Saturday, May 29, 2010

Mei di Islamabad

Hampir sebulan saya tidak menulis apa-apa di sini. Sekarang sudah di penghujung Mei, musim panas baru bermula. Di tengah hari suhunya boleh mencapai sehingga 48 darjah celsius,dan akan meninggi lagi menjelang Jun dan Julai depan, kemuncak musim panas di Pakistan. Jika keluar rumah di waktu tengah hari saya akan menjadi sakit kepala, ia bagai mengiggit-gigit. Angin yang bertiup pun terasa sangat panas, walaupun di malam hari.

Dan hari ini genaplah setahun saya di sini. Kami tiba pada 29 Mei tahun lepas. Cuaca dan suhunya samalah seperti tahun lepas, cuma bezanya kami tidaklah terlalu terkejut dengan cuaca ini kerana memang kami telah bersedia untuk menghadapinya. Begitu juga dengan keadaan keselamatan di negara ini, masih sama dengan tahun lepas. Tapi berita-berita itu sudah tidak berapa menarik perhatian kami, benarlah kata orang kita alah bisa tegal biasa. Semalam sahaja dua serangan pengganas secara serentak ke atas dua rumah ibadat golongan minoriti (Ahmadiyyah) berlaku di Lahore selepas solat Jumaat. Sehingga entri ini ditulis sekurang-kurangnya 95 orang dilaporkan telah terkorban.

Di kedai buah-buahan di Islambad kelihatan mangga sudah pun mula dijual, menandakan musim mangga sudah tiba. Walaupun pada mulanya harganya agak mahal dan rasanya kurang manis, tetapi selepas ini di Jun dan Julai harganya akan menjadi lebih murah dan rasanya akan bertambah manis. Di mana-mana pun ada orang menjual dan menjaja mangga dengan harga serendah dari Rs50 (RM2). Rugilah kalau tidak merasa jus mangga atau lasi mangga yang sungguh melegakan dalam cuaca yang panas-panas begini. Mangga Pakistan memang sangat manis dan sedap, saya rasa ia lebih enak daripada mangga Thailand yang biasa didapati di Malaysia.

Sejak akhir-akhir ini entah mengapa kami merasakan semuanya tidak kena dengan Pakistan dan orang-orangnya. Seperti biasa mereka sangat suka membuat janji dan kemudiannya tidak memenuhinya, penipuan dan pembohongan sudah menjadi budaya mereka. Saya akan menjadi sakit hati apabila berhadapan dengan orang mereka yang kurang adab, kurang pendidikan dan kurang kesedaran sivik. Pergilah ke mana-mana pun, ke kedai, restoran atau sewaktu memandu dijalan raya, anda cuma akan sakit hati, tertekan dan marah. Urusan dengan pihak pejabat kerajaannya juga sangat menguji kesabaran, mereka tidak cekap, suka pilih kasih dan masih mengamalkan amalan rasuah secara berleluasa. Di negara ini, tiada sesiapa yang boleh dipercayai dan diharapkan.

Bekalan elektrik di rumah akan terputus selama sejam untuk lima atau enam kali sehari dan ianya benar-benar menjadi masalah terutamanya di musim panas ini. Kerajaan mereka juga telah membuat beberapa keputusan yang bodoh dan kelakar berhubung masalah elektrik dan sudah tentulah mereka tidak menyelesaikan apa-apa masalah. Kedai-kedai dan pusat perniagaan diarahkan tutup seawal 8 malam, tetapi catuan elektrik masih tetap dikenakan, malah lebih kerap. Oh ya, mereka juga telah menyekat capaian ke laman Facebook dan tiada sesiapa lagi yang boleh menggunakan Facebook di Pakistan sekarang. Semua ini menambah tekanan kepada saya dan membuatkan saya ingin balik bercuti dan berehat sebentar di tanah air, saya sudah bosan dan tidak tahan lagi dengan tempat yang tidak bertamadun ini. Atau pun cuma kerinduan saya pada Malaysia yang membuatkan segalanya kelihatan tidak indah di sini?

Setelah mengetahui saya sudah tinggal di sini selama setahun, seorang pegawai kanan Pakistan bekerja di sebuah kementerian beria-ia bertanyakan saya, "adakah anda suka Pakistan?" 

Oleh kerana saya menghormatinya dan tidak mahu mengecewakannya, sambil tersenyum sumbing saya membalas "saya suka mangga Pakistan. Mangga anda sangat manis."

12 comments:

ashrafi said...

selamat kembali.. di Malaysia pula sekarang Millatfacebook semakin popular..

Fatanah Fadhil said...

hanya banyakkan bersabar la ye...
huhu mmg d mesia loni skit2 'capai lamn facebook kami...'jd trend pulok...selain trend 1mesia haha

Anonymous said...

jawapan yg lebih kepada menjaga perasaan..

yg_indah said...

malaysia pun ada org mcm tu.cuma tak berapa nak jelas sahaja.

Marina Monroe said...

Salam, jagalah diri dan keselamatan di perantauan.
Moga Allah lindungi anda. Amin

sue said...

lega....akhirnya pa muncul kembali............

WS Zuriati said...

blk la...nt akak msk semua yg awak suka..ha..ha...sb akak pun memang suka makan...!

KNizam said...

bila dah pekena budu, ikan goreng tepung redalah kemarahan tu kot. hehe :)

KNizam said...

giler ah setiap hari melantak mangga kat sini. hehe :)

areej said...

aku pn suka mangga pakistan. tgh tunggu stock2 mangga sapa ke Uk, nok beli banyyok, buat pulut pauh, besttt.

addyaholix said...

aku baca saja dah sakit hati. facebook kena block di pejabat saja pon aku dah stress gila. ini kan pula kalau capaiannya langsung disekat di seluruh negara. boleh mati katak!

kEk caWan said...

sekurang-kurangnya anda jujur kan?
soalan yang straight forward boleh di jawab dengan trick answer.
ye, mangga pakistan sgt sedap!