Sunday, September 28, 2008

Balai Sah Hijau


Sudah lama penulis tidak berkunjung ke Balai Sah di kampung yang terletak di sebatang jalan menuju ke pantai. Mungkin sudah hampir 10 tahun, iaitu sejak kami penduduk kampung sudah mula sepakat untuk hanya mendirikan solat jama'ah di masjid, hanya di masjid. Sejak itu balai sah itu hanya dijadikan sebagai tempat kanak-kanak belajar Quran, program usrah untuk wanita dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang lain-lain. Sebenarnya di situlah saya berjama'ah dan berterawih sewaktu kecil-kecil dulu sehinggalah tahun 1999.

Petang semalam ibu memberitahu bahawa setiap keluarga dikehendaki membawa sebuah hidangan nasi serta lauk-pauk yang lengkap dan menghantarnya ke balai sah supaya semua orang lelaki dewasa, remaja dan kanak-kanak dapat berbuka bersama-sama di situ. Kakak memasak nasi beserta gulai ayam, kacang panjang goreng, acar timun, ikan masak merah, ikan masin, sambal belacan serta buah tembikai yang sudah dipotong dan meletakkannya di dalam bekas aluminium bertingkat yang ibu panggil "junjung". Tapi kadang-kadang ia juga dipanggil "tenong". Saya menghantarnya ke balai sah, bersama-sama dengan ayah, seorang sepupu, dua orang abang ipar dan adik bongsu.

Saya tidak tahu bagaimana peraturan mereka, samada perlu memakan makanan sendiri atau makan di hidangan yang dibawa orang lain supaya kami semua dapat bertukar-tukar hidangan. Tapi oleh kerana kurang interaksi dengan orang-orang kampung (sejak mula berkelana menuntut ilmu di luar daerah), saya menjadi malu untuk pandai-pandai pergi ke hidangan lain, lalu cuma mengadap apa yang dibawa sendiri. Ini adalah satu kerugian kepada saya sendiri, kerana sepatutnya majlis yang sebegini boleh diambil peluang untuk berinteraksi, bertanya khabar dan beramah mesra dengan kawan-kawan sebaya serta orang-orang tua yang lain. Saya mempelawa seseorang yang saya kenal mukanya tetapi sudah lupa namanya, untuk duduk bersama kami dan dia bersama-sama berbuka dengan hidangan kami.

Walaupun struktur rumah kayu itu masih sama dan tidak banyak berubah dengan yang dulu, mengunjungi balai sah petang semalam sudah tidak sama dengan mengunjunginya pada 15 tahun yang lepas. Padahal di situlah dulu kami bersama-sama melaungkan "sallallahu wasallama 'alaih" dengan kuat sekali pada setiap selang dua rakaat terawih dan kadang-kadang orang-orang tua memarahi kami selepas mereka memberi salam, kerana mereka menuduh kami bermain-main serta membuat bising sewaktu mereka sedang bersolat. Semalam saya berasa saya dengan mereka sudah semakin jauh, tidak semesra dulu lagi.

3 comments:

en_me said...

assalamualaikum tuan rumah,

mengisi pulut ke dlm buluh, buat lemang juga ketupat, menyusun jari nan sepuluh, maafkan me wahai sahabat..

selamat hariraya maaf zahir batin dari en_me

Unknown said...

Salam Aidil Fitri,

kalu kami di Klate, kami panggi makuk ttikat.
lamo doh tok tengok makuk lagu tuh.

Nafastari said...

En Me, sama-sama.

Kakchik, ya, sudah jarang-jarang kelihatan.