Akhirnya sampai juga saya ke Rohtas Fort pada hari cuti Krismas lalu, ditemani oleh seorang rakan Malaysia yang bekerja di Islamabad dan juga pemandu kami. Perjalanan dari Islamabad ke Rohtas Fort cuma mengambil masa sejam lebih melalui GT Road. Rohtas Fort adalah sebuah kota tinggalan yang agak besar dan kami cuma mampu melawat sebahagian daripadanya. Pada pagi itu agaknya kamilah pelancong pertama yang sampai ke situ dan seorang lelaki tua yang memakai tanda nama "LOCAL GUIDE" terus menghampiri kami dan berkata-kata dalam bahasa Urdu. Akhirnya kami faham dia menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong. Hanya kerana kasihan saya membenarkan dia mengikut kami dan menawarkan untuk membayarnya RS300 sahaja, bukan RS500 seperti yang dimintanya.
Menurutnya dia sudah berumur 60 tahun. Dia berbadan kurus dan sangat kuat merokok. Sepanjang pengembaraan kami dalam Rohtas Fort dia tidak putus-putus merokok dan katanya otak tidak dapat berfikir jika tidak merokok. Dia juga agak baik hati terutama setelah melihat dia menyapu hingus Embun dengan sapu tangannya, dan akhirnya kami melayan dia dengan baik malah kadang-kadang bergurau dan mengambil gambar bersama-samanya. Melaluinya kami dapat tahu beberapa tempat dalam kota itu seperti kubur seorang wali yang dipuja, penjara, tempat hukuman bunuh, tempat buang mayat supaya dimakan harimau yang lapar, rumah gabenor. Walaupun strukturnya sudah ada yang musnah dan sesetengahnya sudah runtuh, tetapi dengan jelas dapat dilihat akan kehebatan senibina dan kekuatan kubu pertahanan Sultan Shah Suri itu.
Kami panjat struktur bangunan di mana terletaknya penjara dan akhirnya ditunjukkan tempat hukuman bunuh dilaksanakan. Tempat itu terletak di aras yang paling tinggi, lantainya membulat dan bahagian depannya tidak berdinding. Apabila membayangkan bagaimana hukuman itu dilaksanakan di atas dek itu, ianya agak mengerikan, sehingga membuatkan Mawar terduduk dan tidak mampu berdiri lagi di situ. Tetapi pemandangan dari atas kubu itu juga sangat mengkagumkan dan kami mengambil gambar semahu-mahunya.
Saya tidaklah begitu endahkan sangat tentang sejarah dan cerita di sebalik kota Rohtas yang tersergam itu, sebaliknya cuma menghabiskan lebih banyak masa mengambil gambar sambil membuat pelbagai aksi dan gaya berlatarbelakangkan kota tinggalan yang bersejarah itu. Terdapat satu muzium di hujung kota dan pada waktu kami melawatnya kurator memberitahu tiada lampu di dalamnya kerana loadshedding, satu perkara yang biasa di Pakistan. Sebelum pulang kami memberikan Rs300 kepada Pakcik Local Guide itu dan dia kelihatan terharu sekali hampir-hampir menangis. Dia bersalam dengan saya dan yang lain serta meletakkan tangannya di atas kepala Mawar (ala Hindustan) dan mencium Embun. Dia juga memesan kepada pemandu kami supaya mengajar kami bahasa Urdu. Sampai sekarang saya masih ingat bagaimana bersemangatnya dia melambai-lambai selamat tinggal sewaktu kenderaan kami meluncur pergi meninggalkan Kota Rohtas, menuju ke Lahore.
3 comments:
adakah kerana pakcik itu tidak pernah menerima RS sebanyak itu sepanjang hidupnya. berapa jumlah Rs300 jika ditukar dengan ringgit?
kata bergambar..mana gambar2 anda itu?
KelisaS, mungkin juga, dan mungkin juga sebab kami melayannya dengan baik termasuk mengajaknya bergambar bersama-sama kami.
GM, maaflah letak gambar2 tu lambat sikit..
Post a Comment