Saturday, June 06, 2009

Tiba di Islamabad

Saya tidak pernah bermimpi untuk tiba di sini, apatah lagi untuk tinggal dan bekerja di sini. Tetapi kami sudah membuat keputusan untuk datang ke sini dan hari ini sudah seminggu lebih di sini. Musim panas baru bermula, dan cuaca sangat panas lebih panas dari matahari di tanah air. Kulit menjadi kering, bibir menjadi pecah. Kulit paha dan betis saya menjadi sangat kering dan gatal, setelah digaru timbul bintik-bintik merah yang memedihkan. Saya belum menjumpai krim atau losyen yang dapat melegakannya.

Kawalan keselamatan sangat ketat dan polis, askar, pasukan anti-pengganas ada di mana-mana sahaja terutama di hotel-hotel mewah, tempat-tempat yang mempunyai kepentingan US (termasuk restoran McDonald), jalan-jalan raya, kawasan berdekatan bangunan kerajaan dan sebagainya. Sekarang kami masih tinggal di Hotel Serena yang menjadi satu-satunya hotel berbintang yang belum dibom. Hotel Mariott sudah dibom pada bulan Ramadhan tahun 2008 lepas dan baru dibuka semula Januari ini. Sebelum setiap kali dibenarkan masuk ke hotel pelbagai saringan keselamatan dibuat. Kereta diberhentikan dan bonet depan dan belakang dibuka dan diperiksa. Bahagian bawah kereta juga diperiksa. Badan dan barang-barang kami diimbas dan diperiksa berkali-kali oleh pengawal-pengawal keselamatan. Berpuluh-puluh anggota beruniform lengkap dengan bersenjata dan berjaket kalis peluru setia mengawal hotel bagai mengawal sebuah kubu. Saya lihat Hotel Mariott benar-benar dikawal laksana sebuah kubu lengkap dengan pagar batu tinggi dan kawat duri di atasnya.
Mulanya saya rasa mereka paranoid, tetapi apa pilihan yang mereka ada? Hampir setiap hari ada berita pengobom berani mati meletupkan dirinya di tempat awam. Tadi saya terbaca akhbar tempatan berbahasa Inggeris, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di sebuah masjid dalam Daerah Dir Upper, Peshawar sebelum solat Jumaat semalam, lebih 40 orang meninggal dunia termasuk kanak-kanak. Dan sekarang saya tidak lagi berasa takut seperti hari pertama dan kedua kami tiba di sini. Seperti nasihat kawan saya rakyat Malaysia yang sudah dua tahun di sini,
"Di sini tak boleh takut, kalau takut bagaimana hendak hidup?"

Saya sedikit keliru tentang waktu solat di sini, terutama untuk waktu solat Asar. Saya difahamkan kebanyakan penduduk di sini bermazhab Hanafi dan waktu Asar mereka lebih lewat berbanding dengan amalan mereka yang bermazhab Shafi'ie. Rakan saya seorang rakyat Malaysia langsung mengikut mazhab Hanafi dalam menentukan waktu Asar, tetapi ada juga rakyat Malaysia yang lain cuma kadang-kadang sahaja mengikut waktu Asar mazhab Hanafi, iaitu jika dia terlewat untuk solat Zuhur. Solat Jumaat di sini juga tidak serentak di semua masjid, ada yang awal iaitu sebaik sahaja masuk waktu Zuhur tetapi ada juga yang menunggu sehingga sejam selepas masuk waktu dan yang paling lewat adalah pada pukul 2.30 petang.

Kebanyakan lelaki dan perempuan di sini gemar memakai pakaian tradisional mereka yang dipanggil Syarwal Khamiz. Mereka memakainya untuk apa saja majlis dan upacara. Dan ada yang memakainya berhari-hari tanpa membasuhnya lalu kelihatan sangat comot. Perempuan mereka pula akan meletakkan sehelai selendang pada atas dada mereka, seolah-olah satu kemestian kerana hampir tiada perempuan Pakistan yang keluar rumah tanpa meletakkan sehelai selendang atas dadanya. Walaupun ramai yang tidak menutupi rambut, tetapi ada yang meletakkan selendang di atas kepala lalu menutupi rambut mereka, tetapi ada juga yang menampakkan sebahagian daripada rambut seperti Allahyarhamah Benazir Bhutto. Wanita berpurdah (niqab) juga boleh dilihat di mana-mana walaupun bilangannya tidak ramai. Ada yang menutupi muka dengan niqab hitam ala Arab, tetapi ada juga yang cuma menggunakan kain selendang kebiasaan mereka untuk menutupi sebahagian dari muka.

