Monday, December 28, 2009

Mera Hussin Tera Hussin, Ya Hussin...




Pada hari ulangtahun pernikahan saya dengan Mawar yang kedua, Pakistan sedang sibuk dengan perayaan 10 Muharam yang dirayakan secara besar-besaran oleh kebanyakan penganut mazhab syi'ah yang membentuk kira-kira 30% dari keseluruhan Muslim di Pakistan. Pada hari 9 dan 10 Muharam, kerajaan Pakistan mengishtiharkan cuti umum dan pada pagi tadi (10 Muharam) saya lihat jalan raya lengang dan sunyi sepi. Kedai yang menjual coklat kesukaan Mawar juga tutup sepanjang hari, bermakna tiadalah coklat itu untuk Mawar. Kebanyakan TV Pakistan memberikan liputan secara besar-besaran kepada perarakan-perarakan yang diadakan di jalan-jalan raya. Nasyid dan lagu-lagu yang meratapi kematian Hussin dan peristiwa Karbala memenuhi kebanyakan program di TV.



Sudah beberapa hari juga saya tidak melihat chukida (jaga) di sebelah rumah saya yang bermazhab syi'ah, mungkin dia juga sedang bercuti  meraikan 10 Muharam. Menurut seorang kenalan Pakistan saya yang bermazhab sunni, kebanyakan aksi agresif yang boleh mencederakan diri sendiri pada perarakan 10 Muharam hanya dibuat oleh orang-orang miskin dan tidak berpelajaran yang diupah oleh orang-orang syi'ah yang kaya. Mereka yang lebih berpelajaran biasanya hanya hanya akan menepuk-nepuk dada dengan sederhana sebagai meratapi kesedihan atas apa yang berlaku kepada Imam Hussin semasa peristiwa Karbala. Menurut seorang india warganegara Malaysia yang bekerja di sini, sambutan 10 Muharam itu tidak jauh bezanya dengan sambutan Thaipusam di Malaysia.

Ada beberapa program berbahasa Urdu yang saya tonton di TV menayangkan kumpulan syiah yang duduk dalam masjid sambil mendengar kepada seorang yang gaya seperti penceramah atau tukang cerita. Hampir 10 TV menyiarkan majlis yang sebegitu pada malam 9 Muharam, ada yang disampaikan oleh lelaki tua, lelaki muda dan malah perempuan yang menyampaikannya pada hadirin perempuan sahaja. Dia akan bercerita sambil menangis-nangis dan kadang-kadang disahut dengan jeritan dari kalangan pendengar yang duduk di hadapannya. Hadirin yang berpakaian serba hitam itu juga meratap, menangis-nangis (yang bagai dibuat-buat) dan menepuk-nepuk dada dan kepala mereka sewaktu mendengar cerita sedih yang tidak lekang menyebut nama Hussin, Ali dan Fatimah.

Pada 9 Muharam saya berada di Lahore. Pada malam itu kenderaan kami tiba-tiba memasuki satu jalan yang lengang dan gelap. Selepas itu baru kami menyedari bahawa terdapat satu perarakan kumpulan orang Syi'ah dengan sepanduk yang dijulang tinggi dan laungan suara yang menyebut antara lain, "Hussin... Ya Hussin..." Lelaki berjalan di hadapan dan kumpulan perempuan di belakang, mereka semuanya berpakaian serba hitam. Dan pemandu kami yang bermazhab Sunni itu kelihatan agak terkejut apabila melihat mereka dan cepat-cepat berpatah balik dan menukar haluan.

3 comments:

kelisa_samudera said...

saya baru sahaja membaca dan belajar tentang aliran syiah ini. ternyata amalan dan pegangan mereka agak jauh berbeza dengan amalan sunni.

Golongan Marhaen said...

bila lihat gambar dan baca tentang mereka sewaktu sambutan tersebut, rasa takut jugak nak berdepan dengan mereka..org yg taksub ni macam2 mereka boleh buat...

Nafastari said...

KelisaS, ya ada banyak juga perbezaannya, tetapi masih ada persamaannya.

GM, sebenarnya mereka bukanlah agresif pada setiap masa. Dan ramai juga yang mengakui bahawa pekerti orang-orang syiah sangat baik dan menyenangkan.