Wednesday, September 30, 2009

Memanjat Margalla di Pagi Ramadhan


Melalui seorang rakan senegara yang juga bekerja di sini saya diperkenalkan dengan satu hobi baru yang sangat menarik. Memanjat bukit Margallah yang terletak di pinggir bandar Islamabad adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan, terutama apabila sudah berada hampir di puncak sambil di kelilingi dengan pemandangan kawasan perbukitan yang sangat indah. Bandar Islamabad yang tersusun serta Tasik Rawal yang luas boleh dilihat dengan jelas dari atas puncak bukit Margalla. Terasa diri sangat hebat dan bagaikan tidak percaya bahawa kami yang berpuasa boleh melakukan perkara sebegitu.


Pertama kali memanjatnya di pagi bulan Ramadhan yang lepas dan saya cuma berhenti di salah satu puncak yang cuma memakan masa lebih kurang sejam dari kaki bukit. Tetapi kali kedua ke sana, iaitu dua hari sebelum hari raya, kami telah memberanikan diri untuk mendaki sehingga ke puncak Pir Sohawa. Treknya agak mudah dan tidak membahayakan, walaupun ia agak curam dan sangat memenatkan. Sesekali kami terserempak dengan pendaki-pendaki lain yang terdiri daripada orang tempatan dan juga rakyat asing. Perjalanan dari kaki bukit hingga ke Pir Sohawa akan mengambil masa lebih kurang dua jam.


Apabila hampir sampai di Pir Sohawa, kami akan melewati satu kem askar yang berkawal di situ. Selepas itu kami pasti akan berjumpa dengan sekumpulan kanak-kanak yang menjual bunga unik yang dibuat mereka sendiri. Pertama kali berjumpa mereka saya berasa sangat teruja dan cuba berbual-bual dan bergambar dengan mereka. Saya tidak membeli bunga mereka, tetapi memberikan Rs10 setiap seorang. Selepas mendapat duit mereka tidak pedulikan kami lagi. Pada kali kedua saya berjumpa mereka saya membeli dua kuntum bunga yang dianyam dari daun yang kelihatan seperti daun kelapa, saya membayar mereka Rs20 untuk setiap satu bunga. Bukanlah kerana saya sangat berkenan pada bunga itu, tetapi atas rasa semata-mata kasihan terutama apabila melihat bagaimana rupa dan keadaan mereka.

Jika menaiki bukit hingga ke Pir Sohawa, biasanya kami akan turun kembali ke kaki bukit dengan menaiki kenderaan. Tetapi saya berharap bahawa di masa hadapan, saya akan mendaki naik dan selepas itu akan turun juga dengan melalui trek.

Saturday, September 26, 2009

Baju Kurung Pertama Embun




Dulu-dulu sewaktu saya masih di sekolah menengah, dan sewaktu ibu saya belum diserang penyakit strok, saya pernah belajar menjahit baju melayu daripada beliau. Seingat saya, mungkin saya pernah menjahit lebih daripada 7 helai baju melayu termasuk baju melayu kepunyaan saya sendiri. Saya tidak pernah belajar menjahit baju kurung, tetapi selalu melihat bagaimana ibu dan kakak-kakak saya memotong dan menjahit baju kurung. Menurut mereka membuat baju kurung sangat senang sekali dan jika seseorang mampu menjahit baju melayu tentu mereka juga akan tahu bagaimana menjahit baju kurung.

Syawal tahun ini saya buat pertama kalinya saya menyambutnya dengan anak perempuan saya yang sudah berusia lebih 5 bulan. Tiba-tiba Mawar mencadangkan supaya saya menjahitkan sepasang baju kurung untuk Embun dan saya sangat teruja untuk mencubanya. Saya beranikan diri memotong sepasang baju kurung untuk Embun daripada sehelai kain dupatta yang berwarna merah jambu. Sewaktu hendak memotong pesak saya terpaksa menelefon kakak saya di Terengganu bagi mendapatkan tunjuk ajarnya kerana saya kurang pasti bagaimana mereka memotongnya. Saya memotong bahagian baju, dan Mawar pula membuat kain susunnya.

