Thursday, October 29, 2009

Lagu dan Kisah

Pagi tadi sewaktu dalam perjalanan dari rumah (di Islamabad) ke tempat kerja, saya mendengar CD di dalam kenderaan itu, lagu "Capri" yang lunak sekali dilagukan oleh Colbie Caillat menerjah masuk dalam corong telinga, dan menerawang sehingga entah ke mana-mana. Tiba-tiba sahaja pemandu saya menoleh ke arah muka saya dengan pelik. Rupanya saya tersenyum dan sengih sendirian. Lirik lagu Capri menceritakan tentang seorang bayi comel yang berada dalam perut ibunya.

Lagu indah yang bersahaja itu selalu mengingatkan saya pada peristiwa lepas, sewaktu di Kuala Terengganu ketika mula-mula hidup bersama Mawar dan Embun yang masih di dalam kandungan. Kami selalu mendengar lagu itu dalam kereta sewaktu kami bersiar-siar di sekitar Terengganu, ke pantai Batu Buruk, balik ke Setiu dan sebagainya. Dan sebenarnya ketika kami mula mendengar lagu Capri, Embun belum pun berada dalam kandungan Mawar. Lantunan suara Colbie yang sangat sedap dan lembut itu mengembalikan ingatan kepada memori lepas serta memberikan rasa yang menuntun jiwa, sangat indah, sukar dimengertikan dengan kata-kata atau tulisan. Ia bagaikan memberikan satu rasa kelegaan yang hampir kepada khayal.

Penulis bukanlah seseorang yang terlalu taksub dan mahir dengan lagu-lagu atau artis, tetapi terdapat beberapa lagu yang digemari. Kecenderungan saya lebih kepada lagu bergenre country, klasik dan lagu berentak perlahan yang biasanya dinyanyikan secara bersahaja. Saya menyukai Colbie Caillat, Norah Jones, Jason Mraz, Julio Iglesias, Robbie William, Michael Buble, Coldplay, MLTR, selain dari Siti Nurhaliza, Ramli Sarip, M. Nasir, Sheila Majid dan Jamal Abdillah. Dan juga sangat menghargai suara yang mementingkan lontaran vokal seperti Josh Groban, Andrea Bocelli dan Il Divo. Juga penyanyi Indonesia seperti Sheila On 7, Peterpan dan Rossa. Lagu Sephia dan You Took My Heart Away (MLTR) misalnya mengingatkan saya pada memori di Pusat Matrikulasi UIA, dan mendengar lagu Dealova (Once) dan Ruang Rindu (Letto) akan mengingatkan saya pada saat-saat sebelum saya menikahi Mawar.

Semoga Tuhan mengampuni saya pada setiap kali saya mendengar lagu lalu saya khayal dan lalai dari mengingatiNya. Dan sebab itu juga saya tidak kisah jika orang berkata sesetengah muzik atau konsert itu haram. Ia bukanlah perkara utama atau asas dalam kehidupan, manusia masih boleh hidup seperti biasa tanpa muzik atau maksiat.


Monday, October 26, 2009

Masa Yang Terlalu Sedikit

Tampaknya Kuala Lumpur masih sama, laju mengorak langkah meninggalkan jauh Islamabad terutama dari segi infrastruktur dan ketamadunan masyarakatnya. Kami tidak lupa ke Taman Ilmu dan Budi di Gombak meraikan kejayaan Mawar menggenggam segulung ijazah yang sebenarnya tidak digulung. Lebih manis si comel Embun turut mengiringi lalu lengkaplah impian Mawar ingin memakaikan topi konvonya kepada anak perempuannya. Sekalung tahniah!

Saya lihat UIAM semakin cantik bangunan dan lanskapnya, cuma saya berharap agar keadaan dalam kampus itu lebih islamik, terutama dari segi pakaian serta cara pergaulan sebahagian daripada mereka. Saya amat gembira melawat UIAM, suatu tempat kebanggaan saya yang akan dikenang sampai bila-bila. Jika saya tidak menyambung pelajaran di peringkat sarjana di luar negara, saya teringin untuk membuatnya di taman itu lagi. Di Islamabad juga terdapat sebuah UIA yang mana telah pun dibom oleh dua orang pengebom berani mati pada minggu lepas menyebabkan lapan orang kesemuanya meninggal dunia. Saya belum pernah melawat ke kampus UIA di Islamabad dan sekarang nampaknya semakin sukarlah untuk ke situ.


