Tuesday, December 14, 2010

Catatan Buat Anakanda Kedua

Anakandaku yang kedua,

Sudah genap seminggu kamu lahir ke dunia ini. Kamu lahir pada suatu petang Ahad awal Disember pada permulaan musim sejuk, bukan di negara asal ummi dan ayah kamu tapi di sebuah tempat yang sangat jauh dari tempat asal bangsa kita. Tempat ini mereka panggil Islamabad dan ayah tidaklah berapa gemar dengan perangai orang di sini secara keseluruhannya, nanti ayah akan cerita dengan lebih lanjut tentang itu. Kamu lahir di sebuah hospital yang berada tidak jauh dari rumah kita di Islamabad ini, cuma lima minit pemanduan, di Hospital Medicsi yang terletak di bangunan Menara Saudi Pak, Blue Area. Apabila kamu sudah dewasa nanti dan kita tidak berada di Islamabad lagi, ayah ingin sekali membawa kamu dan keluarga kita ke sini lagi untuk menunjukkan kepada kamu tempat lahir kamu, rumah yang kita pernah huni dan tempat kamu dan kakakmu bermain.

Doktor yang mengendalikan proses kelahiran kamu bernama Doktor Tehmina Rehman, ayah sangat gemar dengan cara dan tutur katanya sejak pertama kali ummi dan ayah berjumpa dengannya. Ayah masih ingat bidan yang membantu doktor tersebut adalah bernama Rabia yang ayah marah sekali padanya kerana dia menjerit tidak tentu pasal dalam dewan bersalin itu, mengingatkan ayah pada Doktor Wong di Hospital Kuala Terengganu sewaktu ummi melahirkan kakakmu Embun setahun lapan bulan yang lalu. Selepas kena marah Rabia tidak menjerit lagi tetapi bercakap dengan suara yang perlahan. Dia menyangka ayah dan ummi adalah pelajar universiti di Islamabad dan dia agak terkejut apabila mengetahui siapa kami yang sebenarnya. Tetapi jururawat muda yang bernama Khadija itu sangat menyenangkan, dia melayan ummi dengan baik sekali. Jururawat lain yang membantu adalah Sanaa, Fatma, Nadira dan beberapa jururawat lain lagi yang ayah lupa tanyakan nama mereka. Mereka enggan menerima sebarang wang tips dari ayah sewaktu ayah memberikan kepada mereka sebelum kita pulang ke rumah.

Telah ayah sebutkan tadi anakku, kamu punyai seorang kakak. Embun namanya. Dia menerima kamu dengan gembira. Semasa kamu dalam kandungan lagi setiap hari dia menggosok-gosok perut ummi dan menyebut "baby, baby, baby". Dan selepas kamu lahir dia begitu teruja sampai terjerit-jerit kegirangan sewaktu pertama kali dia menatap wajah kamu. Dia mencium kamu berkali-kali. Kak Embun belum pandai bercakap seperti orang dewasa tetapi ayah tahu dia sangat menyayangi kamu. Pagi semalam sewaktu ayah dan ummi bangun dari tidur kami lihat Embun sudah berada di sisi kamu, mencium kamu sambil tersenyum sendirian diselangi gelak kecil. Ayah bahagia sekali melihat kamu berdua. Dan ayah sungguh terharu tatkala kamu telah keluar dengan selamat dari perut ummi sampai jatuh air mata ayah di lantai bilik bersalin itu, juga kerana tidak tahan sebak melihat bagaimana sakit dan terseksanya ummi berjuang untuk melahirkan kamu. Alhamdulillah, kamu lahir sebagai bayi yang sempurna berambut hitam pekat yang lebat. Dan ummi juga baik-baik sahaja selepas melahirkan kamu, dia kelihatan begitu ceria dan bermaya sebaik sahaja selepas melahirkan kamu.


