Sunday, May 31, 2009

Selamat Tinggal Terengganu




Tiada yang lebih baik selain dari tinggal di tempat sendiri. Tetapi untuk ke sekian kalinya saya tinggalkan tempat sendiri bersama-sama Mawar dan Embun, mencari sesuatu yang sedikit berbeza. Kami tinggalkan segala keselesaan dan kebiasaan di tempat sendiri untuk tempoh kurang lebih tiga tahun yang mendatang.

Saya membeli banyak barang-barang makanan sebagai stok dan sekiranya barang-barang tersebut sukar diperolehi di negara orang yang tentunya tidak sama dengan tempat sendiri. Nasib baik saya diberikan satu kontena untuk mengisi barang-barang untuk dihantar ke tempat baru, senanglah saya mengisi dengan apa-apa yang saya mahu. Saya diberitahu minyak masak dan lampin pakai buang bayi adalah sangat mahal di sana lalu saya telah membelinya dengan banyak.

Sewaktu membeli budu dalam kuantiti yang agak banyak di Pasar Besar Kedai Payang makcik tua penjual itu bertanya, "orang tak berperang ke di sana? Makcik rasa itu tempat orang berperang". Saya senyum sahaja. Tetapi yang mengubat hati saya mereka penjual-penjual ikan masin, belacan, asam gelugur, nisan (gula melaka), keropok, lada kering dan lain-lain semuanya bertanya jika saya ingin sambung belajar dan terkejut apabila saya memberitahu saya pergi untuk bekerja, bukan belajar. Lalu dengan takjub dan hairan mereka berkata saya kelihatan sangat muda dan seperti budak-budak sekolah!

Saya diraikan dalam satu majlis perpisahan dan dihadiahkan dengan beberapa buah tangan sebagai kenang-kenangan. Saya pasti tidak akan melupakan mereka semua. Di kampung juga keluarga mengadakan majlis solat hajat dan keluarga menyediakan hidangan Nasi Dagang untuk tetamu. Tapi yang lebih saya suka adalah sewaktu kami makan nasi dengan bermacam-macam lauk kebiasaan kami di luar rumah berbumbungkan langit, dalam taman yang dibina oleh adik saya. Saya akan rindukan itu semua tidak lama lagi.

Selamat tinggal Terengganu dan Malaysia, saya pasti akan kembali lagi insyaAllah.

Monday, May 11, 2009

Nizar MB Perak Yang Sah

Kejahatan dan ketidakadilan tidak akan dapat ditutup buat selama-lamanya. Lambat laun kebenaran akan pasti tertegak dan diketahui umum. Begitulah sifat kebenaran. Dalam banyak hal biasanya masa yang akan menentukannya. Sebab itulah orang yang memperjuangkan kebenaran haruslah bersabar, kerana kadang-kadang ia memerlukan masa yang sangat panjang dan pengorbanan yang sangat besar. Apabila keadilan dilaksanakan ia akan menggembirakan golongan yang benar dan mengecewakan golongan salah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat satu keputusan yang sangat dialu-alukan apabila memutuskan bahawa Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, walaupun ia adalah satu keputusan yang bertentangan dengan kemahuan dan kehendak Perdana Menteri dan Sultan Perak. Saya tertunggu-tunggu bagaimana reaksi Buletin Utama yang selama ini sentiasa menjulang tinggi Menteri Besar Perak yang haram itu dan mengutuk MB Perak yang sah. Tentu mereka berasa malu dengan berita-berita berat sebelah mereka selama ini yang telah ternyata tidak menyebelahi mereka. Tetapi saya percaya mereka tahu bagaimana untuk menghadapi berita yang besar ini dan akan mencuba sedaya upaya mereka bagi membuatkan berita ini tidak kelihatan terlalu teruk untuk mereka. Mereka sudah selalu melakukannya.

UMNO sepatutnya tidak perlu menghadapi situasi yang memalukan ini dan mereka akan dapat mengelak dari berhadapan dengan situasi ini jika mereka tidak terlalu tamakkan kuasa suatu masa dahulu. Tapi mereka telah memilih cara yang tidak popular demi meneruskan kekuasaan mereka, biar pun dengan cara yang tidak bermoral dan tidak berintegriti. Jadi sekarang mereka harus bersedia untuk menangisi satu lagi kekalahan lantaran ketamakan dan kejahilan sendiri.

Tahniah untuk majoriti rakyat Perak yang masih cintakan demokrasi dan keadilan sejagat. Saya juga tengah bergembira sebagaimana mereka.