Monday, February 26, 2007

Perhimpunan Keluarga













Cuti sempena Tahun Baru Cina memberi peluang kepada penulis untuk ‘menganjurkan’ suatu perhimpunan keluarga di rumah penulis yang sangat berdekatan dengan Pantai Teluk Pelanduk, Batu 12. Setelah menjemput lima adik-beradik bersama keluarga mereka, cuma empat sahaja mengesahkan kedatangan mereka.

Petang Sabtu itu kami penuhi dengan acara kayak yang agak meletihkan, tetapi ternyata ia memberi suatu pengalaman yang menyeronokkan. Ia juga merupakan senaman yang sangat baik dan berkesan untuk membesarkan otot-otot bisep dan trisep lengan anda. Saudara kembar penulis teruja dengan lengannya yang tiba-tiba dirasakan seolah tumbuh otot-otot yang baru sebaik sahaja selesai berkayak.

Penat berkayak kami teruskan dengan acara masak-memasak untuk makan malam kami. Mujur Kak Aisyah membawa barang-barang keperluan untuk memasak seperti periuk dan sayur-sayuran dari rumahnya ke Teluk Pelanduk. Tetapi sebenarnya dia terlupa untuk membawa periuk bahagian dalam walaupun dia telah membawa ‘kulit luar’ periuk elektrik tersebut.

Malam itu semuanya makan dengan berselera sekali kerana selain keletihan berkayak, selera kami juga ditawan dengan aroma budu yang dibawa dari Taman Desa itu. Terasa seolah-olah berada di Terengganu pula. Anda silap kalau menyangka kami terus tidur selepas makan malam, kerana kami meneruskan aktiviti dengan memenuhi tepian kaki lima Jambatan Linggi. Kononnya memancing ikan di perairan kuala tersebut, tetapi seingat penulis seekor ikan pun kami tak dapat!

Keesokannya, ada yang turun berkayak lagi. Selepas itu, kami bermandi-manda di sebuah kolam renang yang agak besar. Anak-anak saudara penulis kelihatan sangat seronok dan seolah-olah mahu mandi sampai ke petang, sehinggakan kami terpaksa berbohong bahawa kolam sudah hendak ditutup oleh ‘tuannya’.

Selepas makan tengah hari dengan lauk yang serba sederhana (masih dengan budu), kami tertidur keletihan. Sebaik sahaja selepas Solat ‘Asar kami pun pulang ke Kuala Lumpur. Abang penulis yang ketiga sempat berseloroh bahawa dia mungkin akan datang ke Teluk Pelanduk pada setiap hujung minggu. Memang, tiada apa yang lebih membahagiakan selain daripada menghabiskan masa bersama ahli keluarga, sahabat handai dan orang yang disayangi. Pangkat dan kekayaan pun tidak dapat membeli dan memberinya…

p/s: Anwarul Haq, Khadijah, bila lagi nak turun PD?

2 comments:

Dijah said...

akhirnya post gak something..
huhuhu.

Dad of 4+1 said...

Bila ek nak gi PD? Kuala Linggi is a nice a place! Beaches definitely cleaner than PD and cheap seafood! Pernah duduk kat Kuala Linggi at my friend's chalet called Inapan Samudera. He's currently in NZ - wife buat PhD