Sebenarnya kami tidak punyai mesin jahit, lalu terpaksa menjahit dengan jahitan tangan. Pada mulanya saya tidak kisah badan saya yang lenguh kerana asyik menunduk bagi menyiapkan jahitan baju tersebut. Tetapi akhirnya saya tewas dengan kemalasan saya dan tidak berjaya menyiapkan baju tersebut untuk hari raya pertama. Mujur akhirnya saya mendapat tahu kawan Malaysia saya mempunyai sebuah mesin jahit di rumahnya dan dia sudi meminjamkan saya untuk menggunakan mesin itu. Di hari raya ketiga akhirnya Embun memakai sepasang baju kurung yang dijahit dengan penuh kasih sayang. Tetapi untuk raya tahun hadapan, Embun tidak perlu risau lagi kerana ayahnya sudah berkira-kira untuk membeli sebuah mesin jahit.

Wednesday, September 16, 2009

Salam Satu Malaysia

Jika seorang perdana menteri di Malaysia pernah menyebut perkataan "wawasan 2020", maka seluruh isi Malaysia juga akan ikut menyebutnya. Diciptakan slogan, lagu tema dan dipopularkan sehingga semua rakyat benar-benar faham akan maksud dan falsafah di sebalik perkataan itu. Selepas itu, perdana menteri yang lain memilih untuk menyebut perkataan "cemerlang, gemilang dan terbilang". Seperti biasa media-media sibuk mempopular segala retorik ini dengan pelbagai cara. Lagunya dicipta, dinyanyikan secara koir dan disiar berulang-ulang. Sekolah dan pejabat menghias dindingnya dengan kata-kata slogan ini. Kanak-kanak sekolah yang hendak memenangi pertandingan pidato juga harus menyebut perkataan ini dalam persembahannya.

Sekarang perdana menteri telah menyebut "Satu Malaysia", lalu terpaksalah seluruh Malaysia turut berzikir dengan slogan ini. Pembaca berita TV diarahkan untuk memulakan berita dengan menyampaikan salam satu Malaysia yang baru ditemui ini. Di TV, radio atau apa yang berkaitan dengan kerajaan slogan ini dipopularkan dengan pelbagai cara. Sebagai seorang warganegara yang setia dan patriotik penulis tidak ketinggalan menyokong usaha murni Perdana Menteri dalam membentuk perpaduan yang utuh di kalangan rakyat berbilang kaum yang telah merdeka selama 52 tahun ini, dan selama itu Barisan Nasional (dulu Perikatan) telah memerintah negara sehingga ia menjadi Malaysia yang kita nikmati sekarang. Teringat pula pertanyaan sinis menteri besar Kelantan, "jadi selama ini kita ada berapa Malaysia?"

Di sisi yang lain Pakatan Rakyat sedang giat berusaha dalam memenangi hati rakyat. PAS sedang menimbang dengan seriusnya kemasukan ahli bukan beragama Islam ke dalam partinya. Orang india dan cina banyak memberi undi kepada PAS dalam pilihanraya yang lalu. Theresa Kok pula berbangga DAP telah pun membuka cawangan melayu pertamanya di Bandar Kinrara dan meraikan mereka dalam satu majlis berbuka puasa, walaupun melayu-melayu tersebut telah dituduh sebagai "sesat dalam politik" oleh orang UMNO. Parti Keadilan pula telah lama mendabik dada sebagai parti berbilang kaum yang paling popular dengan meletakkan asas keadilan sejagat dalam perjuangan mereka. Nampaknya parti politik di Malaysia telah menjadi lebih terbuka dan merentasi sempadan kaum serta agama. Dari satu segi mereka kelihatan lebih dekat dengan konsep Satu Malaysia yang sedang hebat dipromosikan sekarang.

Tetapi sekumpulan manusia di seksyen 23 Shah Alam telah menyebabkan Satu Malaysia menjadi sangat kecewa, mereka mengusung kepala lembu yang masih berdarah bagi membantah pembinaan sebuah kuil Hindu berhampiran dengan kawasan kediaman mereka. Caranya sangat agresif, melukakan hati penganut agama Hindu dan memalukan ummat Islam. Mereka inilah agaknya golongan yang tidak memahami slogan Satu Malaysia yang telah disebut berkali-kali oleh pemimpin. Mereka juga mengutuk Menteri Besar Selangor, ahli parlimen Shah Alam serta ADUN Batu Tiga dengan penuh emosi kebencian, tetapi tidak malu-malu mengaku menjadi ahli PAS, memakai kopiah serta bertempik "Take Beer!". Dan akhirnya saya lega membaca berita bahawa mereka telah didakwa di mahkamah atas perbuatan mereka yang tidak bertamadun itu.

