Akhirnya dapat juga penulis berjumpa dengan orang-orang yang penulis kagumi akan tulisan mereka. Pagi semalam sebelum bersolat Jumaat di Masjid UIAM penulis telah berjumpa dengan Dr. Sulaiman Dufford yang berasal dari AS serta mempunyai kolum tetap dalam majalah Milenia Muslim dan Forward terbitan MMP Communication. Kerana selalu mengikuti tulisan-tulisan beliau penulis selalu berharap agar dapat berjumpanya dan telah pun dikabulkan.
Banyak juga yang kami sempat bualkan di cafe Babush UIA, daripada kekecewaan kami terhadap MMP yang gagal memasarkan Forward dengan baik, budaya orang pantai timur semenanjung, sehingga tentang tulisan-tulisan beliau yang pernah disiarkan. Rupanya beliau mampu bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik, tetapi dipengaruhi oleh dialek Indonesia mungkin kerana beliau pernah tinggal lama di Indonesia dan mengkaji cara hidup dan budaya orang Jawa.
Pagi ini, tuhan telah menemukan pula dengan saudara Faisal Tehrani yang sememang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Walaupun telah menyedari kehadirannya sewaktu di KL Sentral lagi sewaktu sama-sama hendak membuat daftar masuk, tetapi penulis cuma menyapa setelah kami tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu. Tidak sempat pun untuk bercerita panjang, cuma sempat memperkenalkan diri serta memberitahu dia bahawa penulis adalah kawan kepada Nasriah dan penulis selalu mengikuti tulisan-tulisannya.
Kalaulah dapat jadi penulis sebaik Sulaiman Dufford dan Faisal Tehrani...
Saturday, September 08, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Kalau ada minat anda boleh menulis. Cuma adakalanya kita perlukan masa yang sesuai dan kefahaman yang jelas mengenai isu-isu yang ingin diutarakan. Semoga anda berjaya menjadi penulis suatu hari nanti. Insyaallah.
Post a Comment