Tuesday, November 03, 2009

Hidup Itu InsyaAllah

Kadang-kadang saya fikir nyawa manusia bagaikan terlalu murah di sini, beratus-ratus orang mati begitu sahaja akibat pengeboman berani mati. Tidak sampai seminggu selepas sekurang-kurangnya 117 orang mati di Peshawar, 35 orang pula mati di Rawalpindi semalam. Dan semalam juga pada sebelah petangnya, berlaku satu lagi letupan bom di Lahore yang mengakibatkan 25 orang cedera termasuk anggota polis dan keselamatan. Hampir setiap hari ada sahaja berita tentang bom membuatkan ia tidak begitu mengejut atau mengujakan lagi. Melalui media-media di sini, diperhatikan bahawa pihak berwajib tidak mengambil langkah yang serius bagi menghalang kematian rakyat yang tidak bersalah. Malah beberapa ketika saya melihat seolah-olah mereka sengaja menjolok-jolok sarang tebuan.

Tetapi kami tetap meneruskan hidup seperti biasa. Kami keluar rumah seperti biasa, ke Pasar Rana, bazar Jinnah Super F7, Supermarket F6, Bazar G10 dan sebagainya. Kami harus membeli baju dan jaket untuk menghadapi musim sejuk, membeli duvet tebal, membeli sayur dan ikan dan lain-lain. Sekarang suhu di Islamabad menjadi semakin sejuk, purata lebih kurang 15 darjah dan ia akan menurun sehingga paras negatif apabila tiba kemuncak musim sejuk Disember dan Januari nanti. Ketakutan dan kebimbangan sudah tidak perlu difikirkan jika ingin hidup seperti orang normal di negara yang bergolak seperti ini. Hidup dalam ketakutan adalah bagaikan tidak hidup, keberterusan hidup memerlukan sedikit keberanian yang bijak.

Di kedai ikan Fresh Seafood Pasar Rana yang menjual ikan tidak segar, saya melihat penjualnya sibuk menonton berita di TV dan saya menegurnya, "ada bom lagi hari ini? di mana pula?"
Dia tergelak besar mendengar soalan saya. "Belum ada lagi", dia menjawab.
Dan selepas itu kami ketawa bersama-sama.


Dan saya mula menyedari Mawar juga sudah tidak ketakutan seperti kami mula-mula tiba di Islamabad 5 bulan yang lepas. Malah saya rasa jiran saya lebih takut dengan keadaan di negaranya sendiri, Ahad lepas dia menghalang anaknya keluar ke Itwar Bazar (bazar Ahad) dengan kami walaupun anaknya telah berjanji. Petang tadi Mawar mengajak saya keluar untuk menghirup sup ayam jagung panas di Jinnah Super. Dan dengan selamba kami beserta Embun keluar selepas Maghrib tadi, walaupun terdetik juga di hati saya bagaimana jika kami semua berada di tempat salah pada waktu yang salah. Dalam kenderaan sebelum sampai saya cuma berdoa dalam hati dan membaca ayat-ayat perlindungan, semoga Tuhan sahaja yang memberi kami perlindungan. Dan sesungguhnya jika sudah ajal, saya harus mati di mana-mana sahaja dengan sebab apa-apa sahaja.

9 comments:

kelisa_samudera said...

jika saya cuma beberapa bulan berada di situ, mungkin saya juga seperti mawar yang takut2 untuk menghadapi hidup. tetapi sebagai ketua keluarga, kita sebenarnya tidak harus menunjukkan perasaan takut di hadapan mereka. jika kita takut, mereka akan bertambah tidak yakin.

atbk said...

Kan?
Sebenarnya kalau dah takdir mati kat mana2 pun boleh...
Ko bertuah sbb ko dapat rase keadaan yang mana kematian tu benda yang korang harus bersedia untuknya setiap hari...

kitorang kat sini pastinya tak mengingati mati sekerap korang, terus sahaja dgn keduniaan yang mengalpakan

yg_indah said...

aku setuju dgn atbk.

Golongan Marhaen said...

Hidup..tak tahu berapa lama jantung ini berdegup. Ada bayi yang dilahirkan cuma hidup sesaat. Ada manusia yg hidup dapat hidup lama..
Mati...itu pasti.

Nurra said...

SETIAP KALI TERDENGAR BERITA PENGEBOMAN DI TEMPAT PERHIJRAHAN SAUDARA SEKELUARGA, SETIAP KALI ITULAH SAYA BERDOA AGAR SAUDARA SEKELUARGA DIBERI PERLINDUNGAN OLEHNYA....

SEMEMANGNYA KEMATIAN ITU SATU KEPASTIAN TETAPI PERJUANGAN UNTUK HIDUP PERLU DITERUSKAN...

hans said...

negara islam sentiasa bergolak kerana umatnya sendiri

Jalak Lenteng said...

hmm..scary!semoga kau ngan family serta seluruh umat Islam di sana selamat dan sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT

Aku... said...

Salam.... Pelik bila memikirkan dunia hari ni.... Dah akhir zaman kut....

hayat muhamad said...

saudaraku Ahmad,
aku rindu sama kamu.Ada baiknya kalau kita bertemu suatu hari nanti.Semoga Allah melindungimu dari bom-bom itu.Sungguh aku terlalu risau bagi pihak keluargamu di sini!heheh!