Wednesday, September 16, 2009

Salam Satu Malaysia

Jika seorang perdana menteri di Malaysia pernah menyebut perkataan "wawasan 2020", maka seluruh isi Malaysia juga akan ikut menyebutnya. Diciptakan slogan, lagu tema dan dipopularkan sehingga semua rakyat benar-benar faham akan maksud dan falsafah di sebalik perkataan itu. Selepas itu, perdana menteri yang lain memilih untuk menyebut perkataan "cemerlang, gemilang dan terbilang". Seperti biasa media-media sibuk mempopular segala retorik ini dengan pelbagai cara. Lagunya dicipta, dinyanyikan secara koir dan disiar berulang-ulang. Sekolah dan pejabat menghias dindingnya dengan kata-kata slogan ini. Kanak-kanak sekolah yang hendak memenangi pertandingan pidato juga harus menyebut perkataan ini dalam persembahannya.

Sekarang perdana menteri telah menyebut "Satu Malaysia", lalu terpaksalah seluruh Malaysia turut berzikir dengan slogan ini. Pembaca berita TV diarahkan untuk memulakan berita dengan menyampaikan salam satu Malaysia yang baru ditemui ini. Di TV, radio atau apa yang berkaitan dengan kerajaan slogan ini dipopularkan dengan pelbagai cara. Sebagai seorang warganegara yang setia dan patriotik penulis tidak ketinggalan menyokong usaha murni Perdana Menteri dalam membentuk perpaduan yang utuh di kalangan rakyat berbilang kaum yang telah merdeka selama 52 tahun ini, dan selama itu Barisan Nasional (dulu Perikatan) telah memerintah negara sehingga ia menjadi Malaysia yang kita nikmati sekarang. Teringat pula pertanyaan sinis menteri besar Kelantan, "jadi selama ini kita ada berapa Malaysia?"

Di sisi yang lain Pakatan Rakyat sedang giat berusaha dalam memenangi hati rakyat. PAS sedang menimbang dengan seriusnya kemasukan ahli bukan beragama Islam ke dalam partinya. Orang india dan cina banyak memberi undi kepada PAS dalam pilihanraya yang lalu. Theresa Kok pula berbangga DAP telah pun membuka cawangan melayu pertamanya di Bandar Kinrara dan meraikan mereka dalam satu majlis berbuka puasa, walaupun melayu-melayu tersebut telah dituduh sebagai "sesat dalam politik" oleh orang UMNO. Parti Keadilan pula telah lama mendabik dada sebagai parti berbilang kaum yang paling popular dengan meletakkan asas keadilan sejagat dalam perjuangan mereka. Nampaknya parti politik di Malaysia telah menjadi lebih terbuka dan merentasi sempadan kaum serta agama. Dari satu segi mereka kelihatan lebih dekat dengan konsep Satu Malaysia yang sedang hebat dipromosikan sekarang.

Tetapi sekumpulan manusia di seksyen 23 Shah Alam telah menyebabkan Satu Malaysia menjadi sangat kecewa, mereka mengusung kepala lembu yang masih berdarah bagi membantah pembinaan sebuah kuil Hindu berhampiran dengan kawasan kediaman mereka. Caranya sangat agresif, melukakan hati penganut agama Hindu dan memalukan ummat Islam. Mereka inilah agaknya golongan yang tidak memahami slogan Satu Malaysia yang telah disebut berkali-kali oleh pemimpin. Mereka juga mengutuk Menteri Besar Selangor, ahli parlimen Shah Alam serta ADUN Batu Tiga dengan penuh emosi kebencian, tetapi tidak malu-malu mengaku menjadi ahli PAS, memakai kopiah serta bertempik "Take Beer!". Dan akhirnya saya lega membaca berita bahawa mereka telah didakwa di mahkamah atas perbuatan mereka yang tidak bertamadun itu.

10 comments:

Aku... said...

Salam...Agaknyer mereka yang mengusung kepala lembu tu buat demonstrasi atas prinsip kebebasan untuk bersuara dan kebebasan untuk berhimpun kut... Tapi apasal cepat sangat kena dakwa kat mahkamah...?

WS Zuriati said...

Akak tak reti nak jawab kalau pembaca berita berkata "salam 1 Malaysia"....

Nafastari said...

Aku, tiada siapa pun yang menafikan kebebasan mereka untuk berhimpun secara aman dan bersuara (polis dan FRU pun hanya melihat sahaja, tidak terus menahan mereka), tetapi perbuatan mereka itu agak tidak bertamadun dan memalukan. Dan sebab itulah mereka telah didakwa di bawah Akta Hasutan. Cepat ke? Kalau yang terlibat itu orang dari PR tentu pendakwaan itu lebih cepat, dan setiap hari isu itu akan dimainkan secara berulang-ulang oleh media pro-BN.

WSZuriati, patutnya orang yang mencipta salam 1 Malaysia itu perlu memberitahu kepada umum bagaimana cara untuk menjawabnya. ;-)

kelisa_samudera said...

nafastari

harap boleh sediakan cerita orang pakistan mati kerana berebut-rebut tepung. saya ingin mengetahui cerita itu dengan lebih lanjut.

Bila Diary Bercerita said...

Bukan setakat penyampai berita beri salam 1 Malaysia, tapi naik menyampah pulak bila dengar ada caller yang bagi ucapan raya berserta dgn salam 1 Malaysia gak.

Segalanya hanya slogan sahaja. Slogan Islam yang ada had ada hari pun dah berhenti bila Pak Lah undur diri.

yg_indah said...

tunggu slogan PM selepas ni pula

wan storm said...

rekaan manusia yg mau meninggalkan jasa..... kite tengok berapa lama ianye boleh bertahan... ada market ka?

Anonymous said...

saya cuba bayangkan apa yang akan penulis buat kalau penulis menjadi perdana menteri satu hari nanti, ianya satu tema yang baik untuk negara kita, tak perlulah di perkotakatikan,selamat hari raya

Nafastari said...

Kelisa_Samudera, saya juga berharap dapat menulis tentang perkara itu, tetapi nampaknya sekarang sudah terlambat. Kalau tidak silap saya, 16 orang mati semuanya perempuan kerana berebutkan tepung pemberian seorang tauke yang kaya. Mereka di sini suka berebut-rebut dan tidak suka mengikut peraturan, samalah juga semasa memandu di jalan raya.

Aishah, ya sudah lama tidak mendengar Islam hadhari. Apakah statusnya sekarang?

Yg_indah, ya kita sama2lah tunggu...

Wanstorm, agaknya siapa yang paling hebat slogannya, dialah yang paling dikira berjasa...

Anonymous, saya tidak akan menjadi PM kerana saya bukan ahli politik. Nampaknya anda tidak membaca "About Me". Saya tidak pernah kata ianya tidak baik, malah saya telah tuliskan bahawa saya sangat sokong! Adakah anda berasa seperti diperkotak-katikkan? Saya berharap anda bukan penyokong kumpulan manusia tidak bertamadun seksyen 23 itu.

Anonymous said...

BOLEH SESIAPA YANG ARIF BERITAHU HUKUM MENJAWAB SALAM 1MALAYSIA?