Thursday, September 10, 2009

Pakaian di Pakistan






Akhirnya saya memiliki baju kurta serta syalwar kamiz, iaitu pakaian kebangsaan bagi rakyat Pakistan. Mereka benar-benar memakainya serta meletakkannya sebagai pakaian kebangsaan, bukan sebagaimana orang Malaysia yang hanya memakai pakaian kebangsaan pada upacara atau majlis tertentu sahaja. Bagi orang Pakistan syalwar kamiz atau kurta adalah pakaian untuk segala-galanya, pakaian untuk bekerja samada di pejabat atau tapak binaan, kerja berat atau ringan, bersukan, untuk tidur, beribadat dan sebagainya, daripada pagi sampai ke malam. Bagi pekerja buruh binaan mereka cuma menambah topi keselamatan di atas kepala, untuk bersukan mereka padankan dengan kasut sukan dan untuk ke masjid mereka padankan dengan kopiah. Kata orang Pakistan ianya selesa untuk tidur dan mudah di tandas.

Syalwar bermaksud seluar, manakala kamiz bermaksud baju. Kurta juga adalah baju, tetapi sedikit berbeza dengan kamiz. Kamiz biasanya mempunyai leher berkolar menyerupai kemeja moden, berpoket di dada sebelah kiri dan lengan panjang berbutang sama seperti lengan baju kemeja. Sementara kurta berkolar nehru (seperti baju melayu cekak musang), tidak mempunyai poket di bahagian dada dan mempunyai lengan yang ringkas tanpa butang. Kedua-dua jenis baju tersebut dibuat labuh separas lutut dan dibelah di kedua-dua sisi. Kamiz biasanya dipotong membulat di bahagian bawah baju tetapi tidak kurta yang dibiarkan bersegi.

Kamiz dipakai dengan syalwar yang diperbuat daripada fabrik yang sama jenis dan warna, tetapi kurta tidak semestinya dipakai dengan syarwal yang sama. Kurta boleh dibuat dengan fabrik yang bercorak dan biasanya dipakai dengan syarwal yang berwarna putih. Syalwar kamiz biasanya hanya diperbuat daripada fabrik kosong tanpa corak berwarna seperti putih, biru muda, kuning air dan sebagainya. Syalwar kamiz dianggap lebih formal dan dipakai untuk ke pejabat dan majlis-majlis rasmi, sementara kurta biasanya kurang formal dan kebanyakannya hanya dipakai oleh orang-orang yang lebih muda atau kanak-kanak. Kadang-kadang syalwar kamiz akan dipadankan dengan vest di atasnya bagi menampakkan lebih formal. Menteri-menteri atau orang kenamaan selalu memakai begitu di majlis-majlis yang rasmi, jika mereka tidak mengenakan pakaian kemeja seperti barat atau lounge suit.

Sewaktu pertama kali memakai syalwar kamiz, saya berasa sangat tidak yakin dek seluarnya yang luar biasa dan kelakar itu. Dalam hati berharap agar tidak terserempak dengan orang Malaysia lain kerana saya berasa sangat malu berpakaian begitu. Tetapi sekarang saya sudah mula menyesuaikan diri dan memakainya dengan selamba. Terdapat satu rahsia, lelaki Pakistan yang memakai syalwar kamiz biasanya tidak memakai seluar dalam! Sebab itulah bahagian atas syarwal dibuat sangat besar dan dipakai dengan tali yang dicerut dan diikat di perut. Syalwar akan kelihatan berkedut-kedut dan berupaya menutup segala masalah, ditambah pula dengan kamiz yang labuh di atasnya. Sangat kreatif! Kata mereka, "selesa dan lebih bebas!"

Pakaian wanita

Baju perempuan juga dipanggil kurta, tetapi diperbuat daripada material yang bercorak meriah, berbunga-bunga dan berwarna-warni. Warna kuning, oren atau merah terang antara warna pilihan wanita di sini selain warna-warna kebiasaan yang lain. Hampir semua wanita Pakistan memakai kurta pada setiap hari dan setiap masa, kecuali bagi yang memilih untuk berjubah (biasanya berwarna hitam, singkat dan berbelah di hadapan dan sisi), tetapi di dalamnya kelihatan masih mengenakan kurta dan syalwar. Di pedalaman seperti di wilayah NWFP wanita biasanya masih memakai burqa di atas pakaian mereka apabila keluar rumah.