Saya dan Mawar berkongsi satu perasaan yang sama. Sukar untuk kami menerima bahawa kami sekarang berada di Pakistan, kerana setiap kali keluar kami merasakan seperti berada di India dan dikelilingi oleh orang-orang dan kebudayaan India. Mungkin kerana rupa, bahasa, makanan dan pakaian mereka yang seakan-akan sama. Untuk itu kami dengan konsistennya sedang mengingatkan diri kami bahawa kami sedang berada di negara Republik Islam Pakistan yang mempunyai beberapa masalah dalam hubungan diplomatik dengan India.

Maafkan saya Pakistan, saya masih baru di sini.

14 comments:

tajiemas said...

Saya mengharapkan keselamatan saudara terjamin dan bersabar dalam menempuh halangan di bumi asing..Amin Ya Rabbal Alamin..

Unknown said...

satu pengorbanan yang besar telah kamu lakukan dalam hidup kamu. semoga kamu, mawar dan embun sentiasa dibawah lindungan Yang Maha Esa.
Cuaca; bila sebut cuaca panas mmg membahang..sm seperti di yanbu' temp 30'-40'..kamu sekeluarga perlu minum air kosong yg banyak..alhamdulillah setakat ini UW belum ada lagi masalah kulit gatal dan kering mungkin kerana supplement yg UW ambil sblm kesini dan smp skrg..ermm risau juga stok cuma boleh bthn utk 3bln aje lg...situasi kamu sm seperti Abah Wafa..kulit kering & gatal, alhamdulillah slps menyapu losyen EL'TINA SKIN PROTECTION CREAM (ZHULIAN) MASALAH itu berkurangan..maaf krn terlupa utk mengingAtkan kamu, ingatkan islamabad x panas. terutama mawar sgt777x perlu utk minum air kosong yg byk coz dia kan BF. kalau mawar bleh amik B'YOUNG spt yg UW tunjuk dulu tersangatlah bagus bila situasi mcm ni.

POLIS; pd UW, elok lah bila polis2 di sana btndak sbgtu bl mana pengebom ada dimana. keselamatan kamu sekeluarga terjamin. Di Yanbu pun byk polis ada dmana2 tp tugasnya tidaklah sehingga menyusahkan kami. :)

SOLAT; di yanbu tersangatlah bagus rakyatnya x spt d mesia. bila msk waktu solat semua kedai2 tutup 1/2jam kmdian br buka, yg bermain dpdg berhenti main dan yg berkelah dipantai akan sembahyang terus di situ. semua menuju ke rumah Allah utk bjemaah. Di sini jemaah bersembahyang 15minit slps azan slps semua memenuhi masjid. x seperti di malaysia, wuduk belum sempurna bilal dah takbir.. AZAN nya betul2 memanggil umat utk bersolat di masjid.

Pakaian; semestinya lelaki dengan jubah putih dan perempuan berabaya+niqab. hatta main mola di padang dan berjogging. UW rs teramatlah selesa bl diri diselubungi hitam. w/pun byk yg bertanya 'x panas ke?,x rimas ke?'waima cuaca membahang terasa spt biasa..smg UW akan terus begini w/pun diMalaysia..insyaallah

nasikerabupetro said...

Ahmad & Mawar...

Semoga kalian sekeluarga berbahagia dan dilindungi Allah SWT...

Amin ya Rabbal Alamin...

Selalu-selalu update ya... agar kami di sini tahu perkhabaran...

Baity & sahabat-sahabat

Kak Ummi said...

Seeru 'ala barakatillah...

Selalu-selalulah cerita perkembangan di sana ya.Kami Blogger Trg pasti merindui kalian...!

Salam untuk Mawar & Embun...

Anonymous said...

tiada gambar utk tatapan..sekurang2nya dpt jgk imagine keadaan disana..

Anonymous said...

jaga diri, always alert...

-joe-

Nizam Ahmad said...

jay, aku sgt kagum dengan keputusan kau utk ke pakistan! kalau aku, belum tentu akan sekuat kau.. take care bro ..

Anonymous said...

Saya baru sahaja berkira-kira untuk mengajak suami melawat kamu sekeluarga di Pakistan apabila habis berpantang nanti tetapi nampaknya suami saya sudah pasti tidak mengizinkan ekoran keadaan di sana. Tetapi saya berharap keadaan akan menjadi lebih baik dan bolehlah saya ke sana nanti.