Tuesday, September 15, 2009

"Mere Baite 5 Maheni Ki Hogae Hai"

Hari ini 15 September genaplah lima bulan usia Embun. Sewaktu mula-mula datang ke Pakistan dia cuma berusia 44 hari dan sangat kecil. Sekarang dia sudah boleh meniarap dengan sendiri dan bergolek-golek ke kiri atau ke kanan dengan cepat. Mawar sudah tidak berani membiarkannya dia bersendirian di atas katil tanpa meletakkan halangan bantal di sekelilingnya. Beratnya pada hari ini 5.7 kg. Walaupun menurut doktor ianya kurang memuaskan bagi seorang bayi yang berusia 5 bulan, tetapi saya tidak kisah sangat asalkan dia sihat dan aktif. Lehernya sudah kuat dan dia mampu menegakkan kepalanya sendiri tanpa perlu disokong lagi. Suaranya ketika menangis terlalu kuat bagaikan tidak sesuai dengan saiznya yang kecil, sehinggakan boleh menakutkan orang yang tidak biasa mendengar dia menangis. Embun juga sudah mula pandai "bercakap" dalam bahasa yang hanya boleh difahami oleh dia sendiri.

Ke mana-mana pun kami pergi dia tidak pernah gagal menarik perhatian orang ramai. Besar kemungkinan kerana muka comelnya yang berbeza daripada rupa bayi Pakistan tipikal, ramai yang melihatnya akan mencubit atau mencuit-cuit manja pada pipinya. Dan selalunya Embun membalas dengan senyuman yang sangat manis, yang membuatkan mereka menjadi sangat geram padanya.

Kalau dulu Embun pernah dihadiahkan dengan mangkuk seramik kecil, minggu lepas pula sewaktu membeli-belah di Rawalpindi, seorang peniaga pinggan mangkuk dan peralatan dapur telah menghadiahkannya satu mangkuk kecil beserta cawan besi (steel). Nampaknya Tuhan selalu memurahkan rezeki Embun serta sekeluarganya.

Monday, September 14, 2009

Puasa di Negara Republik Islam


Orang Pakistan tidak kreatif seperti orang Malaysia dalam menghasilkan kuih-muih dan juadah untuk berbuka puasa, barangkali sebab itulah agaknya tiada bazar Ramadhan di sini. Kalau pun ada sekadar sebuah dua tiga gerai yang menjual beberapa jenis makanan yang sangat popular di sini, Pakora, Samosa dan Jalibi (sejenis manisan). Pakora boleh dikatakan seperti kuih yang wajib bagi kebanyakan orang untuk berbuka, ia adalah sejenis goreng ubi, bawang atau sebagainya yang disalut dengan sejenis tepung khas. Ia seakan-akan tempura tetapi kadang-kadang rasanya seperti Cucur. Samosa adalah seperti karipap yang berbentuk segi tiga, biasanya hadir dalam dua pilihan iaitu inti daging atau sayur-sayuran.


Pada bulan Ramadhan (disebut Ramzan) orang-orang Pakistan menjadi kurang produktif kerana mereka mahu bergegas pulang ke rumah masing-masing lebih awal. Semua bank dan pejabat kerajaan ditutup seawal pukul satu tengah hari. Dan harus diingat mereka juga tidak semestinya buka pejabat atau kaunter seawal pukul lapan pagi. Kedai-kedai pula hanya mula dibuka pada selepas pukul 10 pagi. Petang tadi pada pukul 7 petang penjual sayur di kedai yang masih dibuka tidak mahu menjual sayur kepada saya kerana katanya itu waktu berbuka, padahal waktu berbuka pada pukul 7.30 petang. Kelihatan mereka sudah bersiap-siap duduk di atas tikar di lantai tengah-tengah kedainya sambil menghadap kurma dan capati. Pada setiap petang di tepi Pasar Rana, ramai orang (semuanya lelaki memakai syalwar kamiz) beratur panjang bagi mendapatkan makanan yang diberikan secara percuma, dibiayai oleh dermawan yang bermurah hati.

