Thursday, May 08, 2008

Menteri Besar Baru

Penulis tiba-tiba menjadi berminat dan bersetuju dengan pendekatan Menteri Besar Terengganu yang baru ini. Pertamanya, kerana beliau secara serius dan terbuka membuat pengumuman dan permohonan untuk mengembalikan semula wang royalti minyak kembali semula secara terus kepada pentadbiran kerajaan negeri Terengganu. Untuk rekod, wang tersebut telah dirampas oleh kerajaan pusat kerana prejudis dengan PAS yang pernah memenangi pilihanraya dan memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004.

Dato’ Ahmad Said sama sekali telah keluar dari bayang-bayang pemerintahan Menteri Besar yang sebelum ini dengan menonjolkan caranya yang tersendiri. Beliau secara terang-terangan telah mengisytiharkan bahawa setiap projek yang dirancang oleh kerajaan pusat untuk dilaksanakan di Terengganu hendaklah dibincang dan diluluskan oleh kerajaan negeri terlebih dahulu. Beliau juga hanya akan meluluskan projek yang akan memberi keuntungan dan faedah kepada rakyat.

Semoga tiada lagi projek-projek seperti Masjid Kristal dan Monsun Cup di bandaraya ini yang telah dikritik hebat oleh banyak pihak. Dan semoga lori sampah Majlis Bandaraya datang selalu memungut sampah di tong sampah besar di hadapan rumah penulis yang sudah seminggu tidak diangkut.

Dalam satu majlis pertemuan dengan kakitangan kerajaan di Kemaman, beliau ditanya jika sekiranya kerajaan negeri atau EXCO-EXCOnya akan melindungi pekerja asing tidak sah demi untuk menyiapkan projek kerajaan. Jawab beliau, kerajaan negeri tidak pernah melindungi atau membenarkan sesiapa jua untuk melanggar undang-undang negara. Jadi senanglah imigresen melakukan tugas-tugas mereka. Penulis agak terharu dengan jawapan itu.

1 comment:

Cikgu Alif @ Us Adnan said...

Kerana sentimen kepartian yang tidak matang Terenganu hilang hasil negeri. Berbilion ringgit. Orang yang mengusul benda tu dulu patut dihalau dari bumi Terengganu. Syabas MB berusahalah semula mengembalikan hak rakyat Terengganu sebelum minyak kering.