Friday, December 03, 2010

Arak di Majlis Perkahwinan Pahstun

Seingat saya sudah tiga kali kami menghadiri majlis perkahwinan orang Pakistan di sini dan kali ini sedikit berbeza kerana ianya dianjurkan oleh sebuah keluarga berketurunan Pashtun yang berstatus tinggi, orang kaya. Saya cuma berkesempatan hadir ke majlis malam berinai atau mehendi yang diadakan di kediamannya. Tetamu mereka juga adalah orang-orang kaya yang semuanya dihantar dan dijemput oleh pemandu, diplomat-diplomat asing dan kenamaan. Jalan di hadapan rumahnya juga dikawal oleh polis yang banyak.

Apabila kami masuk majlis telah pun bermula. Muzik India Bollywood dipasang dengan kuat sekali, diiringi tarian yang hampir sama dengan yang anda dapat lihat di filem Hindi. Gadis-gadis bermekap tebal berbaju penuh gemerlapan menari-nari di atas pentas. Kadang-kadang ada juga pemuda yang turut berjoget sama, disambut dengan sahutan, sorakan dan tepukan yang sangat meriah. Di satu sudut minuman keras disediakan dan kelihatan diplomat asing, rakyat asing dan juga Pakistan duduk dan minum-minum di situ.

Saya duduk bersama Mawar, Embun dan ibu mertua saya di satu meja berhampiran dengan sudut minuman keras, bagaikan bermimpi, dapat melihat aksi-aksi Bollywood. Buat seketika kami terlupa kami sedang berada Pakistan, kerana ianya dirasakan seperti sangat India. Seorang lelaki setengah abad yang merupakan adik kepada ayah pengantin perempuan duduk di meja kami, berbual-bual dan melayani kami dengan baik sekali. Sesekali kami didatangi saudara-maranya yang berjabat tangan dengan kami dan berbual-bual seketika. Saya rasa mereka semua berkasta tinggi, berpakaian moden dan cantik, berbahasa Inggeris dengan baik dan ramai juga yang menggenggam gelas arak di tangan mereka. 

Di hadapan Embun, isteri dan ibu mertua saya yang bertudung litup, dengan sopan dan rendah dirinya Pakcik Uthman berkata kepada saya, "saya tidak minum alkohol, tetapi jika anda ingin minum saya akan bawakan minuman ke meja ini". Saya cuma menggeleng kepala dan mengucapkan terima kasih. 

Kemudian kami berbual tentang perkahwinan. Saya bertanya kepada Pakcik Uthman, jika perkahwinan itu adalah perkahwinan atas dasar cinta atau diaturkan semuanya oleh keluarga, seperti kebanyakan perkahwinan di Pakistan. Dengan rendah dirinya dia berkata, "Kami berasal dari kampung berdekatan dengan Peshawar, oleh itu kami agak konservatif dan kuat berpegang pada adat dan agama. Biasanya kami mahukan perkahwinan yang dirancang oleh keluarga dan berkahwin sesama ahli keluarga kami".

"Tapi saya fikir anda semua sangat terbuka dan moden, kerana menghidang arak di majlis perkahwinan, di sebuah negara republik Islam. Saya tidak pernah melihat ini berlaku di majlis perkahwinan orang islam di Malaysia". Saya sengaja mencuit.

Dengan tenang dia menjawab, "Oh, tidak. Kami sangat taat pada adat budaya kami, kerana kami orang Pashtun. Sebab itulah anda lihat arak dihidang di sudut itu di kawasan yang agak gelap, tidak secara terbuka. Lagi pun tuan rumah ini adalah orang kenamaan yang mempunyai ramai kawan, jadi dia mesti menghidangkan arak". Saya cuma mengangguk-angguk.

Malam di musim sejuk itu kami pulang lebih awal berbanding tetamu yang lain kerana suhu sudah menjadi semakin sejuk. Dan keesokan harinya kami tidak jadi menghadiri majlis bharat (kenduri sebelah perempuan) di hotel Marriott kerana telah menerima arahan untuk berjaga-jaga kerana terdapat ancaman bom di kawasan Islamabad untuk tempoh tiga hari. Tidak dapatlah saya mengalami bagaimana suasana majlis bharat mereka.

5 comments:

Anonymous said...

pengalaman yang menarik

from:org ganu

kelisa_samudera said...

mereka mmg berpegang pada adat. adat zaman jahiliyyah agaknya.

Anonymous said...

Bagus dia layan tetamu,siap sedia arak lagi..Mcm keldai!
-Abu Umar

Muhammad Tayyab J. said...

Easy to understand and the quality is just awesome.
Also, Please check out my game Traffic Racer .
Thanks

Muhammad Tayyab J. said...

Yes, Once again. Great work.
Also, Please check out my game Traffic Racing .
Thanks