Semalam ayah adakan majlis Aqiqah di rumah kita untuk kamu. Kawan ayah membantu ayah mendapatkan seekor biri-biri yang besar, seberat 50kg sebelum disembelih dan berharga Rs12,500. Dagingnya ayah kepada ayah (to'ki kamu) yang masakkan untuk dimakan bersama nasi minyak, ayam masak merah dan acar yang disediakan oleh emak kepada ummi (tok mama kamu) dan dibantu oleh ibu kepada ayah (nenek kamu) dan juga adik bongsu ayah (Poksu kamu). Tok mama telah datang ke rumah kita di Islamabad di musim luruh lalu dua bulan sebelum kamu dilahirkan dan To'ki, Nenek dan Poksu datang di sini dari Terengganu setelah tiga hari kamu dilahirkan.

Semalam ramai sekali tetamu datang meraikan kelahiran kamu ke dunia ini dan mereka mengucapkan tahniah kepada ummi dan ayah serta Kak Embun. Ada yang memberikan hadiah dan ada yang memberikan duit kepada kamu. Isteri kepada duta Malaysia di Pakistan melakukan upacara "belah mulut" kepada kamu dengan menyuapkan air zam zam dan tamar dan duta sendiri telah memulakan upacara memotong jambul kamu, sambil diikuti oleh semua tetamu yang hadir. Kami lakukan itu sambil melagukan selawat nabi secara beramai-ramai. Majlis itu sangat meriah dan tentu Embun akan cemburu kepada kamu kerana ayah tidak sempat melakukan untuknya dulu kerana ayah terlalu sibuk dengan persiapan untuk berpindah ke Islamabad pada masa itu.


Ayah telah cuba mendaftar nama rasmi kamu dengan pihak berkuasa tempatan di sini, tetapi seperti biasa mereka menjadikannya sebagai suatu proses yang sangat sukar. Pertama kali ayah pergi, pada pukul 11 tengah hari Rabu itu, mereka tidak benarkan ayah masuk ke bangunan pejabat itu kerana menurut mereka semua kakitangan sedang bermesyuarat. Ayah pergi lagi pada pukul 2 petang dan setelah berjumpa  seorang pegawai di dalam sebuah bilik yang kelihatan seperti stor lama yang buruk, ayah diberi beberapa borang dan diminta untuk melakukan "affidavit" (seperti surat akuan bersumpah Malaysia) bagi mengesahkan kamu adalah anak kandung ayah yang sebenar, walaupun ayah telah menunjukkan surat pengesahan bersalin dari hospital. Ayah terpaksa berkejar ke Abpara untuk untuk melakukan affidavit seperti yang diminta. Dan setelah siap ayah sudah tidak boleh ke pejabat itu lagi kerana mereka telah menutup pejabat seawal pukul 3 petang! Mereka sangat tidak cekap dan bodoh.


Keesokan harinya ayah pergi lagi dengan seorang kawan ayah yang pandai berbahasa Urdu untuk menyerahkan semua borang dan dokumen yang mereka mahu. Ayah terpaksa berjumpa dengan tiga orang pegawai yang bershalwar kamiz yang duduk di lain-lain bilik (yang macam stor lama itu) sebelum semuanya selesai dan akhir sekali seorang pegawai pun berkata bahawa ayah perlu menunggu 20 hari sebelum datang lagi untuk bertanyakan sijil lahir sudah siap atau pun belum. Kawan ayah berbangsa Pakistan itu pun memberikan pelbagai alasan dan ugutan yang bersangkutan dengan Kementerian Luar Negeri, imigresen dan visa, dan akhirnya pegawai itu bersetuju bahawa sijil lahir kamu akan siap dalam masa 10 hari. Ayah tidak menaruh harapan yang tinggi kepada janji setiap orang yang berbangsa Pakistan, ayah tunggu dan lihat saja. Apabila sijil lahir kamu siap nanti, ayah akan daftarkan kelahiran kamu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad bagi memastikan kewarganegaraan kamu adalah Malaysia. Jangan kamu bimbang, anakku. Tidak sekali-kali ayah jadikan kamu sebagai warganegara Pakistan negara yang tidak ada harapan dan masa depan ini.

