dera Sahib






Kunjungan ke Lahore tidak akan lengkap tanpa melawat Lahore Fort yang mana di situ juga terdapatnya Masjid Badshahi dan Gurdawara Dera Sahib yang sangat hebat senibinanya. Sekali imbas Masjid Badshahi kelihatan seperti Taj Mahal. Tetapi pada masa kunjungan kami, Lahore Fort tidak dibuka sepenuhnya atas sebab tarikh perayaan Hari Karbala (sempena Muharam) yang yang kami tidak berapa pasti apa signifikan dan kaitannya dengan kota itu.

Pertama kali memandangnya, saya sudah sangat mengagumi Masjid Badshahi. Di hadapannya terdapat ruang lapang yang sangat luas. Dalamnya tidak berapa luas, tetapi senibina dan hiasan dinding serta silingnya cukup membuatkan ia begitu istimewa. Gerbang di hadapannya turut menempatkan sebuah muzium yang mempamerkan banyak barang-barang yang disandarkan pada Rasulullah dan Husin, seperti capal Rasulullah, tapak kaki Rasulullah, serban, baju, rambut, senjata dan sebagainya. Saya tidak tahu jika saya harus mempercayai dakwaan mereka dan lebih selesa bersikap berkecuali. Tetapi saya melihat pengunjung-pengunjung Pakistan lain mencium-cium kotak cermin pameran itu, menangis-nangis dan tidak putus-putus berdoa. Di suatu sudut di tepi gerbang itu, terdapat pameran Quran yang ditulis sulaman benang emas yang sangat kemas dan cantik hasil kerja tangannya. Setelah melihat pameran-pameran tersebut, kami disuruh meletakkan siling ke dalam sebuah kotak besi dan setiap pengunjung harus meletakkan duit syiling itu sendiri.

Di sekitar Lahore Fort juga terdapat sebuah Gurdawara yang mempunyai pelbagai sejarah dan ceritanya yang tersendiri. Walaupun gurdawara itu ditutup tetapi seorang penjaga di situ menawarkan kami untuk masuk melawat ke dalamnya kerana menyedari kami orang asing dan lebih-lebih lagi kerana kami dari Malaysia. Kami dibawa melawat ke dalamnya dan seorang lelaki Sikh yang berserban menerangkan tentang sejarah tempat itu. Ketika masuk ke dalam tempat sembahyang mereka, kami diwajibkan menutup kepala sebagai penghormatan.


Dan saya tidak akan lupakan sehelai kain lepas panjang berwarna oren yang dihadiahkan kepada saya sebagai penghormatan kepada tetamu asing yang melawat ke rumah ibadat itu. Lelaki Sikh itu sendiri yang memakaikannya ke atas leher saya di hadapan tempat letak kitab suci mereka dalam dewan sembahyang gurdawara itu, dan juga sehelai dupatta berwarna oren untuk Mawar. Menurutnya, gurdawara itu adalah salah sebuah tempat suci bagi penganut agama Sikh dan pada setiap Jun setiap tahun akan diadakan perhimpunan yang akan dihadiri oleh penganut agama Sikh seluruh dunia termasuk dari Malaysia.

Jika saya ke Lahore lagi saya ingin sekali lagi melepak pada malam hari di Cocoo's cafe yang berdekatan dengan Masjid Badshahi, sambil mengambil gambar dari restoran yang berada di bumbung bangunan 4 tingkat itu. Dan bersarapan pagi di Restoran Capri di hadapan Capri Cinema yang menyediakan nashta yang sangat enak.

4 comments:

kelisa_samudera said...

saya baru sahaja 'berkenalan' dengan agama Sikh. memang diakui penganut mereka mempunyai budi pekerti yang tinggi.

adakah negara kita dipandang tinggi sehinggakan tuan dan keluarga dibenarkan masuk?

Nafastari said...

KelisaS, ya mungkin benar. Ya negara kita dipandang tinggi, dan penghormatan itu juga adalah kerana saya memperkenalkan diri saya beserta pekerjaan saya di sini.

Serikandi Islam said...

asif,saya menyukai semua entry blog ni sehinggalah saya membaca entry yang ini. entry ini seolah-olah mempromosi islam yang liberal. maaf jika saya silap,akhi..tapi saya tidk berapa senang dgn tindakan melawat gurdwara malah dipakaikan selendang atau apapun kerana seolah-olah mengakui n approve agama mereka. sama juga seperti kita tdak digalakkan[ada yg kata tak dibenarkan] melawat kuil dan gereja kerana seolah-olah berkompromi atau merelakan kekufuran. Nauzubillah.

apa-apapun,saya serahkan kepada anda untuk berfikir yang terbaik demi ke'izzahan' Islam.assalamualaikum

Nafastari said...

Serikandi Islam,
Terima kasih kerana menyukai blog ini. Saya rasa anda tidak wajar menghukum sesiapa dengan perkataan "seolah-olah" anda itu. Kalau anda bertanya saya, saya tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatkan bahawa semua agama adalah sama, malah saya sekeras-kerasnya membangkang. Tetapi sebagai warga dunia yang berfikiran terbuka, saya ingin mengenali semua jenis manusia yang berlainan latar belakang kehidupan dan agamanya. Saya percaya kita mesti menghormati cara orang apabila di tempat orang, selagi ia tidak menggadaikan prinsip dan agama sendiri, dan semoga dijauhkan fitnah ke atas diri saya. Terima kasih atas komen anda, silalah berkunjung lagi.