Saturday, September 05, 2009

Adakah Kami Kelihatan Seperti Bukan Muslim?

Kadang-kadang sukar meneka apa sebenarnya yang berada di fikiran orang Pakistan tentang negara Malaysia. Berkali-kali saya terpaksa memberitahu mereka saya bukan dari negara China, Jepun, Thailand, Filipina atau Indonesia seperti yang mereka sangka, tetapi dari Malaysia. Dan selepas soalan itu mereka pasti akan bertanya jika saya adalah Muslim, walaupun di sebelah saya adalah isteri saya Mawar yang bertudung litup. Sewaktu kami menziarahi dan bersolat di masjid Faisal yang menjadi mercu tanda Islamabad itu pun, kami masih ditanya dengan dua soalan itu.

Mawar akan menutup kepalanya apabila setiap kali keluar dari rumah atau apabila setiap kali tetamu lelaki datang ke rumah, tetapi dia juga masih ditanya, "adakah anda seorang Muslim?"
Kadang-kadang sewaktu hendak ke masjid atau baru pulang dari masjid pun, dengan kopiah masih di atas kepala, saya ditanya oleh mereka "adakah anda seorang Muslim?"

Pada hari kemerdekaan negara saya minggu lepas, jiran saya bertanya kepada saya, "adakah kamu masih berpuasa pada hari ini, di hari kemerdekaan negara kamu? Tidakkah kamu perlu memotong kek dan menyambutnya?"

Sebenarnya saya tidak faham bagaimana mereka memahami saya sebagai seorang yang mempunyai sama agama seperti mereka. Ianya dapat difahami dengan mudah jika yang bertanya itu adalah orang bukan Islam dari negara bukan Islam, tetapi sekarang yang bertanya itu adalah orang Islam yang mendiami sebuah negara republik Islam. Adakah mereka benar-benar tidak tahu terdapat ramai lagi orang Islam di dunia ini selain dari yang terdapat di Pakistan, atau adakah kerana kami tidak memakai fesyen pakaian seperti mereka (yang dianggap paling Islamik oleh maulana Pakistan) atau mungkin mereka menganggap negara saya cuma dihuni oleh minoriti Muslim.

Pada hari itu selepas memberitahunya bahawa saya tetap berpuasa walaupun di hari kemerdekaan negara saya, dia bertanya kepada saya, apakah kedudukan Islam di Malaysia dan berapa peratuskah orang Islam dari keseluruhan rakyat Malaysia.

"Islam adalah agama rasmi Malaysia, Muslim membentuk kira-kira 60% dari keseluruhan rakyat Malaysia. Masjid didirikan dengan banyak sekali dan terdapat ramai perempuan yang memakai tudung kepala". Saya harap dia faham dan tidak akan bertanya soalan-soalan bodoh lagi.

11 comments:

ckLah @xiiinam said...

Salam...
Mereka yang bertanya itu..
Adakah kerana mereka tidak tahu tentang kewujudan Malaysia, atau bangsa Melayu?

Selamat meneruskan pengisian Ramadhan...

nasikerabupetro said...

Kelakar dan sedikit geram...

Selamat Berpuasa dan Berbuka...

Aku... said...

Salam..Suka hati diorang la nak anggap macam mana pun.... Hahahahahahaha....

Anonymous said...

Pasti jiran anda berkecil hati sekiranya dia membaca blog awak hehe. saya kira mungkin saya sendiri lebih mengenali Pakistan daripada rakyatnya sendiri:)

syed aljufrey

yg_indah said...

mungkin hg kena ada 'khan' di akhir nama hg.

wirkab said...

Kita jangan rasa pelik bila soalan itu ditanya dari orang biasa. Cuba lihat promosi pelancongan Malaysia, apa yang ditonjolkan? Bila pelancong datang ke Malaysia, bermula dalam kapal terbang, apa yang ditonjolkan?
Bila sampai di KLIA, dimana syiar Islam? dan banyak lagi yang perlu difikirkan...

wan storm said...

Salam, sabar.... mungkin mereka tak pernah tahu akan wujudnya bangsa melayu islam ......... bagus jugak tuan buat promo "Melayu Islam" sambil tawar menawar beli kain tu.

~::PermatA::~ said...

mungkin dia nampak kamu sekeluarga macam pelik sikit kot (tak sama ngan diorang). klu dia datang malaysia apala dia kata kan?? pakai sopan macam tu pon ble tanya muslim ke tak..klu tengok p'puan kat malaysia sekarang ni...ish..ish..baju baby gak yang dia nak pakai..tapi bertudung..tak paham betol..

Anonymous said...

emo - laks la bro ...
aku mcm2 org tanya tapi tetap cool hahaha..shukri

amicus curiae said...

j, pengalaman aku kat india yg tak sampai sebulan ni pun...rata2 orang akan kata kami ni tibet. (mungkin sebab suami bermata sepet?) tapi ada juga yang meneka kami orang indonesia.tapi tak ada yang akan kata kami muslim.

melainkan kami yang tanya dulu, anda muslim? dan lepas tu baru mereka tanya balik.

pelik, padahal aku pun bertudung.

Nafastari said...

xiiinam, agaknya begitulah. Mereka kurang membaca dan kurang terdedah dengan dunia luar. Sangka mereka bawah tempurung mereka itu sudah cukup bagus dan luas.

Nasikerabupetro, ada banyak lagi cerita2 yg boleh menggeramkan kita malah menyakitkan hati juga. Selamat juga untuk kamu.

Aku, jangan risau, saya tidak akan memarahi mereka yang jahil itu. Tapi saya juga ada hak untuk menulis di sini.

Syed Aljufrey, tapi dia tidak pandai berbahasa Melayu... Jadi tiada peluang untuk dia berkecil hati dengan saya.

Yg_indah, mungkin saya perlu belajar Urdu.

Wirkab, tapi saya masih juga ingin berasa pelik. Kerana saya telah cuba menampilkan diri sebagai Muslim, tetapi langsung tidak berjaya membuka minda mereka. Dari satu segi saya bersetuju dengan komen anda, Malaysia telah berjaya mempromosikan diri mereka sebagai destinasi pelancongan yang menarik tanpa menonjolkan unsur keagamaan dan moral yang mereka anuti.

Wan Storm, hanya sebilangan kecil sahaja yg tau kewujudan Melayu islam. Sejujurnya saya tiada masalah atas kejahilan itu, tapi jangan sampai tahap yang hampir kepada menghina.

Permata Soffhas, saya rasa pandangan mereka itu bukan berpunca daripada pakaian, tetapi kesempitan pemikiran mereka. Orang kristian dan hindu di Pakistan berpakaian sama sahaja seperti orang Islam, bersyarwal kamiz, berkurta dan dupatta.

Shukri, maaflah jika emosi saya mengganggu ketenteraman anda. :-D Sekadar meluahkan yg terbuku saja..

Amicus Curiae, rasanya India dan Pakistan tidak jauh berbeza. Mereka tak hairan pun dengan tudung kita, kan? Hahaa... Selamat menerokai dunia baru!