Petang itu seorang saudara datang mengundang ke rumahnya untuk membaca yaasin dan solat hajat kerana ayahnya sakit kuat dan itu mungkin usaha-usaha terakhirnya bagi memberikan yang terbaik untuk si ayah. Penulis ke rumahnya bersama ayah dan saudara kembar selepas selesai sahaja menunaikan solat isya’. Salah seorang anak si sakit itu adalah teman sekelas penulis semasa di sekolah rendah dahulu, Ros namanya.
Sesudah menunaikan solat hajat dan membaca yasin secara beramai-ramai, kami dihidangkan dengan bihun goreng oleh tuan rumah. Saya tiba-tiba diselubungi rasa bersalah yang teramat apatah lagi apabila melihat orang sakit itu seperti berjuang dengan penyakitnya dan tetamu yang datang enak-enak menjamu selera diselang-seli dengan jenaka dan hilai tawa. Saudara kembar saya datang berbisik, “Boleh ke makan di rumah orang sakit seperti ini?”. Ternyata dia juga sedang memikirkan perkara yang sama.
Sesudah menghabiskan sepinggan bihun goreng saya terus menghampiri anaknya yang setia duduk di sisi ayahnya yang sakit itu untuk menyatakan rasa bersalah saya kerana datang makan di rumahnya dan menyusahkannya sekeluarga yang sedang dalam kesedihan dan kesusahan. Dia menegaskan bahawa semua itu disediakan oleh pihaknya secara ikhlas. Sedang tetamu-tetamu lain tanpa menunjukkan rasa bersalah masih lagi berbual kosong dan ada duduk membelakangi si sakit yang terbaring cuma beberapa inci dari mereka.
Saya terfikir, jika itu berlaku di rumah saya sedang yang sakit itu adalah ahli keluarga saya tentu saya sudah menghalau mereka dari rumah saya kerana berkelakuan jelek seperti itu. Lebih baik kami adik beradik sahaja yang bersolat hajat dan membaca yasin sendiri dan tak perlu menjemput orang lain untuk datang makan-makan seolah-olah ‘meraikan’ orang yang sakit.
Berita yang saya baru terima, saudara saya itu telah meninggal dunia pada waktu Maghrib tadi, tidak sampai 24 jam selepas kami bersolat hajat dan membaca yasin untuknya semalam. Saya redha, semoga Tuhan menempatkannya di jannah bersama orang-orang mu’min. Alfatihah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Al fatihah....semoga rohnya ditempatkan dengan org2 yang beriman.
tuan,
jarang yang seprihatin anda..
al fatihah juga buat rohnya di sana..
suka, suka posting ni.. ;p
al fatihah...
Post a Comment