Monday, October 26, 2009

Masa Yang Terlalu Sedikit

Tampaknya Kuala Lumpur masih sama, laju mengorak langkah meninggalkan jauh Islamabad terutama dari segi infrastruktur dan ketamadunan masyarakatnya. Kami tidak lupa ke Taman Ilmu dan Budi di Gombak meraikan kejayaan Mawar menggenggam segulung ijazah yang sebenarnya tidak digulung. Lebih manis si comel Embun turut mengiringi lalu lengkaplah impian Mawar ingin memakaikan topi konvonya kepada anak perempuannya. Sekalung tahniah!

Saya lihat UIAM semakin cantik bangunan dan lanskapnya, cuma saya berharap agar keadaan dalam kampus itu lebih islamik, terutama dari segi pakaian serta cara pergaulan sebahagian daripada mereka. Saya amat gembira melawat UIAM, suatu tempat kebanggaan saya yang akan dikenang sampai bila-bila. Jika saya tidak menyambung pelajaran di peringkat sarjana di luar negara, saya teringin untuk membuatnya di taman itu lagi. Di Islamabad juga terdapat sebuah UIA yang mana telah pun dibom oleh dua orang pengebom berani mati pada minggu lepas menyebabkan lapan orang kesemuanya meninggal dunia. Saya belum pernah melawat ke kampus UIA di Islamabad dan sekarang nampaknya semakin sukarlah untuk ke situ.


Masa kepulangan ke Terengganu banyak saya habiskan dengan menikmati ketenangan serta alam semulajadi yang memayungi warisannya. Pantai berpasir putih di kampung saya itu berkali-kali saya kunjungi, dan masih tidak puas-puas juga. Saya berenang di pantai itu yang suatu masa dahulu menjadi tempat mainan kami, dan saya juga heret Mawar serta Embun untuk bermandian bersama-sama! Kami juga banyak 'berhabis' di pasar besar kedai payang membeli batik-batik sebagai bekalan bagi memperkenalkan kepada orang sini bahawa itulah pakaian kebangsaan kami, walaupun kedangkalan Indonesia sibuk meruncing buluh memarahi kami kerana mencuri batik dan tariannya. Di Terengganu hujan turun hampir setiap petang mungkin menandakan musim tengkujuh akan hadir tidak lama lagi.

Kepulangan yang pernah ditunggu-tunggu itu telah pun berakhir pada Jumaat lepas, 23 Oktober. Tengah hari dari Kuala Lumpur dan seterusnya kami singgah sebentar di Bangkok sebelum meneruskan perjalanan ke Islamabad. Malamnya udara sejuk musim luruh menyambut kami sewaktu menjejak kaki ke Lapangan Terbang Benazir Bhutto yang selalu mengecewakan itu, atas beberapa sebab saya mula membenci lapangan terbang itu, sama seperti saya membenci sikap orang-orang Pakistan secara keseluruhannya. Dan kali ini saya datang ke Pakistan buat kali keduanya, dengan minda dan rasa yang lebih bersedia dan terbuka. Sekarang saya sememangnya lebih banyak berserah dan pasrah.

8 comments:

atbk said...

"Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain"

"Hujan emas (refer to ur gaji + elaun, bukan hujan bom yee)di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri... lebih baiklah di negeri sendiri..."

2 tahun lebey lagi...
Pasni bleh plak pegi negara2 yang senonoh sikit, New Zealand ke.. Korea ke... x pun Jepun!
kat Jepun mesti org trus nak ckp Jepun dgn korang.. hehehe

kelisa_samudera said...

masa-masa gembira memang dirasakan cepat saja berlalu. selamat mengharungi hidup seperti biasa yang berbeza dengan sebelumnya. ;)

yg_indah said...

carikan aku dara pakistan.untuk SBS dan atbk juga.hahah jgn marah.

atbk said...

x nak!
nak korea yang sedia muslim!
nak duduk kat sana bukak kedai nasik lemak!
:)

Nurra said...

Selamat kembali menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.semoga saudara dan keluarga sentiasa dilindungi & dirahmati Allah....

Insyallah dengan niat yang baik segalanya akan dipermudahkan...

Sy masih berhutang dengan saudara serta mawar ni,

Golongan Marhaen said...

indahnya masa di uia dahulu..jika masa boleh diputarkan, nescaya aku nak jadik student balik bersam kawan2 yang lama terpisah..

hamba said...

salam.. nampaknya Pakistan makin bergolak.. Doa kawan, moga Allah menjaga dan menlindungi kamu sekeluarga.. InsyAllah..

Hartini Omar said...

tahniah buat mawar.
selamat bertugas kembali buat kamu
semoga tabah menjalani hidup

ya, tempat jatuh lagi dikenang.. manakan sama bumi gemilang dengan tanah orang

uia itu macam dulu juga.. cuma mungkin semakin hilang nilai2 uniknya.. terkikis dan terhakis oleh masa dan manusia...