Tuesday, June 23, 2009

Pakistan Zindabad!



Mereka bangsa yang gila kriket! Mungkin itulah pernyataan yang paling sempurna untuk menggambarkan tahap keghairahan mereka kepada sukan kriket. Jika di tanah air kita melihat orang bermain bola sepak di mana-mana sahaja kerana itu adalah antara permainan yang paling popular kepada orang kita. Tetapi di Pakistan kriket menjadi permainan utama. Di mana-mana sahaja terdapat orang bermain kriket. Padang kriket juga terdapat di mana-mana sahaja, ada padang yang sempurna yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan dan ada juga padang yang dicipta sendiri oleh masyarakat setempat. Kadang-kadang mereka bermain kriket hanya dengan memakai baju labuh tradisional (sarwal khamiz), di petang-petang hari yang sangat panas di musim ini dan juga di malam hari, sehingga ke tengah malam.

Malam dua hari lepas saya berada di Jinnah Super Market (sebenarnya cuma deretan kedai-kedai, bukan pasaraya seperti di tempat kita) untuk suatu urusan. Saya lihat begitu ramai orang berkumpul menghadap suatu skrin tayangan yang sangat besar, menyaksikan suatu perlawanan kriket! Rupa-rupanya ia suatu perlawanan yang sangat penting iaitu perlawanan akhir Piala Dunia (20-20) antara Pakistan dan Sri Lanka. Pakistan menang bergaya dengan kelebihan 8 wicket, itu yang mereka beritahu kepada saya yang jahil kriket ini.

Setelah perlawanan tamat mereka semua menjadi histeria terjerit-jerit, ada yang menari-nari, ada yang melompat, berpeluk-pelukan, mengibar-ngibarkan bendera dan sebagainya. Agak agresif! Biasanya saya melihat situasi begini hanya di televisyen, tapi sekarang sudah depan mata sendiri. Paling menarik perhatian saya adalah gema jeritan "Pakistan Zindabad, Pakistan Zindabad" (hidup Pakistan!) yang dilaungkan berulang-ulang secara beramai-ramai. Mereka tersangat gembira kerana kriket adalah sebahagian daripada hidup mereka, dan sekarang negara mereka telah memenangi piala dunia. Kali terakhir mereka memenangi piala dunia adalah pada 1992, ketika Imran Khan masih menjadi kapten pasukan kebangsaan.

Saya cuma melihat reaksi mereka tanpa melibatkan sebarang emosi kerana saya tidak tahu apa-apa tentang kriket. Pada malam itu semua orang Pakistan cuma ingin bercakap tentang kriket. Apabila berjumpa kawan-kawan mereka bersorak, berpelukan dan mengucapkan tahniah sesama mereka. Esoknya semua muka depan surat khabar bercerita tentang kriket. TV pun sama. Ada senyuman kepuasan pada setiap wajah orang Pakistan. Untuk seketika mereka dan saya lupa tentang ancaman bom dan taliban.

4 comments:

Ishan Qureshi Mehmood said...

Pak sarzamin shad bad
Kishware haseen shad bad
Tunishane azmealishan arze Pakistan
Markazeyaqin shadbad.
Pak sarzamin ka nizam quwate akhuwati awam
Qaum, mulk, Sultanat
Painda ta binda bad shad, bad man zele murad.
Parchame sitarao hilat
Rahbare tarraqio ka mal
Tarjumane mazishane hal jane istaqbal
Sayyai, khudae zul jalal.

PAKISTAN ZINDABAD....!!!!

Aku... said...

Salam....Minta tolong saudara kita yang kat atas tu terjemahkan apa yang dicakapkan...Walau apa pen seronok baca cerita anda..

Ishan Qureshi Mehmood said...

Salam AKU,

Saudara AHMAD pun boleh terjemahkan ke dlm Bahasa Melayu. Dia kan berada di Pakistan, tentu saja dia boleh terjemahkannya dgn begitu baik sekali:-)
Wassalam.

Nafastari said...

Ishan, itu adalah lagu kebangsaan pakistan (Qaumi tarana). Saya masih dalam peringkat belajar Urdu, tetapi saya cuba juga terjemahkan kepada anda. Agak sukar kerana ia sebuah lagu yang agak kompleks bahasanya, campuran Urdu dan Parsi.

Rahmatilah tanah suci
cerialah seluruh kurniaan,
lambang keagungan Tanah Pakistan
rahmatilah kubu keimanan kepada Tuhan


Pemerintahan tanah suci ini
adalah kekukuhan ukhwah rakyatnya
bangsa, negara dan negeri
rahmatilah azam cita-cita kami
bersinar dalam kejayaan selamanya

Bendera bulan bulan sabit dan bintang,
memimpin ke jalan kemajuan dan kesempurnaan,
menceritakan sejarah kita dan kejayaan sekarang,
inspirasi masa depan,
lambang lindungan Tuhan.

Aku, terima kasih atas sokongan anda. Saya telah terjemahkan lagu kebangsaan Pakistan itu bagi pihak Ishan Q.