Anakandaku yang wangi,

Ayah telah mengalunkan azan di telinga kamu setelah jururawat Nadira selesai membersihkan kamu dan memakai pakaian tebal yang berlapis-lapis kepada kamu. Mereka tidak benarkan ayah mengazankan lebih awal daripada itu seperti yang diamalkan di Malaysia. Dan mereka tidak bersihkan kamu dengan baik pun, ayah perhatikan masih ada terdapat kotoran darah dan lendir kering di rambut kamu yang lebat itu. Ayah mandikan kamu dan shampu rambut kamu sebersih-bersihnya setelah kami bawa balik kamu ke rumah keesokan harinya. Tujuan ayah azan ke telinga kamu adalah supaya kamu terbiasa dengan kalimah-kalimah suci itu. Ayah juga ingin kamu tahu kamu telah dilahirkan sebagai seorang Muslim.

Jadilah kamu seorang Muslim yang taat yang mengamalkan segala ajaran Islam dengan sebenar-benarnya walau ke mana pun kamu pergi, walau bagaimana besarnya perbezaan antara mereka dengan kamu dan biar pun mereka menganggap kamu pelik dan asing semata-mata kerana kamu mengamalkan ajaran agama kamu. Dan inginlah ayah berpesan kepada kamu sebagaimana pesan Luqman kepada anaknya yang diceritakan dalam kitab suci kita al-Quran, janganlah anakku sekali-kali kamu mempersekutukan Allah kerana perbuatan syirik itu adalah sangat zalim, serta berbuat baiklah kamu anakku kepada kedua-dua ibu bapa kamu.

Marwa adalah nama kamu dan Kekwa adalah nama melayu kamu yang akan ayah gunakan untuk merujuk kepada kamu di blog ini. Kamu harus baik-baik sama kakakmu Embun. Selamat datang ke dunia, Kekwa.



Ayahandamu yang sangat berbangga.

53 comments:

Artozy said...

Selamatlah kamu di dunia dan akhirat, Kekwa. Kami semua meraikan kamu.

huds said...

wah..menitis air mataku membaca luahan hati ayahmju wahai marwa...berbanggalh dan bersyukurlah...

Kak Ummi said...

Tahniah dik!Salam untuk ibunya dan peluk cium untuk Embun dan Kekwa...Moga menjadi anak-anak yang soleh,penyejuk hati ibu dan ayah.

yg_indah said...

tahniah atas kelahiran!dan untuk nama yg bagus.

Hartini Omar said...

Tahniah Ahmad dan Mawar atas kelahiran insan baru. Bertambahlah kuntum2 segar dalam rumahmu, syukur...

Anonymous said...

Ada sepohon anak pokok belimbing buloh yang akan Pakcik tanam sempena dengan kelahiran Marwa. Pakcik akan bawa pulang ke negeri kelahiran Pakcik, Kedah untuk ditanam nanti. Semoga Marwa menjadi anak yang solehah.Marwa boleh bertanya kepada Nada' siapa Pakcik. Selamat menjalani kehidupan.

Syed aljufri

ila nursalida said...

selamat lahir ke dunia kekwa..aunty menangis tatkala membaca catatan ini. jadilah muslimah sejati. jadilah penyejuk mata ummiayah. semoga murahlah rezeki aunty memperoleh bayi comel seperti kamu suatu hari nanti.

KNizam said...

ketahuilah kekwa, uncle menjadi saksi akan segala apa yang berlaku dan dihadapi oleh ibu bapa dan kakakmu embun di bumi ajnabi islamabad ini. uncle sungguh terharu kerana diberi penghormatan untuk memotong sedikit rambutmu di majlis aqiqah semalam. inilah pertama kali uncle memotong sedikit rambut bayi di dunia ini.

bukan mudah untuk meneruskan hidup di bumi islamabad ini. nantilah bila kamu besar uncle akan ceritakan kepada kamu suasana sebenar kehidupan kami di sini. banyak rintangan yang dihadapi oleh kedua ibu bapamu di sini. terus terang uncle katakan, kami warga malaysia di islamabad juga agak khuatir akan keselamatan kamu & ibumu, sebelum dan sesudah kamu dilahirkan. manakan tidak, kamu dilahirkan 4,500km jauhnya dari tanah tumpah tanahayer kita malaysia. dikelilingi dengan masyarakat yang bertutur dalam bahasa urdu, lain tuturkata bicara, pemakaian dan rupanya. kamu juga lahir di dalam musim dingin islamabad yang mencengkam, suhu di waktu malam di islamabad telah mencecah 3'c kini. suhu ini akan makin sejuk menjelang bulan januari 2011 nanti. suhu yang sungguh dingin umpama meggigit2 tulang temulang di sini.

uncle dapat menyaksikan betapa bangganya kedua ibu bapa kamu semalam, kami semua warga malaysia di islamabad juga turut gembira dengan kelahiran kamu. selepas ini majlis keraian kami di sini akan lebih ceria dengan kehadiran kamu. syukur kami panjatkan kepada Ilahi kerana kamu dan ibu kamu selamat kesemuanya.

tahniah nafastari, mawar & embun!