Bertentangan dengan nama negaranya yang Islamik, tetapi ramai orang lelaki dewasa yang tidak berpuasa. Menurut kawan Pakistan saya, orang dari wilayah Punjab biasanya tidak mengambil berat sangat tentang puasa dan solat, berbeza dengan orang dari wilayah NWFP. Saya selalu terbau rokok di tengah hari, dan biasanya mereka memberitahu ia adalah bau rokok yang lekat di pakaian mereka sewaktu dalam bas atau di tempat awam. Menurut cerita biasanya pemandu bas dan penumpang keretapi tidak akan berpuasa dan akan makan serta merokok dengan selamba secara terbuka. Seorang pemuda Pakistan yang baru tiba di Islamabad dari Lahore bertanya saya jika saya juga berpuasa, lalu saya jawab sudah tentu kerana saya juga Muslim. Tanpa segan silu dia mengaku tidak berpuasa kerana dia sedang bermusafir. Bagi yang tidak tahu, jarak Lahore ke Islamabad adalah lebih kurang 280km, kira-kira 3 jam pemanduan melalui lebuh raya. Kanak-kanak tempatan yang berumur lebih kurang 10 tahun dan ke bawah juga biasanya tidak berpuasa, mereka hanya mula berpuasa apabila sudah besar sedikit.

Penulis biasanya berbuka di rumah dengan nasi serta lauk yang ringkas. Kadang-kadang Mawar juga membuat pelbagai kuih istimewa yang pada lidah saya jauh lebih sedap daripada Pakora dan Samosa. Setiap hujung minggu kami akan menyertai masyarakat Malaysia yang berkumpul di satu tempat untuk berbuka dan bertarawih bersama-sama. Terdapat lebih kurang 50 orang rakyat Malaysia yang tinggal di Islamabad, kebanyakannya adalah kakitangan pejabat suruhanjaya tinggi Malaysia serta ahli keluarga mereka, syarikat Petronas, syarikat swasta yang terlibat dalam beberapa projek pembangunan dan pelajar-pelajar di madrasah. Ini adalah antara aktiviti yang menggembirakan penulis sepanjang bulan Ramadhan ini.

Thursday, September 10, 2009

Pakaian di Pakistan






Akhirnya saya memiliki baju kurta serta syalwar kamiz, iaitu pakaian kebangsaan bagi rakyat Pakistan. Mereka benar-benar memakainya serta meletakkannya sebagai pakaian kebangsaan, bukan sebagaimana orang Malaysia yang hanya memakai pakaian kebangsaan pada upacara atau majlis tertentu sahaja. Bagi orang Pakistan syalwar kamiz atau kurta adalah pakaian untuk segala-galanya, pakaian untuk bekerja samada di pejabat atau tapak binaan, kerja berat atau ringan, bersukan, untuk tidur, beribadat dan sebagainya, daripada pagi sampai ke malam. Bagi pekerja buruh binaan mereka cuma menambah topi keselamatan di atas kepala, untuk bersukan mereka padankan dengan kasut sukan dan untuk ke masjid mereka padankan dengan kopiah. Kata orang Pakistan ianya selesa untuk tidur dan mudah di tandas.

Syalwar bermaksud seluar, manakala kamiz bermaksud baju. Kurta juga adalah baju, tetapi sedikit berbeza dengan kamiz. Kamiz biasanya mempunyai leher berkolar menyerupai kemeja moden, berpoket di dada sebelah kiri dan lengan panjang berbutang sama seperti lengan baju kemeja. Sementara kurta berkolar nehru (seperti baju melayu cekak musang), tidak mempunyai poket di bahagian dada dan mempunyai lengan yang ringkas tanpa butang. Kedua-dua jenis baju tersebut dibuat labuh separas lutut dan dibelah di kedua-dua sisi. Kamiz biasanya dipotong membulat di bahagian bawah baju tetapi tidak kurta yang dibiarkan bersegi.

Kamiz dipakai dengan syalwar yang diperbuat daripada fabrik yang sama jenis dan warna, tetapi kurta tidak semestinya dipakai dengan syarwal yang sama. Kurta boleh dibuat dengan fabrik yang bercorak dan biasanya dipakai dengan syarwal yang berwarna putih. Syalwar kamiz biasanya hanya diperbuat daripada fabrik kosong tanpa corak berwarna seperti putih, biru muda, kuning air dan sebagainya. Syalwar kamiz dianggap lebih formal dan dipakai untuk ke pejabat dan majlis-majlis rasmi, sementara kurta biasanya kurang formal dan kebanyakannya hanya dipakai oleh orang-orang yang lebih muda atau kanak-kanak. Kadang-kadang syalwar kamiz akan dipadankan dengan vest di atasnya bagi menampakkan lebih formal. Menteri-menteri atau orang kenamaan selalu memakai begitu di majlis-majlis yang rasmi, jika mereka tidak mengenakan pakaian kemeja seperti barat atau lounge suit.

