Tuesday, February 05, 2008

Rupa Taman Hadhari


Rasa tertipu tiba-tiba menguasai diri penulis setelah berkunjung ke Perkampungan Hadhari di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man Terengganu kerana rupa-rupanya taman tersebut cuma indah khabar dari rupa. Lansung penulis tidak prejudis bahawa ia akan menjadi sebuah tempat tumpuan pelancong yang hebat di masa akan datang, cuma penulis sangat hairan kenapa pihak berwajib kelihatan sangat tergesa-gesa untuk membuka tempat tersebut kepada umum walaupun ia belum siap sepenuhnya. Sehingga 4 Februari yang lepas tempat tersebut belum lagi kelihatan seperti taman.

Ada kerja-kerja pembinaan yang masih lagi berjalan dan lanskapnya sangat teruk dan masih banyak yang perlu dilakukan untuk menjadikan ianya sebuah taman. Rumput-rumput kering yang kelihatannya baru cuba ditanam kelihatan di mana-mana, debu-debu dari tanah merah kering berterbangan, jalan masuknya belum siap dan sangat sempit, kawasan replika masjid-masjid utama dunia belum pun dibuka kepada umum, dan pengunjung perlu berjalan jauh sebelum dapat melihat masjid kristal yang belum pun dipasang karpet.


Pengunjung terkejut melihat suatu bangkai haiwan yang terapung di gigi air di tepi masjid kristal yang sudah buncit perutnya dan mungkin akan pecah bila-bila masa sahaja. Tidak jauh di hadapan masjid diadakan gerai-gerai jualan pelbagai produk dan barangan dan lagu-lagu pelbagai jenis irama timur dan barat dipasang dengan begitu kuat. Beberapa minit selepas solat zuhur, beberapa anak muda terhenjut-henjut menyanyi di atas sebuah pentas mini di hadapan masjid kristal dan begitu ramai sekali anak-anak muda yang kelihatannya sungguh teruja dengan persembahan mereka.


Rata-rata pengunjung yang datang pada cuti hujung minggu kelihatan tidak puas hati dengan apa yang mereka terpaksa hadapi, berebut-rebut untuk menaiki bas di tengah-tengah panas kerana keadaan sudah terlalu sesak dan kebanyakan kereta tidak dibenarkan masuk. Mereka terpaksa meletak kereta di tempat lain dan perlu menaiki bas yang disediakan oleh pihak penganjur. Bas tersebut tidak mempunyai jadual yang tetap dan anda terpaksa menunggu dengan lama walaupun bawah panas atau tengah hujan.

Walaupun begitu terdapat ramai sekali pengunjung yang tidak sabar-sabar menyaksikan keindahan taman tersebut seperti yang telah diwar-warkan di semua jenis media massa. Termasuklah perempuan-perempuan muda Islam yang bertudung tetapi memakai jeans yang sangat ketat, berbaju sendat dan singkat dan memperlihat segala bentuk tubuh badannya. Di suatu gerai seorang peniaga Muslim bersungguh-sungguh mencari rezeki dengan mempromosikan baju ketat fesyen terkini yang dijualnya.

Semoga Taman Tamadun Islam Hadhari cepat siap dan tidak menyeksa anda jika sekiranya anda terlanjur datang untuk menyaksikan kehebatan kesempurnaannya selepas pilihanraya nanti.

5 comments:

Hartini Omar said...

tuan,
-keadaan jd begitu apbl pihak2 tertentu 'terdesak' untuk mempromosikan sesuatu yg nampak 'keislaman'
-seolah2 bila sesuatu itu jatuh ke tangan mereka, ia akan berubah ke arah kesempurnaan
-kalaulah ia sesempurna yang digembar gemburkan

Anonymous said...

Aku di sini pun teruja jgk dgn berita rakyat Terengganu yang secara tiba2 menjadi hebat.Mungkin kerana dari masjid Kristal atau bunyi pahat yang sdg mengukir tamadun..Harap2 kehabatan ini bukan hanya berlaku dalam mulut temolok para pemimpin saja..Takut indah berita dari rupa.Rakyat jugak yang malu dan teraniaya.
-Al-Ghazali

Anonymous said...

me nk gi pulau wan man itteww esok.. insyaAllah..

Anonymous said...

yup. sy dan keluarga pun sgt kecewa. mmg indah khabar dr rupa. mmg x puas ati sgt2. ape ntah yg nk dibanggakan :|

Anonymous said...

Masjid bukan untuk dikristalkan atau dipertontonkan kepada umat Islam. Bahkan ia adalah syiar Islam serta wajib dimakmurkan oleh seluruh umat Islam. Jangan terkejut kalau selepas ini kita mendengar kejadian yang aneh-aneh berlaku di Pulau Wan Man, kerana menurut seorang kawan yang tinggal di situ, telah banyak perkara yang berlaku di situ sejak akhir-akhir ini tetapi umum tidak mengetahuinya.. Rasanya itulah tanda amaran daripada Allah kepada umatnya yang lupa diri.

Umi Nurahadi