Anonymous said...

wah..terharunye..

Anonymous said...

Saya sangat suka pada nama2 yang kamu pilih untuk anak2 kamu.. Embun & Kekwa.. Semoga Embun dan kekwa menjadi anak yang sentiasa disenangi oleh Ayah dan Ummi.

Hanie

kelisa_samudera said...

tahniah nafastari. warga pakistan mungkin tidak mengucapkan tahniah kepadamu dan mawar kerana anakandamu seorang perempuan. bukankah begitu?

addyaholix said...

nadaa dan marwa. embun dan kekwa. terlalu indah. tahinah buat kamu!

atbk said...

tumpang gembira
:)

mommy otai said...

kekwa..sguh wangi dan comel nama itu..sguh pndai ayh memilih namamu..
auntie sekampung dgn ayahmu berbangga bila baca entry ayah kekwa..die seorg yg kuat smgt berada di bumi bkn tanah tumpah drah..

sayangilah ibu dan ayahmu kekwa..sekuat sygnya kepada kamu..jadilah ank yg solehah dan moga hidup kamu sekeluarga diberkati..aminn

Yanaam said...

Tahniah untuk anda sekeluarga.

Firdaus® said...

insyaAllah dia akan jadi seperti mana yang kita mahu..berdoalah pada tuhan =)

Unknown said...

tahniah buat orang tua embun dan kekwa, semoga kehidupan kamu lebih bahagia & lebih bermakna dengan amanah Allah yg tak ternilai harganya. Hingga ke syurga. InsyaAllah.

Anonymous said...

Kekwa,
Nanti kamu akan ketemui seorang lelaki seakan2 ayah kamu,tapi dia bukan ayah kamu,
Kekwa,
jangan kamu melukai hati ayahmu mcm kakakmu lakukan,
kakakmu sudah tidak mengenali ayah kamu bila dia sudah jumpa lelaki seakan2 itu,
Nanti suatu hari,insya Allah kita akan dipertemukan,
dapatlah kekwa kenal Umar juga..
-Abu Umar

Anonymous said...

tahniah en wan,,
semoga marwa membesar sebagai wanita solehah!

fatima zahara

PutraRocker said...

dari jaoh ku kirim salam..wakakakak

Wahida said...
This comment has been removed by the author.
pqa said...

uwaaaaa

anak pak ahmad said...

=')

Anonymous said...

Assalamua'alaikum Keluarga Yang Mulia,

Terketemu ruang ini melalui AISHAH JAMAL, melalui THE SCRIBE A KADIR JASIN.

AJ mencatatkan bahawa yang empunya blog ini telah kembali ke rahmatuLLAH. Kami doakan semoga ruh ALLAHYARHAM ditempatkan bersama hamba-hambaNYA yang dikasihi.

Kepada keluarga kami mendoakan kesabaran dan keredhaan. Semoga ALLAH SWT memberi kekuatan dan petunjuk dalam apa juga yang perlu diteruskan.

Terharu dan tersenyum dengan catatan-catatan ALLAHYARHAM yang pertama kali ditatap disini. Pastinya menjadi sesuatu yang indah dan petunjuk kehidupan yang berharga buat puteri-puteri beliau.

Semoga dirahmati ALLAH SWT semuanya.

Wassalam

XERONINE

dgurlinred said...

terharu membaca coretan dan amanat terakhir seorang insan bernama ayah!!

semoga roh mu dicucuri rahmat..

Al- Fatihah buat Wan Ahmad!! :'(

ramlan ramli said...

pakcik pun menangis bila baca tulisan ayah...pakcik tak pernah kenal dengan ayah...hanya mengenali beliau selepas beliau tiada lagi di dunia...semoga Allah merahmati rohnya...semoga Embun dan Kekwa menjadi anak yang solehah...

