Saturday, December 19, 2009

Laksam Terengganu di Islamabad





Apabila saya seorang lelaki yang dahulunya tidak berapa gemar memakan Laksam apatah lagi memasaknya, siapalah yang menyangka sekarang saya akan mengukus Laksam sendiri. Tetapi saya masih ingat lagi bebarapa ketika dulu sewaktu saya masih kecil ibu saya seringkali menyediakan hidangan Laksam sebagai sarapan kami. Saya cuma dapat ingat bagaimana dia meletakkan adunan tepung dan air yang cair ke atas tudung periuk yang nipis atau loyang, dan dikukusnya di atas periuk kukusan yang bertingkat-tingkat.

Setelah memastikan jenis tepung yang digunakan melalui sms kepada kakak saya di Terengganu, saya mula sibuk di dapur. Rupa-rupanya adunan itu cumalah tepung beras yang dicampur dengan air dan sedikit gandum. Menurut kakak, adunan itu dibuat cair sahaja dan elok diletakkan minyak sedikit di atas loyang yang hendak diletakkan adunan supaya laksam yang telah masak tidak akan melekat. Cubaan pertama saya boleh dikira agak menjadi dan pada pagi hari minggu itu kami bersarapan dengan Laksam yang cuma berulamkan timun. Kuah Laksam disediakan oleh Mawar dan itulah juga kali pertama dia menyediakan kuah laksam ala Terengganu-Kelantan setelah dipelajarinya melalui blog birasnya yang berasal dari Kelantan.



Selepas itu saya dengan yakinnya hendak menjamu seramai 40 orang Malaysia di Islamabad untuk memakan Laksam yang akan saya sediakan sendiri. Tetapi nampaknya keyakinan sahaja tidak mencukupi. Saya gagal, kecewa dan patah semangat selepas mengukus beberapa gulung yang sangat buruk rupanya. Laksam saya menjadi lembik melekat-lekat di atas loyang dan susah hendak digulung. Saya pun berhenti mengukus, menyimpan baki adunan dan masuk tidur sambil mendengar suara bebelan dari seseorang.



Mujurlah seorang sahabat Malaysia di sini meminjamkan saya tiga bungkus laksa kering, lalu selamatlah kuah laksa lemak dengan 3kg ikan kembung yang telah disediakan oleh Mawar. Saya berasa gembira dan bangga akhirnya 40 tetamu saya dapat makan kuah laksam itu dengan laksa yang direbus oleh saya. Saya mempunyai perasaaan bahawa mereka ikhlas apabila mereka memuji laksa kuah putih itu sedap.

6 comments:

kelisa_samudera said...

nampak macam laksam terengganu sama sahaja seperti laksam kedah. atau ada apa2 perbezaan di kuahnya?

Golongan Marhaen said...

tapi klu en nafastari yg masak, rasanya dah tak jadi laksam terengganu lagi kot..;p hehe, gurau aje..apapun, syabas atas semangat saudara itu...

Anonymous said...

saya tak boleh tahan bila membaca part "mendengar bebelan seseorang".. hehehe.. tidak mengapalah, mungkin lain kali kamu boleh cuba lagi..

Hanie..

yg_indah said...

kalau masak sendiri memang kita akan rasa sedap, mungkin sebab effort yg dicurahkan

Hartini Omar said...

ahmad,
-percubaan pertama itu nampak menjadi betul. mungkin yg pertama itu kamu lakukan dengan hati2, dan yang kedua kamu lakukan dengan senang hati.. sebab itu kurang menjadi

saya sangat meminati laksam. tapi belum pernah merasa laksam terengganu-kelantan. beza kah?

selamat bereksperimentasi. kejauhan mengajar manusia cekal dan berdikari

Nafastari said...

Kelisa, tak sama. Kuah laksa Terengganu biasanya berwarna putih dan dari santan. Yang jadi merah tu sebab aku letak ikan sardin! Hehee..

GM, Terima kasih, kamu patut rasa bagaimana sedapnya! Tapi bukan aku yang masak...

Hanie, tapi memang itulah yang telah terjadi. Kesian saya.

HO, ya, kali pertama tu dah menjadi. Tapi selepas tu tak menjadi pulak... Tidak mengapalah. Beginilah hidup di rantau orang.