Monday, September 10, 2007

Semangkuk Gulai Dari Jiran


Untuk seketika ini, tiada yang lebih membahagiakan selain daripada mempunyai jiran yang sangat baik dan prihatin. Penulis teringat suatu pepatah Arab yang berbunyi al-jar qabla daar, al-rafeeq qabla tareeq” yang menggambarkan bahawa jiran lebih penting daripada tempat dan kawan pula lebih penting daripada perjalanan. Penulis sangat bernasib baik kerana dikelilingi jiran-jiran berbilang bangsa yang sangat prihatin dan pemurah.

Pernah saya dijemput untuk bersama-sama makan tengah hari di rumah jiran berhadapan rumah dan saya sangat arif bahawa isterinya telah bersusah payah menyediakan hidangan yang sungguh sedap dan pelbagai itu. Pada musim buah-buahan pula jiran saya di kiri kanan rumah menghadiahkan duku, langsat dan durian. Itu cuma sebahagian daripada cerita-cerita tentang kebaikan mereka.

Sebentar tadi, saya benar-benar terharu dengan kebaikan seorang jiran yang menghulurkan hidangan makan malam yang sungguh enak kerana mereka mengetahui bahawa saya tidak mempunyai sebarang kemudahan untuk mendapatkan makan malam di luar. Ternyata ianya suatu kejutan yang sangat menyenangkan.

Sudah menjadi kebiasaan ibu saya apabila memulangkan bekas makanan pada tuannya, hendaklah diisi juga dalamnya sedikit pemberian sebagai tanda berbudi bahasa. Dan sekarang saya belum mempunyai idea tentang pemberian yang saya harus letakkan dalam bekas itu sebelum memulangkan kepada jiran saya yang pemurah itu.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamulaikum.
Tuan, pada hemat saya anda boleh membalas bekas jiran tersebut dengan meletakkan biskut atau coklat yang sesuai untuk dimakan oleh anak-anak jiran itu. Sesungguhnya nilai barangan itu tidak penting tetapi keikhlasan yang lahir dari hati itulah yang dinilai oleh Allah s.w.t disamping mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga.

Your sis...

Dad of 4+1 said...

Wah.....seronoknya!