Sewaktu pertama kali memakai syalwar kamiz, saya berasa sangat tidak yakin dek seluarnya yang luar biasa dan kelakar itu. Dalam hati berharap agar tidak terserempak dengan orang Malaysia lain kerana saya berasa sangat malu berpakaian begitu. Tetapi sekarang saya sudah mula menyesuaikan diri dan memakainya dengan selamba. Terdapat satu rahsia, lelaki Pakistan yang memakai syalwar kamiz biasanya tidak memakai seluar dalam! Sebab itulah bahagian atas syarwal dibuat sangat besar dan dipakai dengan tali yang dicerut dan diikat di perut. Syalwar akan kelihatan berkedut-kedut dan berupaya menutup segala masalah, ditambah pula dengan kamiz yang labuh di atasnya. Sangat kreatif! Kata mereka, "selesa dan lebih bebas!"

Pakaian wanita

Baju perempuan juga dipanggil kurta, tetapi diperbuat daripada material yang bercorak meriah, berbunga-bunga dan berwarna-warni. Warna kuning, oren atau merah terang antara warna pilihan wanita di sini selain warna-warna kebiasaan yang lain. Hampir semua wanita Pakistan memakai kurta pada setiap hari dan setiap masa, kecuali bagi yang memilih untuk berjubah (biasanya berwarna hitam, singkat dan berbelah di hadapan dan sisi), tetapi di dalamnya kelihatan masih mengenakan kurta dan syalwar. Di pedalaman seperti di wilayah NWFP wanita biasanya masih memakai burqa di atas pakaian mereka apabila keluar rumah.

Setiap wanita (kadang-kadang termasuk yang berpurdah juga) akan mengenakan dupatta (selendang besar) di atas dada mereka. Di Islamabad wanita yang moden dan kaya biasanya tidak menutup rambut mereka, tetapi ada yang memakai dupatta di atas kepala dengan menampakkan sedikit jambul seperti Benazir Buttho dan ada yang menutup rambut serta sebahagian muka. Ramai yang lebih mementingkan penutupan muka berbanding rambut, kerana kelihatan ramai yang menutup muka tetapi tidak kisah menampakkan sebahagian jambul rambutnya. Terdapat juga wanita yang memakai tudung berasingan seperti tudung Turki atau Arab dan ada yang berpurdah hitam seperti wanita Arab tetapi tetap mengenakan dupatta di dada. Kain-kain kapas (cotton) untuk wanita biasanya dijual di kedai-kedai fabrik dalam ukuran 3 helai bagi sepasang, iaitu kurta, syalwar dan dupatta.

Itulah sahaja pakaian kebiasaan orang pakistan, ia tidak pelbagai. Saya tidak tahu jika wujud peraturan yang mewajibkan rakyatnya berpakaian begitu, tetapi saya percaya ianya hanyalah amalan dan budaya mereka yang mereka pegang dengan kuat. Saya perhatikan Mawar akan lebih ditenung orang jika dia keluar memakai skirt (labuh), pelik mungkin kerana wanita Pakistan tidak pernah memakai skirt. Wanita-wanita barat berkulit putih yang terdiri daripada diplomat dan ekpatriat pun biasanya akan memakai kurta, syalwar dan dupatta apabila berada di tempat awam. Jarang sekali terlihat wanita asing bukan Pakistan yang memakai pakaian jarang di sini.

Tuesday, September 08, 2009

Sesudah Melawat Malaysia

Seorang pemuda Pakistan yang baru balik melancong dari Malaysia memberitahu dia sungguh tidak menyangka bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang sedang pesat membangun, mempunyai kemudahan infrastuktur yang bagus serta pelbagai tempat menarik tumpuan pelancong. Dia sangat mengagumi Malaysia kerana segalanya di sana jauh lebih baik daripada Pakistan.

Selama berada di Malaysia dia menginap di sekitar Bukit Bintang dan sungguh terpesona dengan segala hiburan, tempat membelah-belah dan suasana tempat itu sendiri. Dia juga ke KLCC melihat menara berkembar dan tidak lupa ke kota keriangan Genting Highland. Dengan bangganya dia bercerita pada suatu malam (di bulan Ramadhan) dia cuma menghabiskan masa di kelab malam di Bukit Bintang menari dan berhibur sehingga ke pagi. Katanya lagi dia sangat mengkagumi Tun Mahathir kerana telah melakukan perubahan yang sangat besar pada Malaysia. Dia berharap pemimpin Pakistan juga akan berbuat seperti apa yang telah dilakukan oleh Mahathir. Dia ingin ke Malaysia lagi di masa hadapan, bersama keluarganya dan ingin melawat Langkawi dan Pulau Pinang.

