Saturday, September 15, 2007

Ramadhan Mubarak

Lagi mengenai jiran penulis. Pada malam pertama Ramadhan saya menerima ucapan melalui SMS daripada jiran yang bukan seorang Muslim, “Selamat menyambut bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan”. Saya menyatakan rasa terharu padanya kerana menerima ucapan itu dari seorang yang bukan beragama Islam.

Lalu secara bergurau saya mengucapkan selamat berpuasa kepadanya juga sekiranya dia mampu dan ingin melakukannya. Dia membalas “Mahu bertaruh? Puasa tidak jadi masalah, cuma tiada pahala untuk saya”. Saya tersenyum sendirian. Akhirnya dia mengingatkan saya agar tidur awal dan tidak lupa bangun untuk sahur, kerana itu sunat.

Saya sangat senang mempunyai seorang jiran sepertinya yang sangat memahami agama, adat dan cara hidup saya. Dia berasal dari Kelantan terasimilasi dalam budaya dan cara hidup orang Melayu kelantan serta bertutur dalam dialek Kelantan sebaik orang Melayu Kelantan. Belum tentu saya mampu memahami agama dan adat budayanya sedalam itu. Malah oleh sebab dialek Kelantan pekatnya itu, kadang-kadang saya terlupa bahawa dia bukan Melayu dan bukan Islam seperti saya.

Dan di bulan Ramadhan seperti ini terasa rindu pula pada sambutan Ramadhan di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak yang sungguh berbeza dari tempat-tempat lain di Malaysia. Suasana masjidnya di malam bulan Ramadhan sudah cukup memberitahu segala keindahan dan keberkatan Ramadhan ditambah pula dengan latar belakang pengunjung-pengunjung masjid yang pelbagai. Sekarang tidak lagi seperti di UIAM, tiada sesiapa lagi di sini yang akan membalas “Ramadhan kareem” kepada saya apabila saya mengucapkan “Ramadhan mubarak”.

2 comments:

Anonymous said...

tuan,
-kepelbagaian masyarakat islam di universiti itu memang suatu kenangan yang tak mungkin dapat dikembalikan
-sifat jiran tuan yang baik hati dan memahami juga memberi gambaran betapa barakahnya bulan ramadhan..
-semoga segala rezeki yang diberi dan diterima, kita panjang2kan

Anonymous said...

-Antara tanda2 kebahagiaan hidup ialah,jiran yang bgaik hati.Alhamdulillah..harap kak woo dpt petunjuk menuju ke jalanNYA.