Saturday, November 29, 2008

Sepetang di Gong Kolam Belibis



Di petang yang tiada hujan tapi mendung semalam, kami menaiki motosikal dari rumah menuju ke Kubang Bakak, melalui pagar Pusat Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Bebarapa kali motosikal yang saya naiki “jatuh rantai” bermakna beberapa kali jugalah kami berhenti untuk membaiki rantai tersebut. Seterusnya kami tinggalkan motosikal di sebatang jalan lurus di dalam pagar FRIM dan kami menyusup keluar dari pagar melalui sebuah lubang pagar yang rosak yang muat-muat badan kami, kata ayah lubang itu dicipta oleh babi yang menceroboh.

Kami tinggalkan semua selipar yang dipakai, cuma berkaki ayam. Sampai di Kubang Bakak terus bergegas memeriksa pukat yang ditahan. Banyak juga Puyu yang mengena (10 ekor) termasuk seekor anak Keli dan dua ekor ular, dua-dua sudah mati. Kami teruskan perjalanan ke Gong Kolam Belibis. Gong di sini bermaksud tempat yang bertanah lebih tinggi dan tidak akan ditenggelami banjir. Perkataan “gong” bagi penduduk tempatan juga boleh membawa maksud “bongkak, sombong.”

Setelah berjalan lebih kurang 2KM lagi kami sampai di Gong Kolam Belibis. Hutannya nipis, Cuma ditumbuhi pokok-pokok renek seperti Gelam, Cucur Atap (juga dikenali sebagai Celoreng Atap), Jembal, Otak Udang, Mertua Padang, Mertua Uba, Akar Seratus dan lain-lain. Di gong itu ada sebuah kolam yang sangat besar, tetapi sayang kata ayah di situ tiada banyak ikan. Beberapa orang pernah cuba memancing dan menangkap ikan di situ tetapi hasilnya selalu mengecewakan. Di situ juga ayah menunjukkan tempat dia membawa lembu-lembu peliharaannya, langsung saya tidak menyangka sejauh itu lembu-lembunya pergi. Daripada bekas-bekas tapak kaki lembu yang kami jumpai, ayah mendapat tahu seekor lembu betinanya telah beranak.

Sesekali kami terserempak orang yang mencari pokok Cucur Atap atau Celoreng Atap untuk dijadikan bonsai, menurut cerita mereka pokok bonsai daripada Cucur Atap boleh dijual dengan harga beribu-ribu ringgit, ada juga yang mencecah puluh ribu, malah ada yang ratus ribu. Di gong bertuah itu juga orang mencari madu lebah kalau di musimnya, ayah memangilnya musim bunga kerana banyak pokok hutan berbunga pada musim itu iaitu sekitar Mac hingga Jun.

Di situ juga anda boleh menahan perangkap kancil yang dikatakan selalu bermain di situ mencari makanan kesukaannya iaitu daun pokok Otak Udang dan Cerperai. Biasanya orang menjadikan pokok Otak Udang sebagai umpan untuk memerangkap si cilik itu. Hampir dua jam lebih kami dalam hutan yang berpasir putih itu. Sewaktu pulang bermotosikal melalui tepi pagar FRIM kami terlihat seekor babi hutan yang besar berlari dengan laju dan merempuh pagar dengan kuat sekali. Beberapa kali dia mencuba sehingga dia jatuh tergolek, namun tidak berjaya lalu akhirnya lari melalui tepi pagar dan hilang entah ke mana. Sebelum sampai rumah, kami akhirnya dibasahi juga dengan hujan yang memang sudah dijangka.

9 comments:

HaNie said...

Wah.. nampaknya saudara Ahmad dan keluarga gemar memancing. Begitu juga dengan ayah saya.. Pengalaman memancing itu amat menyeronokkkan tetapi amat membosankan apabila menunggu berjam-jam tetapi tiada seekor ikan pun yang mengena.. Tetapi memancing sememangnya menguji kesabaran.

Pernah saya terbaca satu petikan di mana, "Apabila kamu ingin mengetahui sejauhmana kesabaran seseorang, ajaklah kawanmu itu memancing. Sekiranya dia cukup sabar menanti kailnya dimakan umpan berjam-jam lamanya, maka dialah orang yang penyabar. Sekiranya tidak sampai satu jam dia sudah mengajak kamu pulang. Sebenarnya kesabarannya agak menipis."

Mungkin ada benarnya petikan yang saya baca tersebut.

hans said...

fuh,bestnya..
kenal pokok2 la...
geli plak dalam bubu ada ular...adess...
fobia
haha

wan storm said...

Kamu memang bertuah dapat sampai kat situ saya pun belum sampai ke kolam belibis walaupun teringin sekali untuk ke sana tetapi memandangkan kamu kata tak ade ikan, jadi semangat tu terus berkubur... kubang bakak tu banyak lagi ke ikan bakak kat situ, bolehlah kita buat trip ke sana cuti Raya Haji nanti, amacam ?

Ishan_Qureshi said...

Salam SAUDARA AHMAD,

Mcm menarik je tempat ni. Nanti boleh la bawa saya melawat tempat ni bila saya jejakkan kaki ke bumi Penyu Bertelur tu ye..?! Wassalam.

Maswafi Abd Samat said...

Tempat ni rasanya memenuhi citarasa aku.

WS Zuriati said...

rasanya sudah ada beberapa entri yg tuan tulis ejaan "lansung". Saya tidak pasti sama ada ianya satu kesalahan ejaan atau tuan memang tidak perasan akan ejaan "lansung" yg sebenarnya ialah "langsung".Utk kepastian sila rujuk kamus dewan ye.hrp maaf kalau respon saya tdk berkaitan dgn tajuk yg pastinya ia adalah utk memantapkan lg penulisan tuan.Sy sebenarnya xleh nk komen mengenai kolam belibis ini kerana ia kerja kaum lelaki.

Artozy said...

ahmad, rindu benar aku nak berkaki ayam merentas belukar. kali akhir itu hampir 10 tahun lepas!

Anonymous said...

ular dalam bubuuu??
lemah longlai lutut ku dgn makhluk bersisik berkilat tuhhh..
aaaaaaaa tatut tatut!!!

-joe-

Ahmad WM Omar said...

Hanie, terima kasih. Menarik sekali petikan itu.

Hans, saya pun tak kenal, ayah saya yang kenal, saya cuma menulis sahaja. Ular kat pukat, bukan bubu.

Wanstorm, ah, kamu tidak pulang pun ke kampung halaman sewaktu hari raya haji. Tidak mengapalah.

Ishan Q, boleh saja, datanglah.

Maswafi, datanglah ke sini, saya akan bawakan kamu ke situ.

WSZuriati, terima kasih, saya telah betulkan kesalahan ejaan tersebut.

Artozy, saya bersedia mengiringi kamu berkaki ayam ke situ.

Joe, ular tu melekat kat pukat. Tapi dah mati!