Tetapi menariknya dia ada bertanya saya,
"Kenapa mereka tidak menerapkan nilai-nilai dan budaya Islam di Malaysia? Bukankah Malaysia adalah sebuah negara Islam? Selama saya di Malaysia saya cuma dapat melihat 3 buah masjid, itu pun setelah puas mencari". Seolah-olah dia sangat kesal.

Lalu saya menjawab,
"Apa yang kamu maksudkan dengan nilai dan budaya Islam? Malaysia belum menjadi sebuah negara Islam dalam erti kata yang sebenar, lebih tepat ianya hanya sebuah negara Muslim. Kamu telah banyak menghabiskan masa di Bukit Bintang, Genting dan tempat segala maksiat, sebab itulah kamu tidak menjumpai masjid di sana, padahal terdapat beribu-ribu masjid di Malaysia dan kebanyakannya dibiayai oleh kerajaan.

"Kamu telah mengagumi Mahathir kerana telah memajukan Malaysia. Lalu sekarang jika benar Malaysia tidak islamik kenapa kamu tidak menyalahkan Mahathir kerana tidak mengislamkan Malaysia? Dan sungguh pelik, kamu sendiri ke Malaysia berseronok menghabiskan malam Ramadhan di kelab malam serta berkunjung ke pusat judi terbesar, tetapi sekarang bertanya kenapa negara saya tidak islamik seperti negara kamu".

Saya rasa mungkin dia boleh menjadi contoh yang sempurna bagi menggambarkan kekeliruan dan kecelaruan pemikiran kebanyakan orang Islam, mereka tidak tahu sebenarnya apa yang mereka mahu. Mereka ingin maju, tetapi tidak memahami maksud kemajuan sebenar menurut perspektif Islam.

Saturday, September 05, 2009

Adakah Kami Kelihatan Seperti Bukan Muslim?

Kadang-kadang sukar meneka apa sebenarnya yang berada di fikiran orang Pakistan tentang negara Malaysia. Berkali-kali saya terpaksa memberitahu mereka saya bukan dari negara China, Jepun, Thailand, Filipina atau Indonesia seperti yang mereka sangka, tetapi dari Malaysia. Dan selepas soalan itu mereka pasti akan bertanya jika saya adalah Muslim, walaupun di sebelah saya adalah isteri saya Mawar yang bertudung litup. Sewaktu kami menziarahi dan bersolat di masjid Faisal yang menjadi mercu tanda Islamabad itu pun, kami masih ditanya dengan dua soalan itu.

Mawar akan menutup kepalanya apabila setiap kali keluar dari rumah atau apabila setiap kali tetamu lelaki datang ke rumah, tetapi dia juga masih ditanya, "adakah anda seorang Muslim?"
Kadang-kadang sewaktu hendak ke masjid atau baru pulang dari masjid pun, dengan kopiah masih di atas kepala, saya ditanya oleh mereka "adakah anda seorang Muslim?"

Pada hari kemerdekaan negara saya minggu lepas, jiran saya bertanya kepada saya, "adakah kamu masih berpuasa pada hari ini, di hari kemerdekaan negara kamu? Tidakkah kamu perlu memotong kek dan menyambutnya?"

Sebenarnya saya tidak faham bagaimana mereka memahami saya sebagai seorang yang mempunyai sama agama seperti mereka. Ianya dapat difahami dengan mudah jika yang bertanya itu adalah orang bukan Islam dari negara bukan Islam, tetapi sekarang yang bertanya itu adalah orang Islam yang mendiami sebuah negara republik Islam. Adakah mereka benar-benar tidak tahu terdapat ramai lagi orang Islam di dunia ini selain dari yang terdapat di Pakistan, atau adakah kerana kami tidak memakai fesyen pakaian seperti mereka (yang dianggap paling Islamik oleh maulana Pakistan) atau mungkin mereka menganggap negara saya cuma dihuni oleh minoriti Muslim.

Pada hari itu selepas memberitahunya bahawa saya tetap berpuasa walaupun di hari kemerdekaan negara saya, dia bertanya kepada saya, apakah kedudukan Islam di Malaysia dan berapa peratuskah orang Islam dari keseluruhan rakyat Malaysia.

"Islam adalah agama rasmi Malaysia, Muslim membentuk kira-kira 60% dari keseluruhan rakyat Malaysia. Masjid didirikan dengan banyak sekali dan terdapat ramai perempuan yang memakai tudung kepala". Saya harap dia faham dan tidak akan bertanya soalan-soalan bodoh lagi.