RAMLAN BIN RAMLI
PEJABAT KEBAJIKAN MASYARAKAT DAERAH KAMPAR, PERAK.

Unknown said...

Anak Saudaraku Kekwa & Embun, Belajarlah bersungguh-sungguh, nanti dah besar pergilah jejak semula tempat-tempat yang ayah kamu maksudkan dalam entry yang ayah dah coretkan istimewa untuk kamu. Semoga kasih mak & ayah terus mewangi dan subur dalam sanubari kamu menjadi penguat semangat kamu dalam meniti perjalanan yang panjang. Sentiasalah doakan mak & kesejahteraan arwah ayah kamu k.

eikieyn said...

Sebak nye bace article ni. Bergenang air mate. :( Ape2 pon. Al-Fatihah buat arwah. Semoga di tempatkan di dalam golongan orang2 yang beriman.

Cik Piza said...

AlFatihah

.: Ain aka Ibu Qaisara.. :. said...

sangat terharu bila membaca entry ini,disaat penulis sudah tiada didunia ini..dapat dibayangkan betapa kasih nya seorang ayah buat anak tercinta..

semoga embun dan kekwa menjadi anak yg solehah, dan sentiasa mendoakan kesejahteraan buat ayah di 'sana'..

Al fatihah buat saudara nafastari..

atbk said...

apa yang pada awalnya sekadar format sebuah penulisan kreatif, kini menjadi satu rekod paling signifikan untuk tatapan anak2 mu...

j, i really miss you
(-_-)

Unknown said...

alFatihah buat sdr Nafastari. Walau pun sy tidak pernah mengenali anda sewaktu hayat mu, namun sy terasa kehilangan seorang insan yg mulia. Entah kenapa seolah anda adalah kawan yg pernah saya kenali (padahal sy hanya membaca entri Hari Terakhir Dalam Tahun 2010 dan Catatan Buat Anaknda Kedua dlm blog ini shj.) Mungkin ini berkat ukuwah Islam yg disemai junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Sewaktu saya menukilkan komen ini berbetulan azan Maghrib berkumandang, bertambah pilu rasanya kehilangan seorang saudara seagama.
Semoga anak2 dan isterimu tabah meneruskan hidup ini tanpa insan tercinta di sisi. Namu saya yakin dan percaya famili anda dan saudara seagama mu tidak akan mengabaikan mereka.
Tenanglah wahai saudara seagama ku beradu di sana sementara menanti saat dibangkitkan kembali untuk menghadap Wajah Ilahi . Giliran saya dan kawan2 semua mengiringi kamu pasti menyusul tidak berapa lama lagi . Usahlah bersedih kerana hanya maut sahaja peluang untuk bertemu Nya.
(ahmad_daiman@yahoo.com.my)

Hisyamz said...

Al-Fatihah.. Sayu Hati...
(http://hisyam92.com)

Intan ~ Nur Azlina said...

Al-Fatihah

Anonymous said...

Terharu dan sebak bila baca ayat2 terakhir seorang ayah kepada anak kesayangannya..semoga allahyarham dicucuri rahmat dan ditempat bersama golongan berimann..takziah kepada ahli keluarga..sungguh sedihh dan terharu walaupun tak mengenali allahyarham..hanya mendengar berita di TV3..

Anonymous said...

kami di Imigresen Negeri Terengganu kehilangan satu permata yg sangat bernilai.

Anonymous said...

allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu~

baru minggu lepas sepupu arwah bercerita tentang arwah dan keluarga, allah, allah, allah~

m0ga mereka dikurniakan ketabahan, keredhaan, kemudahan, dan kekuatan dariNya yang Maha Esa~

rafina mimi abdullah said...

semoga isteri,anak2 serta seluruh ahli keluarga arwah tabah dalam menghadapi ujian ini....

Anonymous said...

al-fatihah disedekahkan untuk nafastari...
walaupun saya tidak mengenali arwah..namun jiwa saya sebagai ibu begitu dihiris2 takkala membaca blog seorang ayah untuk anakandanya.....Percayalah bukan semua ayah berkemampuan menyampaikan apa yang tersirat di dalam hatinya.

KiMi said...

