Sunday, November 29, 2009

Eid Qurban di Pakistan

Apa yang saya perhatikan dengan jelas, Muslim di Pakistan menyambut idul adha dengan sangat meriah sekali, dan mereka lebih teruja untuk menyambut idul adha berbanding dengan idulfitri. Seorang kenalan Pakistan yang sangat rapat dengan saya langsung tidak peduli untuk pulang berhari raya ke kampungnya pada idulfitri lalu, malah bekerja lebih masa di hari raya puasa tetapi kali ini dia bersusah payah menyewa sebuah kereta untuk pulang berhari raya di Kohat, serta memohon cuti tambahan selama dua lagi dengan majikannya. Sama seperti musim raya puasa di Malaysia, mereka akan menghadapi masalah pengangkutan untuk pulang berhari raya di kampung dan mereka melakukan apa sahaja untuk balik ke kampung, termasuk menumpang di atas bumbung bas.

Di beberapa tempat di Islamabad, mereka menjual haiwan untuk korban di padang-padang. Lembu dan kambing dihias cantik dengan segala barang perhiasan digantung pada leher dan diwarnakan berwarna-warni di seluruh badan, dipamerkan kepada umum bagi menarik perhatian pembeli-pembeli yang berminat. Kadang-kadang ia kelihatan begitu lucu sekali, melihat kambing dan lembu diwarnakan dan dihias dengan kalung-kalung leher berwarna-warni, tetapi inilah Pakistan- jiran kepada India.

Kami warga semua warga Malaysia kira-kira seramai 50 orang berkumpul di satu tempat dan melakukan ibadat korban di tepi sebuah taman awam dan seterusnya bergotong-royong memasak sebahagian daripada daging tersebut untuk makan bersama-sama. Seekor lembu dan kambing telah disembeli oleh tukang sembelih Pakistan dengan caranya yang sangat berbeza daripada tukang sembelih Melayu. Dia agak kasar, boleh dilihat dengan jelas pada cara mereka merebahkan lembu. Mereka juga tidak membuka tali yang diikat pada kaki lembu sebaik sahaja lembu disembelih, lalu lembu tidak boleh meronta-rota dan menendang kakinya dan mereka juga tidak sabar-sabar ingin melapah kulit lembu dan dengan selamba menghiris-hiris kulit di bawah leher sewaktu lembu masih belum mati. Dan mereka juga dengan bersungguh-sungguh menarik ekor lembu sewaktu hendak di sembelih dan selepas di sembelih, satu perkara yang paling pantang bagi bapa saya yang juga seorang tukang sembelih di kampung kami.

Saya menegur mereka perkara-perkara yang pada pengamatan saya sebagai tidak kena, dan dengan selamba mereka menjawab, "tapi memang inilah caranya!" (But that's the rule, sir!). Orang Pakistan sangat teguh dalam mempercayai bahawa cara dan budaya merekalah yang paling baik dan betul, jadi anda mungkin tidak akan mempunyai banyak pilihan apabila berada di tempat mereka.

Wednesday, November 25, 2009

Perasaan Yang Hancur Lebur

Sewaktu saya hendak bersangka baik pada orang Pakistan yang saya jumpa, selalunya harapan saya itu akhirnya hanya akan dileburkan begitu sahaja. Dan selepas itu saya menjadi sangat kecewa dan tidak ingin berharap apa-apa yang berbeza dari orang Pakistan. Sikap dan perangai mereka sangat streotaip dan tidak keterlaluan jika saya katakan tidak apa-apa yang boleh dilakukan untuk mengubah mereka. Mereka akan tetap begitu.