Untuk kamu sekeluarga, semoga sentiasa dilindungi Allah S.W.T dan pulang dengan selamat untuk jangkamasa 3 thn lagi..

Hanie..

Bila Diary Bercerita said...

Semoga Nadaa, Mawar dan dirimu dilindungi Allah swt dibumi sana.

Chek dah beri no tel mu pada akak.
InsyaAllah jika ada kesempatan akak akan cuba telefon. Rasanya baca blog ni lagi banyak info tentang korang kat sana.

Artozy said...

Aku terkejut. terharu dan sangat mengkagumi hijrah kamu ini. terutamanya bersama Embun yang masih bayi. Selamatlah kamu dan keluarga di sana. Harap masih berutusan di blog.

Areej Torla said...

aku mula sapa london ni kulit jd kering n gatal jugok. aku recommend paka cream NIVEA hok dlm bekas bulat colour biru tuh. boleh pakai kt badan n muka. muroh tp sgt berkesan lah for me. krim tau, not lotion.

solat disini pon waktu hanafi lain. tp kami stick to shafii. waktu solat leh dpt dr sini if u dont already know http://www.islamicfinder.org/cityPrayerNew.php?country=Pakistan

jaga diri mawar n nadaa!

Areej said...

huhu..sian nguh. hoo..cepat lah cari krim tuh. kang bintik2 meroh tu klu garu lama2 jd hitam. uduh ngat. klu kt sini krim yg glamour utk kulit kering jenama E45, klu mu prefer hok tu pon ok gop. tp aku lebih suka NIVEA coz e45 tu pedih skit...
Nadaa plop gane? hope kulit dia ok.

Nafastari said...

Tajiemas, terima kasih atas doa anda. Amin.

UW, terima kasih kerana berkongsi cerita anda, sangat menarik dan memberi inspirasi. Saya kagum dan menghormati perubahan pada anda. Semoga istiqamah dan dirahmati Allah selalu.

Nasikerabupetro, amin. Jangan risau Mawar dan saya akan selalu mengemaskinikan blog masing-masing.

Kak Ummi, terima kasih tak jemu-jemu membaca catatan saya. Saya akan terus menulis insyaAllah. Salam kembali buat semua blogger Terengganu.

Anonymous, saya cuba usahakan untuk mendapatkan gambar yang menarik. Tetapi sudah pasti saya perlu berhati-hati serta tidak sembarangan mengambil gambar sesuka hati pada tempat yang tidak sesuai. Keadaan di sini agak sukar. Siapa anda, kenapa tidak biarkan saya mengenali anda?

Joe, saya faham, itulah yang kami sedang kami titikberatkan. Kami tidak boleh tersilap langkah. Ia berkaitan dengan keselamatan dan mungkin nyawa.

An-nidxam, terima kasih sahabat. Aku harap aku akan terus kuat.

Hanie, kamu sedang berpantang? Tidak ramai pelancong yang berani datang ke sini, tetapi kamu perlu tahu musim sejuk sangat indah. Boleh bermain salji. Jika tidak kisah datanglah menghabiskan cuti di sini, tentu bawa pulang kenangan yang manis. Terima kasih atas doa kamu.

Aishah, terima kasih atas ingatan. Saya akan menelefon akak nanti. Selalu mengikuti perkembangan kami di sini, akan saya tulis banyak-banyak.

Artozy, ya, saya telah membuat keputusan untuk memilih jalan ini. Setakat ini saya gembira, alhamdulillah. Saya akan selalu membaca utusan dari anda.

Areej, terima kasih atas saranan itu. Kalau boleh aku nak ikut Shafie juga, tapi kelihatannya semua yang lain mengikuti Hanafi atau tidak solat langsung. Aku dah rujuk kat Islamicfinder tu, terima kasih.
Nasib baiklah gatal kat betis dan peha je, bintik-bintik tak dilihat orang sebab aku pakai seluar panjang. Nadaa ok, cepat sesuaikan dirinya sendiri.

Anonymous said...

Sekarang belum dalam pantang. Baru 23 minggu tetapi semasa mengandung memang Hubby tidak benarkan saya naik flight so tiada percutian yang melibatkan flight sepanjang saya mengandung ini. Bulan 10 saya dijangka due, jadi saya berkira-kira untuk bercuti selepas itu bersama Hubby dan baby dan semoga menerima berita yang baik-baik sahaja dari sana...

Hanie..