Setiap wanita (kadang-kadang termasuk yang berpurdah juga) akan mengenakan dupatta (selendang besar) di atas dada mereka. Di Islamabad wanita yang moden dan kaya biasanya tidak menutup rambut mereka, tetapi ada yang memakai dupatta di atas kepala dengan menampakkan sedikit jambul seperti Benazir Buttho dan ada yang menutup rambut serta sebahagian muka. Ramai yang lebih mementingkan penutupan muka berbanding rambut, kerana kelihatan ramai yang menutup muka tetapi tidak kisah menampakkan sebahagian jambul rambutnya. Terdapat juga wanita yang memakai tudung berasingan seperti tudung Turki atau Arab dan ada yang berpurdah hitam seperti wanita Arab tetapi tetap mengenakan dupatta di dada. Kain-kain kapas (cotton) untuk wanita biasanya dijual di kedai-kedai fabrik dalam ukuran 3 helai bagi sepasang, iaitu kurta, syalwar dan dupatta.

Itulah sahaja pakaian kebiasaan orang pakistan, ia tidak pelbagai. Saya tidak tahu jika wujud peraturan yang mewajibkan rakyatnya berpakaian begitu, tetapi saya percaya ianya hanyalah amalan dan budaya mereka yang mereka pegang dengan kuat. Saya perhatikan Mawar akan lebih ditenung orang jika dia keluar memakai skirt (labuh), pelik mungkin kerana wanita Pakistan tidak pernah memakai skirt. Wanita-wanita barat berkulit putih yang terdiri daripada diplomat dan ekpatriat pun biasanya akan memakai kurta, syalwar dan dupatta apabila berada di tempat awam. Jarang sekali terlihat wanita asing bukan Pakistan yang memakai pakaian jarang di sini.

8 comments:

ila nursalida said...

letaklah gambar yg lebih jelas.serono sikit berimiginasi

kelisa_samudera said...

kalau tak silap saya pakistan pernah digegar dengan gempa bumi beberapa tahun dulu. derma pakaian dari malaysia yang sampai ke pakistan semuanya tidak dipakai oleh mereka kerana tidak selesa. saya juga dapat tahu pakaian ini sesuai dipakai tidak kira musim panas atau sejuk.

Bila Diary Bercerita said...

Nampaknya pereka fesyen tak boleh cari makan kat sana. Ha..ha..ha.

Mereka patut dipuji kerana berbangga dengan pakaian mereka. Kita kat Malaysia ada juga spesis yang geli nak pakai baju kurung ke ofis. Kununnya tak nampak imej korporat. Hiiiii, nyampah!

hans said...

betul2
hargailah pakaian kita

Nafastari said...

Ila Nursalida, susah nak dapatkan gambar mereka, sebab di sini mengambil gambar adalah sesuatu yg pelik lebih2 lagi jika mengambil gambar perempuan Pakistan. Silap2 boleh jadi kejadian yang tidak diingini. Saya letak gambarnya jika ada yang sesuai dan berkaitan.

Kelisa_Samudera, benar dulu terdapat kejadian gempa bumi yang dahsyat di utara Pakistan dan memang penduduk di sini lebih selesa memakai pakaian mereka. Fesyen mereka sama, cuma jenis material yang dipakai semasa musim sejuk lebih tebal dan mereka memakai berlapis2 pakaian termasuk selendang besar yang menyerupai selimut bagi membalut tubuh.

Aishah, ya mereka sungguh bangga dan setia dengan pakaian mereka, tidak seperti di negara kita.

Hans, mulakan dengan diri sendiri. ;-)

Yanaam said...

Sharwal ke shalwar ?

http://en.wikipedia.org/wiki/Shalwar_kameez

Mungkin juga perkataan seluar diambil daripada perkataan Pakistan shalwar.

Kamiz = gamis = qamish = kemeja. Bunyi pun lebih kurang.

Nafastari said...

Yanaam, sebetulnya shalwar atau juga syalwar. Saya telah cuba memperbetulkan semula semua ejaannya. Terima kasih atas keprihatinan anda.

Srmadd said...

Salam, di mana saya boleh mendapatkan salwar kamiz ini di Malaysia? Jika ada sila hubungi saya di 0124211592. Terima kasih 🙏