Wan Ahmad Fadzil a.k.a Jay...
Moga Embun dan Kekwa membesar menjadi Insan beriman..
Moga coretan ini akan kekal hingga mereka dewasa..
Agar mereka tahu, Ayah amat menyayangi mereka...

Ayah Embun dan Kekwa adala insan yang Baik....Kami sahabatnya amay merinduinya..
IIUM 2000-2005 dalam kenangan.

Rislah said...

Al-fatihah...

Shukor Tokachil said...

Buat Nafastari,
Kenangan yang lalu akan terus kekal abadi..
janganlah kau khuatir wahai sahabat..akan kami bela embun & kekwa agar dapat terus mengenali dunia ini tanpa kekurangan walau pastinya tanpa kasih sayangmu..
akan kami khabarkan kelak bahawa embun & kekwa punya ayah yang sangat dikasihi teman serta taulan..
bersemadilah kau dengan tenang wahai sahabat..semoga lumpah rahmatNya dikurniakan ke atas mu..

Anonymous said...

Sesungguhnya tuhan lebih menyayangi ayah kamu.
Embun dan kekwa,kamu berdua adalah kekuatan ibumu,Mawar.

pokcik_kampung said...

Assalamualaikum buat keluarga yang dirahmati ALLAH disana..

Sungguh terharu pabila menyelusuri coretan indah allahyarham nafastari..membuatkan air mata seorang hamba ALLAH menitis jatuh ke bumi..teringat mama dan papa di kampung..

Buat adik Embun dan Kekwa..belajar rajin-rajin ye..jangan susahkan ibu kamu..sentiasa doakan ibu kamu agar terus gembira di dunia ini..doakan juga kesejahteraan ayahanda kamu di sana ye..

Ku sedekahkan cebisan al-fatihah buat allahyarham disana..amean..

Nabilahhuda said...

Nadaa dan Marwa, you are lucky to have arwah abg J as your father. Ayah anda adalah sahabat karib uncle akak. Kita pernah makan bersama seminggu sebelum ayahmu meninggalkan dunia ini. Jadilah anak yang baik buat ummi agar ummi tidak merasa keseorangan. Jadilah anak yang solehah buat ayahmu yang insyaAllah, dengan izin Allah dapat kamu bertemu di syurga. Percayalah, ayahmu mendoakan yang terbaik buatmu berdua. Jadi kita yang masih hidup di dunia berdoalah kepada Allah agar menjaga arwah ayahmu di akhirat.

Jamal Ali said...

Kepada Kekwa, jika kamu menatap luahan ini kembali, ini adalah pesan dari ayahmu. Sematkan dalam hati, simpan dalam jiwamu...

Ingatlah kembali pesan ayahmu...

sue said...

ibu embun dan kekwa nak print semua catatan dalam blog....bleh ke?boleh tak semua catatan arwah Pa disimpan dalam bentuk cd ke...expired tak?sebab mawar x tau password....sedihnyer....

Anonymous said...

al fatihah untuk arwah..ku menanggis lagi...

Anonymous said...

saya btul2 terharu membaca artikel ini...walaupun x pnh bersua n x pnh mengenali....sy harap mawar sntiasa tabah dlm membesarkan embun & kekwa...

Anonymous said...

assalamualaikum...
sayu hati membaca blog arwah... saya ketemu setelah membaca blog mawar... tabahnya mawar... semoga Allah lindungi mawar, kekwa dan embun...
Amin

Anugerah said...

Subhanallah, arwah telah mendidik anak2nya(dengan pesanan yang sangat penting utk anak2nya) sebelum beliau kembali kembali ke Rahmatullah... Semoga embun dan kekwa menjadi anak-anak yang solehah menjadi syafaat (doa anak yang soleh) kepada ayahandanya di 'sana'...

Dalam agama Islam diajarkan bahwa ada tiga amalan yang akan terus mengalir pahalanya walau pemiliknya telah tinggalkan dunia fana yaitu ;

1.ilmu yang bermanfaat
2.amal jariyah dan
3.doa anak soleh

Muhammad Tayyab J. said...

Your all posts are just great and awesome.
Also, Please check out my game Traffic Racer .
Thanks

dhuat79 said...

Kekwa, Paklong ni