Mereka sangat senang berjanji dan dengan mudah memungkiri, malah mengkhianatinya. Sebenarnya saya tersangat sakit hati dengan tuan rumah saya yang berjanji tentang beberapa perkara sewaktu kami hendak menduduki rumah ini dahulu. Dahulu saya rasakan dia adalah orang Pakistan yang sangat jujur dan tidak seperti orang Pakistan yang lain. Tetapi sekarang setelah dia mendapat semua bayaran untuk dua tahun (mereka berkeras bahawa bayaran sewa mesti dibayar terlebih dahulu bagi kadar 2 tahun), dengan selamba dia mungkir segala janji-janjinya. Malah tanpa rasa bersalah dan malu mereka menafikannya janji dan persetujuan yang mereka telah buat dengan kami. Macam-macam alasan dan helah diberikan. Pada mulanya saya berkeras hendak melawan kerana menyedari akan hak-hak saya.

Tetapi setelah berfikir panjang serta menghargai fakta bahawa mereka orang Pakistan yang sejati, saya rasa saya harus pasrah. Kali ini jika dia menelefon atau datang ke rumah saya lagi, saya akan katakan begini:

"Puan, saya sudah penat dan tidak mahu berfikir atau berhujah lagi. Dahulu pun, sewaktu sebelum saya datang ke sini saya sudah digambarkan tentang bagaimana sikap orang-orang di sini. Anda telah membuktikan segalanya benar. Jadi sekarang anda buatlah ikut suka hati anda agar semua faedah dan keuntungan berpihak kepada anda, saya tidak ingin minta apa-apa lagi. Saya harap anda akan puas hati dan gembira."

Atas beberapa sebab termasuk kerana sikap dan perangai tuan rumah itu, saya berasa menyesal memilih rumah ini. Jika diberi pilihan saya ingin berpindah. Tetapi buat masa ini semua itu bagaikan agak mustahil untuk berlaku.

Tuesday, November 24, 2009

Begitukah Suara Siswa?

Saya baru saja menonton Suara Siswa di TV1 yang membicarakan tajuk "berkorban apa saja" dan saya sedang terkejut melihat mereka semua. Mereka langsung tidak menunjukkan tahap keintelektualan dan ciri-ciri sebagai seorang mahasiswa yang berada di universiti. Perantara Fazley juga sangat tidak fokus, dia seakan-akan tidak tahu dan tercari-cari ke mana hendak bawakan arah perbincangan mereka. Pada mulanya dia bertanyakan kepada panel jemputan yang merupakan pemimpin-pemimpin pelajar di beberapa buah institusi, apakah pelajar perlu berkorban bidang pengajian yang menjadi minat mereka kerana ingin menurut kemahuan ibu bapa mereka. Seterusnya Fazley bertanyakan jika mahasiswa perlu berkorban maruah mereka kepada pensyarah, semata-mata kerana hendakkan gred yang bagus. Perbincangan mereka semua hanya berkisar kepada dua perkara itu sahaja. Kadang-kadang Fazley membacakan pendapat yang dihantar melalui Facebook.

Fazley juga mengadakan sidang video Skype dengan dua orang pelajar Malaysia di Australia dan Jepun. Apabila ditanyakan apakah pengorbanan mereka, pelajar di Jepun itu menjawab dia berkorban kerana terpaksa bergaul dengan pelajar-pelajar dari negara-negara lain. Ahli panel perempuan di studio juga ada menjawab bahawa sebagai seorang mahasiswa dia berkorban masa remajanya. Dia dan seorang lagi panel juga nampaknya tidak fasih berbahasa Melayu dan kadang-kadang menggunakan bahasa Inggeris. Begitu juga dengan seorang penonton di studio yang berkongsi pendapat, dia kedengaran seperti tidak mampu berbicara dalam bahasa Melayu sepenuhnya dengan bagus lalu mencampur-campurkannya dengan bahasa Inggeris, tetapi malangnya dia juga tidak fasih berbahasa Inggeris dan menyebut perkataan dalam bahasa Inggeris dengan salah.