Masa kepulangan ke Terengganu banyak saya habiskan dengan menikmati ketenangan serta alam semulajadi yang memayungi warisannya. Pantai berpasir putih di kampung saya itu berkali-kali saya kunjungi, dan masih tidak puas-puas juga. Saya berenang di pantai itu yang suatu masa dahulu menjadi tempat mainan kami, dan saya juga heret Mawar serta Embun untuk bermandian bersama-sama! Kami juga banyak 'berhabis' di pasar besar kedai payang membeli batik-batik sebagai bekalan bagi memperkenalkan kepada orang sini bahawa itulah pakaian kebangsaan kami, walaupun kedangkalan Indonesia sibuk meruncing buluh memarahi kami kerana mencuri batik dan tariannya. Di Terengganu hujan turun hampir setiap petang mungkin menandakan musim tengkujuh akan hadir tidak lama lagi.

Kepulangan yang pernah ditunggu-tunggu itu telah pun berakhir pada Jumaat lepas, 23 Oktober. Tengah hari dari Kuala Lumpur dan seterusnya kami singgah sebentar di Bangkok sebelum meneruskan perjalanan ke Islamabad. Malamnya udara sejuk musim luruh menyambut kami sewaktu menjejak kaki ke Lapangan Terbang Benazir Bhutto yang selalu mengecewakan itu, atas beberapa sebab saya mula membenci lapangan terbang itu, sama seperti saya membenci sikap orang-orang Pakistan secara keseluruhannya. Dan kali ini saya datang ke Pakistan buat kali keduanya, dengan minda dan rasa yang lebih bersedia dan terbuka. Sekarang saya sememangnya lebih banyak berserah dan pasrah.

Wednesday, October 14, 2009

Sesampai di Malaysia

Sekarang saya sedang bernafas di udara yang lebih lembap dan berat. Sudah seminggu lebih saya kembali ke sini dan ia memberikan satu rasa yang sangat membahagiakan. Agak klise, tetapi saya perlu menyatakan bahawa sekarang saya memang lebih menghargai tanah air sendiri terutama setelah menghabiskan lebih banyak masa di bumi Islamabad yang jauh berbeza dari Kuala Lumpur mahupun Kuala Terengganu. Saya juga telah benar-benar faham kenapa mereka menyebut hujan batu di negeri sendiri lebih baik dari hujan emas di negari orang. Saya telah pun merasainya sendiri. Buat pertama kalinya juga saya telah berpuasa dan menyambut 1 Syawal di perantauan, tanpa emosi yang berlebih-lebihan.

Sejak minggu lepas media-media di Malaysia tidak putus-putus menyiarkan berita tentang pengeboman dan keganasan yang belaku di Pakistan. Saya tidak kisah sangat jika ia berlaku di Peshawar kerana ia agak jauh dari islamabad, tetapi agak menarik perhatian apabila ia menyebut satu kejadian pengeboman berlaku di sebuah pejabat PBB di Islamabad. Saya tahu tempat itu, selalu melaluinya dan ia tidak jauh dari kediaman saya di Sektor E7 Islamabad. Dan beberapa hari selepas itu kejadian serangan berani mati berlaku lagi di Rawalpindi, tempat yang selalu saya kunjungi untuk membeli-belah. Berpuluh-puluh orang meninggal dunia, dengan begitu saja. Nampaknya trend serangan di Pakistan sekatan sudah mulai memasuki kota yang saya sedang duduki. Ia agak membimbangkan kami, walaupun kami masih positif bahawa keadaan di sana tidaklah seteruk yang digambarkan oleh media.

Tadi rakan Malaysia di sana menghantar SMS, "keadaan masih dalam kawalan, cuma ada kejadian tembak menembak di kem askar di Rawalpindi". Seorang rakan yang lain membalas pertanyaan di ruang bual Facebook, "kedaan Islamabad sekarang agak tegang sedikit, tapi selamba saja keluar membeli-belah". Memang jauh perbezaan antara kenyataan media Malaysia dengan rakan-rakan yang tinggal di Islamabad.

Di sini di tanah air sendiri keadaan jauh berbeza. Tiada lagi sekatan-sekatan keselamatan di jalan-jalan raya, tiada lagi pemeriksaan imbasan di badan sewaktu hendak memasuki kedai dan restoran, tiada lagi hon yang menyakitkan hati di jalan raya. Kami bebas ke sana ke mari dan merasai pelbagai jenis makanan dengan aman tanpa perlu berteka-teki selepas ini hotel atau pasar mana yang akan dibom. Masa bagaikan terlalu pantas dan saya perlu membuat terlalu banyak benda sebelum kembali menghadap rutin di tanah berdarah Pakistan. Tiada apa yang perlu ditakutkan sangat, sebaliknya hidup yang memang perlu diteruskan.