Lalu saya terfikir, adakah tahap penguasaan bahasa, cara berkomunikasi, cara menyuarakan pendapat dan taraf keintelektualan mahasiswa Malaysia adalah serendah itu, sama seperti TV1? Dan seorang pemegang ijazah kedoktoran cuma mampu menanyakan soalan-soalan yang mudah dan tidak penting kepada mahasiswa yang akan menjadi tunjang kepada masa depan negara. Saya tidak pasti dari segi mana perbincangan mereka itu akan menggalakkan percambahan minda kepada mahasiswa yang menonton rancangan itu dan mereka gagal membincangkan tajuk forum mereka dengan berkesan. Tetapi apa yang saya lihat mereka nampaknya seronok dan terhibur sewaktu mendengar lagu cinta yang dinyanyikan oleh Saleem pada awal dan akhir rancangan.

Monday, November 16, 2009

Lombong Garam Batu Khewra



Perjalanan dari Islamabad ke Khewra (dalam daerah Jhelum) di mana terletaknya lombong garam batu mengambil masa kira-kira 2 jam. Kami melalui lebuhraya yang mempunyai 3 lorong dari Islamabad sebelum keluar di persimpangan Lila. Lebuhraya tersebut lebih dikenali sebagai motorway, mempunyai jalan yang agak selesa dengan kemudahan RnR. Tetapi setelah keluar dari motorway di Lila, kami terpaksa melalui jalan yang sangat daif. Jalannya sangat sempit, tidak rata, tiada papan tanda tunjuk arah atau amaran, tiada garisan putih di tepi dan garis putus-putus di tengah-tengah, sekadar jalan yang boleh dilalui. Kami melalui perkampungan Lila dan seterusnya Pind Dadan Khan yang agak gersang, kadang-kadang terlihat unta yang membawa orang atau barang-barang, kadang-kadang kelihatan juga kaldai dan kerbau-kerbau besar kurus yang bertanduk besar.

Sesampai di lombong garam batu Khewra, kami bersarapan terlebih dahulu di meja hadapan kaunter bayaran masuk. Mawar menyediakan nasi goreng, keropok dan spageti sebagai bekal sarapan kami. Mujurlah dua pemandu Pakistan yang membawa kami tidak mempunyai masalah untuk makan nasi goreng dan keropok yang dimasak oleh Mawar. Tetapi agak kelakar apabila kedua-dua Pakistan tersebut turut meletakkan sos spageti di atas nasi goreng, ala sambal tumis, kerana meniru seorang sahabat Malaysia yang sengaja ingin mencuba sos tersebut dengan nasi goreng.

Pihak berkuasa lombong tersebut kelihatan tidak bijak apabila mengenakan bayaran masuk yang sangat mahal kepada pelawat bukan warganegara Pakistan, agaknya mereka lupa tidak ramai pelancong yang ingin melawat ke negara mereka. Kami terpaksa membayar 7 kali ganda lebih mahal daripada bayaran yang dikenakan oleh pelawat tempatan, iaitu RS750, berbanding hanya RS100 kepada pelawat tempatan. Selain itu segala penerangan semasa di dalam lombong semuanya dalam bahasa Urdu, tanpa ada terjemahan ke dalam bahasa Inggeris, jauh sekali bahasa Melayu. Jadi, pelancong asing yang membayar 7 kali ganda akan sekali lagi berasa terdiskriminasi. Kami menghabiskan masa agak lama di dalam lombong berupa gua tersebut. Sebelum pulang, sempat menyinggah di kedai-kedai yang menjual lampu perhiasan garam batu di tepi jalan sepanjang jalan keluar dari lombong Khewra menuju ke pekannya.

Selepas itu kami konon-kononnya menuju ke Rohtas Fort, sebelum menyedari bahawa kami sebenarnya menuju ke Katas, bukan Rohtas. Ini adalah perkara biasa terjadi di sini, kerana pemandu Pakistan dengan yakin akan sentiasa mengatakan "yes, sir!" terlebih dahulu jika anda bertanya apa-apa. Mereka telah berkata bahawa mereka tahu tempat tersebut dan setelah menyedari ia silap, dia akan memberi pelbagai alasan bagi menjustifikasikannya. Perjalanan dari Khewra ke Katas melalui jalan di lereng pergunungan yang agak mencabar, sebelum kami berjumpa perkampungan Alam Abad dan pekan Choa Saidan Syah.

Kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Rohtas Fort, kerana menurut pemandu kami boleh sampai dalam masa sejam lebih. Tetapi setelah hampir 3 jam berjalan kami masih belum nampak tanda-tanda menuju Rohtas Fort. Menjelang Magrib kami sampai di sebuah pekan Gujar Khan. Kami singgah sebentar untuk bertanyakan arah Rohtas Fort dan membeli sedikit pisang dan kentang goreng bagi menghilangkan lapar. Akhirnya kami membatalkan hasrat untuk ke Rohtas Fort pada hari itu, dan terus pulang ke Islamabad.

Tuesday, November 03, 2009

Hidup Itu InsyaAllah

Kadang-kadang saya fikir nyawa manusia bagaikan terlalu murah di sini, beratus-ratus orang mati begitu sahaja akibat pengeboman berani mati. Tidak sampai seminggu selepas sekurang-kurangnya 117 orang mati di Peshawar, 35 orang pula mati di Rawalpindi semalam. Dan semalam juga pada sebelah petangnya, berlaku satu lagi letupan bom di Lahore yang mengakibatkan 25 orang cedera termasuk anggota polis dan keselamatan. Hampir setiap hari ada sahaja berita tentang bom membuatkan ia tidak begitu mengejut atau mengujakan lagi. Melalui media-media di sini, diperhatikan bahawa pihak berwajib tidak mengambil langkah yang serius bagi menghalang kematian rakyat yang tidak bersalah. Malah beberapa ketika saya melihat seolah-olah mereka sengaja menjolok-jolok sarang tebuan.

Tetapi kami tetap meneruskan hidup seperti biasa. Kami keluar rumah seperti biasa, ke Pasar Rana, bazar Jinnah Super F7, Supermarket F6, Bazar G10 dan sebagainya. Kami harus membeli baju dan jaket untuk menghadapi musim sejuk, membeli duvet tebal, membeli sayur dan ikan dan lain-lain. Sekarang suhu di Islamabad menjadi semakin sejuk, purata lebih kurang 15 darjah dan ia akan menurun sehingga paras negatif apabila tiba kemuncak musim sejuk Disember dan Januari nanti. Ketakutan dan kebimbangan sudah tidak perlu difikirkan jika ingin hidup seperti orang normal di negara yang bergolak seperti ini. Hidup dalam ketakutan adalah bagaikan tidak hidup, keberterusan hidup memerlukan sedikit keberanian yang bijak.

Di kedai ikan Fresh Seafood Pasar Rana yang menjual ikan tidak segar, saya melihat penjualnya sibuk menonton berita di TV dan saya menegurnya, "ada bom lagi hari ini? di mana pula?"
Dia tergelak besar mendengar soalan saya. "Belum ada lagi", dia menjawab.
Dan selepas itu kami ketawa bersama-sama.


Dan saya mula menyedari Mawar juga sudah tidak ketakutan seperti kami mula-mula tiba di Islamabad 5 bulan yang lepas. Malah saya rasa jiran saya lebih takut dengan keadaan di negaranya sendiri, Ahad lepas dia menghalang anaknya keluar ke Itwar Bazar (bazar Ahad) dengan kami walaupun anaknya telah berjanji. Petang tadi Mawar mengajak saya keluar untuk menghirup sup ayam jagung panas di Jinnah Super. Dan dengan selamba kami beserta Embun keluar selepas Maghrib tadi, walaupun terdetik juga di hati saya bagaimana jika kami semua berada di tempat salah pada waktu yang salah. Dalam kenderaan sebelum sampai saya cuma berdoa dalam hati dan membaca ayat-ayat perlindungan, semoga Tuhan sahaja yang memberi kami perlindungan. Dan sesungguhnya jika sudah ajal, saya harus mati di mana-mana sahaja dengan sebab apa-apa sahaja.